Teks Khutbah Jumaat (WP): Eratkan Dakapan, Tingkatkan Keprihatinan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَلْيَخْشَ ٱلَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا۟ مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةًۭ ضِعَـٰفًا خَافُوا۟ عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْيَقُولُوا۟ قَوْلًۭا سَدِيدًا (٩)

Maksudnya: “Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang yang sekiranya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Maka hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.”

(Surah An-Nisa’ 4:9)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan syariat. Dengan ketaqwaan segala segala masalah kita ditunjukkan jalan penyelesaian dan urusan hidup kita dipermudahkan. Semoga kita beroleh kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. 

Menghadapi realiti kehidupan di dunia hari ini yang semakin mencabar, mimbar Jumaat hari ini membicarakah khutbah bertajuk, “Eratkan Dakapan, Tingkatkan Keprihatinan”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mutakhir ini kita dipaparkan dengan pelbagai isu yang melibatkan eksploitasi dan jenayah terhadap kanak-kanak. Saban tahun, kes-kes kehilangan, pengabaian, penganiayaan, penderaan, pencabulan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan. Kes-kes sebegini tidak boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan keselamatan, hak, maruah, agama dan nyawa anak-anak kita.

Sesungguhnya, kebimbangan kita adalah dituntut. Agar nanti lahir tindakan dan langkah-langkah yang perlu diambil selaras ingatan Allah SWT di dalam Surah an-Nisa’ ayat 9, yang dibacakan di awal khutbah, bermaksud: “Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang yang sekiranya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Maka hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.” (Surah An-Nisa’ 4:9)

Kaum Muslimin yang berbahagia,

Kerisauan tanpa tindakan tidak menatijahkan apa-apa. Ia perlu disusuli dengan tindakan yang membawa pencegahan dan perubahan ke arah kemaslahatan. Jika kita masih tertanya-tanya mengapa semua kecelaruan ini berlaku, mari lihat sudut-sudut kepincangan yang menyumbang kepada masalah ini. Antaranya:

Pertama: Kurang Ilmu Keibubapaan

Ramai ibu bapa tidak menguasai ilmu kemahiran keibubapaan. Mereka hanya tahu menyediakan keperluan makan minum pakaian dan tempat tinggal anak tetapi tidak benar-benar bertanggungjawab menjaga dan melindungi hak-hak anak mereka. Malah ada yang beranggapan bahawa anak-anak perlu berdikari walau masih di usia kecil tanpa pengawasan. Inilah persepsi dangkal yang menjadi punca utama yang membuka ruang eksploitasi dan jenayah terhadap kanak-kanak.

Kedua: Kesibukan Mengurus Kehidupan

Hari ini, ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak. Masalah kesempitan dan kesusahan hidup dijadikan alasan. Sehingga anak- anak dibiarkan sendirian di rumah. Malah ada yang berkeliaran tanpa pengawasan dan pemantauan. Bukankah pengabaian sebegini mengundang risiko besar kepada anak-anak kita?

Ketiga: Ibu Bapa Yang Bermasalah

Konflik rumahtangga, perceraian, gangguan mental dan emosi antara penyebab pengabaian terhadap anak-anak yang masih perlukan bimbingan dan perhatian. Ini membuka peluang untuk mereka yang berniat jahat mengambil kesempatan dan akhirnya, anak-anak yang menjadi mangsa.

Tetamu-tetamu Allah yang diberkati,

Anak-anak adalah amanah Allah SWT kepada kita. Walau apa pun alasan dan masalah yang dihadapi, kita tidak boleh mengabaikannya. Kelak kita pasti ditanya tentang amanah ini. Renungi hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin ‘Umar radiallahuanhuma, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Setiap kamu adalah penjaga, dan setiap kamu akan ditanya tentang jagaannya. Seorang ketua adalah pemimpin, seorang laki-laki adalah penjaga ke atas keluarganya, seorang wanita juga penjaga ke atas rumah suaminya dan anaknya, maka setiap kamu akan ditanya tentang jagaannya.”

Apa jawapan kita bila ditanya dan dipersoalkan nanti tentang pengabaian terhadap amanah anak-anak? Pastinya ia bukan sekadar pertanyaan, bahkan tanggungjawab yang bakal dituntut haknya. Kegagalan kita menunaikan amanah ini pasti menempah kemurkaan Allah SWT dan balasan kesengsaraan di akhirat.

Justeru, mari kita kembali bermuhasabah dan mengorak langkah menyempurnakan amanah sebagai penjaga anak-anak yang dianugerahkan Allah. Tingkatkan ilmu keibubapaan dalam mendidik anak bagi memenuhi tuntutan kehidupan hari ini yang sarat dengan cabaran.

Berikan hak kepada anak-anak kita membesar dalam suasan penuh kasih, jaminan keselamatan dan sempurna perlindungan. Didik mereka dengan ajaran Islam, ilmu dan tatacara beribadah agar mampu menjadi hamba Allah. Bimbing mereka dengan akhlak mulia dan budaya yang baik untuk tampil sebagai khalifah Allah yang memberi manfaat dalam kehidupan bermasyarakat. Inilah hak kemuliaan anak-anak yang perlu kita sempurnakan. 

Imam Ibnu Majah meriwayatkan daripada Anas bin Malik radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: 

“Muliakanlah anak-anak kamu,dan perelokkan adab mereka.”

Situasi kehidupan hari ini juga menuntut ibu bapa bersikap lebih cemburu terhadap sesiapa juga yang berinteraksi dan berurusan dengan anak-anak. Bukan sahaja pada individu yang tidak dikenali, bahkan terhadap ahli keluarga terdekat, jiran tetangga dan kenalan rapat. Bukan cemburu buta tapi cemburu kerana sayang dan cinta. Cemburu lantaran curiga dan berwaspada. Peka dan prihatin terhadap persekitaran yang boleh mengancam keselamatan dan mempengaruhi pemikiran, kepercayaan dan perilaku anak-anak kita. Ingatan ini adalah selaras dengan hadis yang diriwayatkan Imam al-Tirmidzi daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Seseorang itu mengikut cara hidup rakan baiknya, maka hendaklah setiap kamu melihat dengan siapakah dia bergaul rapat.”

Hamba-hamba Allah yang dikasihi,

Sesungguhnya, anak-anak kita perlukan didikan, perhatian dan pengawasan. Berikan kepada mereka semua hak ini demi menjamin kesejahteraan hidup mereka. Dakaplah mereka kembali dengan penuh kasih, bimbing mereka dengan fitrah yang jernih. Bukankah ini nilai kebahagiaan kita? Bukankah ini juga impian kita untuk melihat mereka membesar dengan sejahtera dan sempurna?

Menutup bicara mimbar hari ini, ditegaskan beberapa saranan buat pedoman untuk kita bersama:

Pertama: Sempurnakan tanggungjawab kita sebagai penjaga anak-anak. Sebuah amanah yang bakal dipersoalkan di akhirat kelak.

Kedua: Didik anak-anak dengan ajaran Islam, ilmu dan ibadah untuk menjadi hamba Allah. Bimbing mereka dengan akhlak dan budaya yang baik untuk menjadi khalifah Allah.

Ketiga: Cemburu dan waspada terhadap sesiapa juga yang berurusan dengan anak-anak. Berikan hak ini demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup mereka.

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah As-Saffat, ayat 99 dan 100:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَقَالَ إِنِّى ذَاهِبٌ إِلَىٰ رَبِّى سَيَهْدِينِ (٩٩) رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (١٠٠)

Maksudnya: “Dan Nabi Ibrahim berkata: “Sesunguhnya aku pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku (ke jalan yang benar). Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak dari kalangan orang-orang yang soleh.”

(Surah As-Saffat 37: 99-100)

Tarikh Bacaan: 16 Rabiulawal 1446H/20 September 2024
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑