أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةًۭ تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌۭ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (١٠٣)
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah at-Taubah 9:103)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Hanya dengan ketakwaan yang tulus, kita akan selamat dan berbahagia di dunia dan akhirat. Berikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan hindari perkara-perkara yang mengundang kelalaian seperti menggunakan telefon atau berbual-bual.
Semoga Allah SWT menganugerahkan kesempurnaan ganjaran kepada solat Jumaat kita. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk “Zakat Memurnikan Jiwa Insan.”
Kaum Muslimin yang Berbahagia,
Zakat merupakan salah satu daripada lima rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkelayakan. Allah SWT berfirman dalam ayat ke-103, surah at-Taubah yang telah dibacakan di awal khutbah, bermaksud:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah at-Taubah 9:103)
Menurut tafsir al-Sa’di, seseorang Muslim hanya akan memperoleh penyucian harta dengan menunaikan kewajipan zakat. Di samping itu, dengan berzakat, kita bukan sahaja membantu golongan asnaf yang memerlukan, bahkan dalam masa yang sama dapat membersihkan jiwa daripada sifat tamak, bakhil dan kedekut.
Matlamat utama daripada penunaian ibadah zakat adalah untuk membasmi kemiskinan dan memastikan keseimbangan ekonomi dalam masyarakat. Justeru, ibadah ini perlu dibudayakan dan diperkasakan dalam diri dan keluarga bagi melahirkan rasa tanggungjawab, membuktikan keimanan, memupuk nilai ihsan dan kesyukuran di samping memurnikan jiwa dan meningkatkan ketakwaan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Melihat kepada realiti kehidupan asnaf dan cabaran berkehidupan di kota Metropolitan hari ini, ia adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. Keperluan asnaf tidak boleh lagi diukur secara tahunan, bahkan perlu diberi perhatian kepada keperluan yang bersifat harian dan bulanan seperti pembayaran bil utiliti, sewaan tempat tinggal dan belanja harian.
Atas dasar itu, PPZ-MAIWP selaku agensi mengurus zakat di Wilayah Persekutuan, telah menginovasikan pembayaran zakat dengan kaedah potongan gaji zakat secara bulanan dan berjadual. Dengan inisiatif pembayaran zakat sebegini dapat membantu memastikan keperluan asnaf terus dapat dipenuhi dengan teratur, sistematik dan bersifat stabil selain memudahkan para pembayar menunaikan ibadah zakat dengan lebih efisyen dan cekap. Di samping itu, para pembayar individu juga dapat menikmati rebat cukai secara langsung dengan potongan zakat yang dibuat sekali gus memberikan ketenangan dan kemudahan kepada mereka.
Dari sudut keperluan asnaf pula, proses ini dapat membantu ke arah kelestarian bantuan kepada mereka. Kegembiraan yang diperolehi hasil daripada agihan zakat yang diterima, dimanifestasikan dengan doa tulus tanda kesyukuran. Realiti ini secara langsung dapat memberi impak ketenangan dan keberkatan dalam kehidupan mereka yang berzakat. Inilah ekosistem unik yang wujud antara golongan asnaf dan golongan yang kaya menurut aturan Allah SWT.
Tetamu-tetamu Allah yang berbahagia,
Zakat pendapatan sewajarnya ditunaikan di tempat kita bekerja dan mencari rezeki. Jika kita bekerja di Wilayah Persekutuan tetapi menetap di luar Wilayah Persekutuan, maka adalah lebih utama kita mengeluarkan zakat di Wilayah Persekutuan. Apatah lagi jika kita menetap dan berkerja di Wilayah Persekutuan, sewajarnya zakat ditunaikan di sini. Amati pesanan Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal radiallahuanhu menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas radiallahuanhuma, sabda baginda:
Maksudnya: “Maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta-harta mereka, diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.”
Hadis ini dijadikan sandaran dan dalil menunjukkan keutamaan membayar zakat di tempat mencari rezeki. Justeru, mimbar ingin menasihatkan seluruh umat Islam di Wilayah Persekutuan agar membayar zakat menerusi amil yang berautoriti khasnya PPZ-MAIWP. Ini kerana, sesiapa yang membayar zakat kepada amil-amil yang tidak bertauliah atau pihak-pihak yang tidak berautoriti, adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).
Para Tetamu Allah yang diberkati,
Bagi menyemarakkan budaya berzakat, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengambil inisiatif melancarkan program dakwah zakat menerusi aktiviti ‘Jom Potong’ bermula dari bulan Julai hingga Disember 2024 ini.
Perkhidmatan yang ditawarkan seperti potongan gaji berjadual bagi zakat pendapatan beserta khidmat konsultasi bagi menyantuni sebarang pertanyaan berkaitan taksiran zakat di kaunter zakat di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. PPZ-MAIWP turut menyediakan perkhidmatan secara dalam talian menerusi kaunter zakat digital, pembayaran zakat menerusi portal rasmi dan aplikasi MyZakat selain menyediakan kemudahan kaunter van bergerak dan khidmat zakat dari pintu ke pintu.
Kesemua ini disediakan bagi memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan zakat. Yakinilah pedoman hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Zakat tidak mengurangkan harta.”
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Berikut dinyatakan beberapa saranan selaras khutbah yang disampaikan:
Pertama: Sebagai Muslim, tunaikanlah kewajipan zakat. Sesungguhnya kesucian jiwa dan kemurnian harta terhasil menerusi ibadah zakat.
Kedua: Bersihkan harta yang kita perolehi dengan menyempurnakan tuntutan berzakat, agar Allah SWT menyucikan hati kita daripada sifat-sifat tercela seperti bakhil, tamak. mementingkan diri dan angkuh.
Ketiga: Tunaikan zakat melalui saluran setempat yang disediakan demi memelihara keutamaan dan menjamin kelestarian hak para asnaf. Di penghujung khutbah, hayati firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 110:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ۚ وَمَا تُقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍۢ تَجِدُوهُ عِندَ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ(١١٠)
Bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Baqarah 2:110)
Tarikh Bacaan: 2 Rabiulawal 1446H/6 September 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment