أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
لِّتُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ وَتُسَبِّحُوهُ بُكْرَةًۭ وَأَصِيلًا (٩)
Maksudnya: Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kamu kuatkan ugamaNya serta memuliakanNya, dan supaya kamu beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
(Surah Al-Fath 48:9)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kepada Allah SWT. Sedarlah kita semua bakal menemui Allah. Laksanakah segala suruhan dan hindari segala larangan. Semoga dengan ketakwaan, kita meraih rahmat Allah SWT bersama kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Berikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan dan tinggalkan perkara sia-sia sewaktu khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga kita memperoleh pahala solat Jumaat yang sempurna dari sisi Allah SWT.
Kita kini berada di bulan penuh keberkatan dan limpahan rahmat. Padanya lahir insan yang teragung dan rasul yang terulung, nabi kita Muhammad bin Abdullah, Rasulullah, kekasih Allah. Rabiulawal yang hadir bagaikan penawar hati buat umat yang sentiasa merindui dan mencintai baginda. Sempena bulan Maulidurrasul ini marilah sama-sama kita menghayati khutbah bertajuk “Andai Baginda Masih Ada”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengagungkan Rasulullah SAW adalah kefarduan kepada setiap Mukmin. Ulama tafsir seperti Ibn Kathir dan al-Sa’di sewaktu menjelaskan perkataan ( وَتُوَقِّرُوهُ ) dalam ayat 9 surah al-Fath yang dibacakan di awal khutbah tadi, menjelaskan ianya sebagai tindakan memuliakan Baginda Rasulullah SAW dengan penghormatan, pengagungan dan pelaksanaan terhadap setiap hak baginda. Kecintaan terhadap Rasulullah SAW menjadi ukuran keimanan seorang Mukmin. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik radiallahuanhu, Baginda SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan manusia seluruhnya.”
Kelahiran Baginda SAW merupakan detik terpancarnya sinar risalah Islam dan rahmat kepada seluruh alam. Dengan itu, Maulidur Rasul, hari kelahiran Rasulullah SAW diraikan sebagai manifestasi pengagungan serta kecintaan kepada Baginda SAW dan kesyukuran kepada Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri apabila ditanya tentang puasa baginda pada hari Isnin, menjelaskan sebabnya sebagaimana hadis riwayat Muslim daripada Abu Qatadah al-Ansari radiallahuanhu:
Maksudnya: “Itulah hari aku dilahirkan juga aku diutuskan (sebagai rasul) dan diturunkan wahyu kepadaku.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Beberapa paparan di media sosial mengajukan pertanyaan kepada masyarakat, “Jika Rasulullah SAW masih ada, apa yang anda akan lakukan? Kalau dapat bertemu baginda, apa yang ingin anda katakan kepada baginda?”. Soalan-soalan sebegini amat mengusik perasaan.
Walaupun tidak dijawab langsung sudah cukup untuk mengundang rasa rindu, pilu dan hiba di dalam jiwa. Terkenang bagaimana Rasulullah SAW berdakwah menyampaikan Islam sehingga Bani Hashim serta Bani Mutallib dipulaukan. Baginda SAW luka dan berdarah dilempar batu sewaktu di Taif, malah pernah patah gigi dalam peperangan.
Sekiranya Rasulullah SAW masih ada pastinya setiap kita mahu menatap wajah, mahu mendampingi dan mahu mendapatkan tunjuk ajar daripada baginda. Andai baginda masih ada, apa sahaja yang baginda mahukan, pasti kita cuba sedaya upaya menjayakannya. Hakikatnya, baginda telah lebih 1400 tahun dahulu meninggalkan kita.
Meskipun begitu, semua ini tidak menghalang untuk kita membuktikan taat setia dan cinta kepada baginda. Bukankah Rasulullah SAW sudah pun meninggalkan kitab Allah dan al-sunnah sebagai amanat bahkan azimat untuk berpegang teguh dengannya?
Cuma, sudahkah kita benar-benar berpegang teguh dengan azimat paling berharga ini? Lalu, di manakah bukti ikrar taat daripada dua kalimah syahadah yang diulang lebih dari 17 kali sehari?
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW telah mewariskan agama Islam kepada kita, sebuah anugerah yang paling berharga, tiada bandingannya. Rasulullah SAW telah meninggalkan buat kita teladan dan ikutan yang memperlihatkan praktikal ajaran Islam sebagai tatacara hidup bermula dari bangun tidur sehingga kita tidur semula. Bukankah ini yang juga kekal disarankan Rasulullah SAW baginda andai masih ada. Sesungguhnya, Rasulullah SAW mahukan kita menjadi sebaik-baik manusia dan berbahagia menjadi manusia terbaik dalam kehidupan di dunia.
Siapakah manusia terbaik? Perhatikan penjelasan baginda sebagaimana berikut:
Pertama: Manusia terbaik ialah mereka yang paling baik akhlaknya, apatah lagi terhadap isteri dan keluarganya. Jesteru semua umat Muhammad SAW perlu berusaha memiliki perilaku yang baik. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru radiallahuanhuma, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya.”
Kedua: Manusia terbaik ialah mereka yang menabur kebaikan dan manusia lain aman daripada kejahatannya. Maka berusahalah untuk sentiasa memberi manfaat dan hindari sikap juga tindakan yang menyakiti insan-insan lain. Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, sabda baginda: Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang diharapkan kebaikannya dan selamat daripada kejahatannya, dan seburuk-buruk kamu ialah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak selamat daripada kejahatannya.”
Ketiga: Manusia terbaik adalah mereka yang panjang umur dan baik pula amalnya. Selaras pedoman ini, jagalah kesihatan, hargai masa sihat dengan memperbanyakkan amal ibadah dan kebajikan. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Busr radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW ketika ditanya siapakah manusia terbaik, Baginda SAW menjelaskan: Maksudnya: “Siapa yang panjang umurnya dan baik amalnya.”
Tuntasnya, sebaik-baik manusia ialah mereka yang memelihara hubungannya dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungannya dengan alam umumnya. Semoga kita tergolong di kalangan kaum yang diperkatakan Rasulullah SAW sebagaimana mafhum hadis riwayat Ahmad daripada Abu Jumuah radiallahuanhu ketika menjawab soalan Abu Ubaidah al-Jarrah radiallahuanhu: “Adakah orang yang lebih baik daripada kami?” Jawab Baginda SAW: “Ya, kaum yang percaya kepadaku walau tidak sempat melihatku.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Berikut adalah beberapa saranan susulan khutbah hari ini:
Pertama: Raikan Maulidur Rasul untuk menyatakan pengagungan serta kecintaan baginda SAW dan kesyukuran kepada Allah SWT.
Kedua: Semarakkan cinta Allah dan Rasul dengan usaha berterusan dalam mengenali, mentaati dan mencintai Allah SWT serta rasul-Nya.
Ketiga: Andaikan Rasulullah SAW masih ada, lalu berusahalah menjadi manusia terbaik demi membuktikan cinta sebagaimana saranan baginda.
Mengakhiri khutbah, hayati firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Hujurat, ayat 7:
وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ ٱللَّهِ ۚ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِى كَثِيرٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ ٱلْإِيمَـٰنَ وَزَيَّنَهُۥ فِى قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ ٱلْكُفْرَ وَٱلْفُسُوقَ وَٱلْعِصْيَانَ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلرَّٰشِدُونَ(٧)
Bermaksud: “Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah. Kalaulah dia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta dihiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus.”
(Surah Al-Hujurat 49:7)
Tarikh Bacaan: 9 Rabiulawal 1446H/13 September 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment