Dilarang mencela makanan adalah petunjuk, adab, akhlak yang baik dan indahnya pergaulan Nabi. Al- Bukhari no. 5409 dan Muslim no. 2064 meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah.
مَا عَابَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم طَعَامًا قَطُّ، إِنِ اسْتَهَاهُ أَكَلَهُ ،وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ
Maksud: “Nabi tidak pernah mencela makanan walaupun sekali; jika baginda suka, baginda memakannya; dan jika tidak suka, baginda meninggalkannya.”
Menurut Imam an-Nawawi, melalui hadis ini terdapat larangan mencela makanan kerana ia termasuk salah satu adab makan. Ucapan yang termasuk mencela makanan, di antaranya: Makanan ini terlalu masin; kurang garam; masam; tawar; terlalu masak; kurang masak dan sebagainya. Namun begitu, hadis yang menyebutkan bahawa baginda tidak makan biawak bukanlah termasuk mencela makanan. Baginda hanya menjelaskan bahawa makanan itu tidak disukai. (Syarah Muslim 7/275 cetakan Darul Hadis)
Ibnu Hajar menjelaskan, Nabi SAW tidak pernah mencela makanan walaupun sekali ke atas makanan yang mubah. Adapun makanan haram, baginda mencela dan melarang untuk mengambilnya.
Sebahagian ulama berpendapat, mencela makanan yang diciptakan Allah SWT makruh hukumnya. Manakala mencela makanan yang di buat manusia tidaklah dimakruhkan. Alasan mereka, makanan ciptaan Allah SWT tidak tercela, sedangkan makanan buatan manusia adalah tercela.
Menurut Ibnu Hajar, makanan yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah secara umum. Dilarang mencela makanan kerana ia akan menyakiti hati si pembuat makanan. Kemudian, Ibnu Hajar menukil ringkasan pernyataan Nawawi yang telah disebutkan sebelumnya. (Sila rujuk kitab Fathul Baarii 9/458)
Ibnu Hajar dalam Fathul Baarii 4/459 juga menjelaskan tentang maksud ‘bila tidak suka, baginda meninggalkannya.’ Ini dapat dilihat semasa kejadian baginda tidak mahu makan daging biawak. Dalam riwayat Abu Yahya (HR. Muslim no. 2064 atau no. khusus 188 (apabila baginda SA tidak suka, baginda diam), iaitu tidak mencelanya.
Menurut Ibnu Battal, perbuatan demikian adalah termasuk akhlak yang baik. Ini kerana kemungkinan besar apa yang kita tidak suka, disukai oleh orang lain. Semua jenis makanan yang dibolehkan untuk di makan menurut kaca mata syariat tidak tercela. (Sila lihat juga kitab Syarah Riyadus Salihin tulisan Ibnu Utsaimin 7/209)
Sumber: 100 Sunnah Yang Hampir Dilupakan oleh Haifa Abdullah Al-Rasyid