أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا(٢١)
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Surah Al-Anzab 33:21)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat.
Bersempena Sambutan Maulidurrasul 1446H dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2024, mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Teladan Rasulullah Saw Dalam Bernegara”.
Hadirin Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Saban tahun kita mengenang peristiwa kelahiran Rasulullah SAW dalam usaha meningkatkan kecintaan kita kepada Baginda SAW. Usaha ini telah dimulakan sejak berabad-abad yang lalu. Dinyatakan dalam Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, al-Allamah Ibn Kathir antara lain beliau memuji Raja Muzaffar yang telah menyambut majlis kelahiran Nabi SAW secara besar-besaran dengan berkata: “Bahawa Raja Muzaffar menganjurkan Maulid Syarif pada bulan Rabi’ul Awwal dan membuat perhimpunan secara besar-besaran”.
Begitulah salah satu usaha kita meningkatkan mahabbah (kecintaan) kepada Baginda SAW. Pada bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW ini, umat Islam juga seharusnya mencerminkan sifat keperibadian Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan kasih sayang dan rahmah.
Allah SWT menjelaskan ketinggian akhlak dan budi pekerti mulia Rasulullah SAW melalui firman-Nya dalam Surah al-Qalam ayat 4:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍۢ(٤)
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia”.
(Surah Al-Qalam 68:4)
Bahkan Rasulullah SAW juga sangat menekankan tentang penerapan akhlak mulia yang menjadi kayu ukur kepada kesempurnaan iman seseorang.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya”.
(Riwayat al-Tirmidzi)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu memiliki teladan yang sangat sempurna untuk kita jadikan panduan. Begitulah Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang dibacakan pada awal khutbah bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (ketika susah dan senang)”.
Terbukti bahawa Baginda SAW adalah teladan yang paling sempurna kerana keteladanan Baginda Rasulullah SAW tidak hanya terbatas kepada konsep kehambaan antara manusia dengan Sang Pencipta. Malah termasuk juga interaksi Baginda SAW dengan masyarakat awam sama ada muslim dan bukan muslim, interaksi bersama haiwan dan alam sekitar, interaksi Baginda SAW dalam urusan perniagaan, bahkan Baginda SAW juga telah menunjukkan teladan yang sangat baik dalam menguruskan pentadbiran sebuah Negara Islam Madinah.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Dalam hubungan sosial dan kemasyarakatan, Rasulullah SAW banyak bergaul dan berinteraksi dengan segenap lapisan masyarakat dengan pelbagai budaya, suku, bangsa, dan agama. Dalam menghadapi kepelbagaian pegangan beragama, Baginda SAW tidak menganggapnya sebagai suatu permasalahan besar dalam menjalin interaksi sosialnya bersama masyarakat. Baginda sedar kemajmukan yang ada, namun dari semua perbezaan itu, ada yang lebih penting untuk diperjuangkan dan dipertahankan, iaitu kerukunan, kesatuan dan perpaduan masyarakat.
Apabila Rasulullah SAW selesai menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar, Baginda SAW membuat perjanjian damai yang dikenali dengan Piagam Madinah, sebuah perlembagaan negara pertama yang pernah ada sepanjang sejarah dunia. Antara isi perjanjian itu ialah seluruh warganegara, sama ada muslim atau tidak, wajib saling melindungi antara satu sama lain. Seluruh masyarakat juga wajib menjaga kesatuan masyarakat.
Hadirin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Rasulullah SAW cukup sayang kepada bumi Mekah yang merupakan tempat kelahiran Baginda SAW. Di sana, Baginda SAW bersama beberapa sahabat dan umat Islam terawal mengalami banyak kisah penindasan dan kekerasan yang dilakukan oleh puak Musyrikin Mekah.
Nabi SAW seterusnya melakukan usaha pembebasan Mekah dari kesyirikan, kekuasaan dan penindasan oleh orang-orang yang zalim serta amalan-amalan karut yang diwarisi daripada nenek-moyang mereka. Walaupun ketika itu keadaan umat Islam sudah stabil, namun Baginda SAW tidak bertindak melampaui batasan kemanusiaan. Baginda SAW tidak berdendam terhadap perlakuan penduduk Mekah suatu ketika dahulu. Malah Baginda SAW memaafkan mereka dan membiarkan mereka semua hidup damai bersama-sama. Inilah nilai dan sikap terluhur Baginda SAW bukan sahaja kepada sahabat-sahabat Baginda SAW, bahkan terhadap puak yang pernah menzaliminya dahulu.
Sheikh Dr Muhammad Abu Shuhbah melalui kitabnya: al-Sirah alNabawiyyah Fi Dhaui al-Kitab Wa al-Sunnah mengatakan bahawa pada hari pembebasan Mekah, Rasulullah SAW berdiri dihadapan orang-orang Quraisy dan bertanya kepada mereka: “Apa yang kalian harapkan aku lakukan terhadap kalian?. Mereka menjawab: “Kebaikan, kami mengharapkan kebaikan dari engkau”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Pergilah, kalian semua bebas”.
Ini jelas kepada kita bahawa Rasulullah SAW tidak pernah memukul dan melakukan kekerasan kepada sesiapa pun, meskipun kepada seorang pembantu kecuali dalam jihad fi sabilillah. Baginda SAW juga tidak pernah melakukan aksi pembalasan terhadap semua perlakuan buruk yang Baginda SAW alami kecuali jika perlakuan buruk tersebut sudah termasuk kategori pelanggaran terhadap perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, maka ketika itu Baginda SAW melakukan pembalasan kerana Allah SWT dan bukan kerana emosi.
Hadirin yang dirahmati Allah SWT,
Begitulah keteladanan Rasulullah SAW dalam urusan bernegara dan kehidupan masyarakat majmuk. Sesuai dengan negara kita yang turut memiliki struktur masyarakat yang majmuk. Sememangnya banyak lagi contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk kita ikuti.
Sewajarnya, kita meneladani dan menuruti serta mematuhi ajaran Rasulullah SAW kerana ia mendorong rasa cinta dan taat kepada Allah SWT jua.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 31:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ (٣١)
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
(Surah Ali-Imran 3: 31)
Oleh itu, dalam mengekalkan keharmonian negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk, maka kita sebagai umat Islam terutamanya, wajar menuruti teladan yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Semoga setiap tindakan yang dilakukan berdasarkan sunnah Baginda SAW mendapat keredaan dan kerahmatan daripada Allah SWT.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu:
- Umat Islam hendaklah menanamkan rasa mahabbah (kecintaan) terhadap Rasulullah SAW.
- Umat Islam hendaklah sedar bahawa keteladanan terhadap Rasulullah SAW tidak hanya terbatas kepada konsep kehambaan antara manusia dengan Yang Maha Pencipta, Malah, padanya juga keteladanan terhadap interaksi Baginda dengan manusia, alam sekitar dan urusan bernegara.
- Umat Islam hendaklah yakin bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW akan membawa kepada kecintaan kepada Allah SWT seterusnya paling penting mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
لَقَدْ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًۭا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلُ لَفِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍ (١٦٤)
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orangorang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”. (Surah Ali-Imran 3:164)
Tarikh Bacaan: 16 Rabiulawal 1446H/20 September 2024
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment