Rasulullah SAW bersabda yang ertinya:
“Hasad itu akan memakan amalan kebaikan sebagaimana api memakan kayu-kayu kering.”
(Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Ibn Majah dengan isnad yang dhaif dan al-Khatib dengan isnad yang hasan.)
Rasulullah SAW bersabda yang ertinya:
“Tiga perkara yang seseorang itu tidak dapat berlepas diri daripadanya iaitu berprasangka, ramalan dan hasad. Dan aku akan menceritakan kepada kamu jalan keluar daripadanya. Apabila kamu berprasangka maka janganlah kamu menyakininya adalah benar. Dan apabila kamu melihat tanda-tanda ramalan buruk maka teruskanlah urusanmu. Dan sekiranya timbul rasa hasad maka janganlah kamu mengikutinya.”
(Diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dan dalam sanadnya terdapat dua orang perawi yang dhaif manakala riwayat alTabarani seperti riwayat Ibn Abi al-Dunya.)
Nabi SAW bersabda yang ertinya:
“Telah menular dalam kalangan kamu penyakit-penyakit umat terdahulu iaitu hasad dan benci. Dan kebencian itu adalah pemusnah kepada agama.”
(Diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan al-Bazzar dengan isnad yang baik.)
Nabi Zakaria AS berkata; Allah Ta’ala telah berfirman yang bermaksud: “Orang yang hasad adalah musuh kepada nikmatKu, pembenci kepada ketetapanKu dan tidak redha dengan agihanKu yang telah Aku bahagikan antara hamba-hambaKu.”
Ketahuilah bahawa hasad itu adalah haram dan hasad itu ialah kamu suka untuk menghilangkan nikmat yang terdapat pada orang lain atau kamu suka dengan turunnya musibah ke atas orang lain. Dan tidaklah haram untuk berlumba-lumba (munafasah) iaitu kamu cemburu (ghibtah) terhadap nikmat yang diperolehi oleh orang lain dan kamu berkeinginan untuk memiliki seumpamanya tanpa menghilangkan nikmat tersebut daripadanya.
Dan diharuskan untuk suka dengan kehilangan nikmat daripada orang yang sekiranya dia memperolehi nikmat itu akan membantunya untuk melakukan kezaliman dan maksiat kerana kamu bukan bermaksud menghilangkan nikmat sebaliknya kamu suka dengan lenyapnya kezaliman. Dan buktinya, sekiranya seseorang itu meninggalkan kezaliman dan maksiat kamu tidak suka akan hilangnya nikmat tersebut daripadanya.
Punca hasad sama ada disebabkan kesombongan, permusuhan dan kekotoran jiwa ketika mana seseorang itu kedekut dengan nikmat Allah terhadap hambanya tanpa mempunyai tujuan yang munasabah.
Mengubati Sifat Hasad
Ketahuilah bahawa hasad termasuk antara penyakit-penyakit besar bagi hati. Dan penyakit hati tidak dapat diubati melainkan dengan penawar ilmu dan amal.
Adapun pengubatan melalui ilmu:
Penawarnya ialah seseorang itu hendaklah mengetahui bahawa sifat hasadnya itu dapat mendatangkan mudharat kepada dirinya sendiri dan sedikitpun tidak memudharatkan orang yang dihasad bahkan mendatangkan manfaat kepada orang yang dihasadnya.
Adapun hasad itu dapat membahayakan dirinya dengan membatalkan segala kebaikannya dan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan Allah ketika mana dia tidak berpuas hati dengan ketentuan Allah dan kedekut dengan nikmat Allah yang telah Allah luaskan nikmatNya kepada hambaNya daripada perbendaharaanNya. Dan ini adalah merupakan bahaya terhadap agamanya.
Adapun bahaya terhadap dunianya ialah seseorang itu akan sentiasa berada dalam keadaan sedih dan berdukacita kerana itulah yang dikehendaki oleh musuh terhadap lawannya. Sesungguhnya tujuan yang paling penting dan penuh nikmat bagi seorang musuh ialah apabila orang yang dihasadnya bersedih. Sesungguhnya orang yang hasad inginkan musibah kepada musuhnya namun akhirnya dia yang mendapat musibah tersebut.
Dan orang yang kuat hasad tidak terlepas daripada kesedihan dan musibah ketika mana musuhnya atau salah seorang daripada mereka berada dalam kenikmatan. Dan adapun hasad itu dapat memberi manfaat kepada musuhnya dan bukannya bahaya kerana kenikmatan itu tidak dapat hilang dengan hasad musuhnya bahkan hasad itu melipat gandakan kebaikan orang yang dihasad iaitu akan dipindahkan segala kebaikan orang yang hasad kepada dirinya terutama sekiranya musuhnya berlampauan dalam mencacinya. Sesungguhnya dia menjadi mangsa kezaliman orang yang hasad kepadanya.
Orang yang hasad menuntut untuk hilangnya nikmat dunia daripada musuhnya walau bagaimana pun yang berlaku ialah bertambah pada musuhnya kenikmatan akhirat. Sedangkan orang yang hasad itu bukan sahaja mendapat azab di dunia bahkan turut akan mendapat azab di akhirat. Orang yang hasad itu ibarat seperti orang yang melemparkan batu kepada musuhnya namun tidak mengenai musuhnya tetapi kembali mengenai matanya lalu membutakan matanya. Ditambah pula dengan kegembiraan musuhnya iaitu iblis.
Sesungguhnya orang yang hasad itu akan hilang nikmat dan hilang redha dengan ketentuan Allah. Sekiranya dia redha dengan ketentuan Allah sudah tentu dia akan mendapat pahala terutamanya jika dia cemburu terhadap ilmu dan wara’ dan berkeinginan untuk memperolehinya. Hal ini kerana orang yang mencintai ilmu pahalanya adalah besar.
Adapun pengubatan melalui amali:
Orang yang hasad hendaklah mengetahui tentang hukum hasad dan segala yang berkaitan dengannya sama ada dari segi perkataan dan perbuatan. Maka dia hendaklah menyanggahi dan melawan sifat hasad dengan memuji orang yang dihasadnya, menzahirkan kegembiraan dengan nikmatnya serta tawadhu’ terhadapnya. Oleh yang demikian, orang yang dihasadnya berubah menjadi kawannya, menghilangkan sifat hasad dan membebaskan daripada dosa dan kesakitan.
Firman Allah SWT:
ٱدْفَعْ بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيْنَكَ وَبَيْنَهُۥ عَدَٰوَةٌۭ كَأَنَّهُۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌۭ
Ertinya: Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
(Surah Fussilat 41:34)
Bagaimana untuk Membebaskan Daripada Dosa Hasad?
Sudah tentu jiwa kamu tidak setuju untuk menyamakan antara musuh kamu dan teman kamu? Bahkan kamu tidak suka perkara buruk menimpa teman kamu namun tidak demikian sekiranya dia musuh kamu. Kamu gembira dengan nikmat yang ada pada teman kamu namun tidak demikian sekiranya dia musuh kamu.
Kamu akan menjawab; “Aku tidak akan dibebani dengan perkara yang aku tidak mampu.” Sekiranya kamu tidak mampu untuk menyamakan antara musuh dan teman, maka hendaklah kamu membebaskan daripada dosa hasad dengan 2 perkara:
Pertama: Hendaklah kamu tidak menzahirkan sifat hasad melalui lidah, anggota dan amalan pilihan kamu. Bahkan hendaklah kamu melawan segala puncanya.
Kedua: Hendaklah kamu benci terhadap diri sendiri sekiranya kamu suka terhadap hilangnya nikmat daripada salah seorang hamba Allah. Sekiranya rasa benci seiring dengan faktor agama iaitu dengan suka kepada hilangnya nikmat yang dituntut secara tabiat, maka terhindarlah kamu daripada dosa. Dan kamu tidak dituntut untuk mengubah tabiat kerana kamu tidak mampu untuk melakukannya dalam kebanyakan keadaan,
Dan tanda benci itu ialah sekiranya kamu mampu unuk menghilangkan nikmat seseorang sedangkan kamu tidak melakukannya bahkan kamu suka dengannya. Dan sekiranya kamu mampu untuk membantu seseorang untuk terus kekal dalam kenikmatannya atau bertambah nikmatnya, lalu kamu melakukannya berserta rasa benci kamu terhadap perkara tersebut, maka kamu tidak berdosa terhadap apa yang menjadi tabiat kamu.
Sesungguhnya tabiat itu hanya dapat dikuasai oleh orang yang sangat mencintai tuhannya tanpa peduli kepada apa jua kritikan (al-Mustahtar billah), yang memutuskan pandangannya daripada dunia dan makhluk. Bahkan dia mengetahui bahawa penerima nikmat itu sekiranya ditentukan Allah berada di dalam neraka maka tiada manfaat nikmat tersebut. Dan sekiranya penerima nikmat itu ditentukan Allah untuk berada dalam syurga, maka apakah nilai nikmat tersebut berbanding syurga Allah.
Bahkan dia melihat setiap makhluk adalah hamba Allah maka dia mencintai mereka kerana mereka merupakan hamba kepada kekasihnya. Dan wajib seseorang itu menzahirkan kesan nikmat kekasihnya ke atas hamba Alah. Ini adalah keadaan yang jarang berlaku dan tidak termasuk dalam perkara yang dipertanggungjawab (taklif)
Sumber: 10 Asas Penyucian Hati oleh PMWP
Leave a comment