Athar dipetik daripada kitab Talbis Iblis:
عَنْ أَبِي الْعَالِيَةِ قَالَ، عَلَيْكُمْ بِالْأَمْرِ الْأَوَّلِ الَّذِى كَانُوا عَلَيْهِ قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقُوا قَالَ عَاصِمُ فَحَدَثَتْ
بِهِ الحَسَن فَقَالَ قَدْ نَصَحَكَ وَاللهِ وَصَدَقَكَ
“Daripada Abi ‘Aliah, ‘Hendaklah kamu semua mendapatkan kaedah cara hidup sunnah yang disebutkan oleh orang-orang pada zaman awal sebelum mereka mula berpecah. Lalu A’sim berkata dia terus membawa maklumat ini berjumpa dengan gurunya yang lain iaitu Hassan, lalu Hassan berkata, ‘Sesungguhnya beliau (Abi ‘Aliah) telah menasihati kamu dengan betul dan demi Allah dia benar. “” (Direkodkan oleh Imam Al-Asbahani dalam Hilyatu Al-Awliyak Wa Tobagotu Al-Asfiyak, Fa Min Al-Tobaqoh Al-Ula Min Al Tabiin, bab Abu Aliah: Inna Al-Tasawwufa Al-Rido Bi Al-Qismati Wa Al-Saga Bi Al-Nikmah, daripada Abi Aliah.)
Syarah dan Tahqiq
Abi ‘Aliah adalah salah seorang sahabat Nabi yang hidup sezaman dengan baginda Nabi Muhammad S.A.W. Namun, beliau belum lagi memeluk Islam dan hanya memeluk Islam semasa Khalifah Ar-Rasyidin yang pertama diangkat iaitu Khalifah Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Abi ‘Aliah adalah seorang ulama’ muhaddith tersohor di Iraq.
Orang-orang pada zaman dimaksudkan oleh Abi ‘Aliah adalah pada zaman Islam masih tidak berpecah dan masih kuat berpegang pada ajaran yang sebenar-benarnya daripada Nabi SAW. Bermaksud mereka adalah sahabat yang hidup sezaman dengan Nabi SAW ataupun hidup selepas sedikit sahaja daripada tempoh kewafatan Nabi.
Saya kerap mengingatkan kita semua, sehebat manapun ulama’ yang menjadi guru kita pada hari ini, semuanya tiada jaminan akan ke syurga. Justeru, apa yang terlebih baik dan selamat adalah sentiasa merujuk kepada sunnah baginda Nabi, jejak langkah dan kefahaman Khulafa Ar-Rasyidin dan juga sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga. Itulah golongan terbaik dan paling selamat diikuti disebabkan jaminan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Maka semua individu ulama’ sebesar mereka, maka menjadi tanggungjawab kita sentiasa menyemak dan meminta panduan daripada mereka, dengan dalil-dalil daripada sumber sahih Al-Quran dan sunnah serta perbuatan sahabat Nabi, khasnya dalam hal berkaitan ibadah dan urusan ghaib. Itulah salah satu kaedah bagi mengelak taasub buta kepada guru pada zaman moden ini.
Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis: Syarah Terpilih Kitab Tablis Iblis Ibni Al-Jauzi, Dr Zaharuddin Abdul Rahman
Leave a comment