Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Kenapa GISBH Buat Begini Kepada Kanak-Kanak?

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

إِنَّا عَرَضْنَا ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا ٱلْإِنسَـٰنُ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومًۭا جَهُولًۭا(٧٢)

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

(Surah Al-Ahzab 33:72)

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk, “Kenapa GISBH Buat Begini Kepada Kanak-Kanak?”. 

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Umat Islam hari ini telah dikejutkan dengan laporan daripada akhbarakhbar arus perdana yang memaparkan berita tentang siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kegiatan jenayah yang dilakukan oleh kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya. 

Laporan menyebutkan beberapa kesalahan serius yang disyaki dilakukan oleh GISBH adalah seperti penderaan terhadap pelajar, eksploitasi terhadap kanak-kanak, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual termasuk liwat di beberapa rumah amal termasuklah di sekolah-sekolah agama Islam di bawah kendalian pihak GISBH sendiri. Kenapa ini berlaku? Apakah tujuan sebenarnya. 

Kesalahan berhubung dengan amalan bertentangan dengan akidah agama Islam juga dikesan dan disyaki dilakukan di beberapa premis kumpulan GISBH. Semua perbuatan jenayah dan kesalahan akidah ini mencemar nama baik dan kesucian agama Islam. Malah boleh tergelincir akidah dan batal shahadah seseorang muslim bila melakukan kesalahan akidah ini. 

Apa yang paling mendukacitakan ialah laporan akhbar ada menyatakan kebanyakan rumah amal di bawah GISBH yang terbabit di dalam siasatan sudah lama beroperasi di beberapa negeri termasuk Selangor. Malah rumah amal ini pula tidak didaftarkan mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Kenapa tidak berdaftar? 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri telah bertitah baru-baru ini pada 21 September berhubung dengan  isu ini. Baginda menitahkan semua agensi agama Islam Selangor iaitu MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama PDRM (Kontinjen Selangor dan Bukit Aman) bekerjasama mengambil langkah tegas menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan semua yang terbabit dengan kesalahan jenayah ini diambil tindakan dengan sewajarnya. 

Pada masa sama, sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat dari terus dianiayai, Tuanku telah menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam yang di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah hendaklah diarah supaya ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi lagi di negeri Selangor ini. 

Baginda turut menasihati ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama atau pusat penjagaan amal supaya menyemak latar belakang sesebuah sekolah atau pusat penjagaan amal itu terlebih dahulu. Ini penting agar tidak terjebak dengan sekolah dan pusat jagaan yang tidak berdaftar dan melaksanakan program serta pembelajaran meragukan. Ini bertujuan memastikan anak-anak dididik dan dijaga dengan baik serta mengelak berlaku pengabaian dan eksploitasi terhadap anak-anak itu. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Ingatlah bahawa anak-anak adalah suatu amanah daripada Allah SWT untuk dijaga kemuliaan dan kebajikan mereka. Ibu bapa serta penjaga termasuk rumah amal bertanggungjawab untuk mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak. Malah bertanggungjawab mewujudkan kehidupan yang baik serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak sepanjang masa. 

Allah SWT berfirman dalam surah al Isra’ ayat 70: 

۞ وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلْنَـٰهُمْ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ وَرَزَقْنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَفَضَّلْنَـٰهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍۢ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًۭا (٧٠)

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(Surah al Isra’  17:70)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa antara kesempurnaan nikmat, anugerah dan rahmat Allah SWT ialah Allah SWT memuliakan manusia termasuk kanak-kanak. Kemuliaan ini adalah anugerah untuk mereka dengan menciptakan mereka dalam rupa dan bentuk yang terbaik. Allah SWT menganugerahkan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan akal. Oleh itu, janganlah manusia yang kecil ini dihina, didera dan dizalimi sedangkan Allah SWT memuliakan dan merahmati mereka. Kenapa ada manusia lain yang menzalimi dan mendera kanak-kanak? 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Keutamaan dalam memelihara dan mendidik anak-anak sebenarnya adalah satu tuntutan dalam Islam. Ia berkaitan secara langsung dengan tujuan memelihara kemaslahatan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan mereka. Kefahaman ajaran Islam ini terhadap maqasid syariah dan hak kanak-kanak hendaklah difahami oleh semua pihak termasuk pihak GISBH. 

Penderaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak yang disyaki terjadi amat mendukacitakan. Kenapa pihak GISBH melakukannya? Pihak GISBH hendaklah faham bahawa kanak-kanak mempunyai hak yang perlu dihormati dan disantuni. Kanak-kanak mempunyai hak untuk dimuliakan secara adil dan baik. Mereka juga mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana yang aman dan selamat serta jauh dari perlakuan jenayah yang jijik seperti pencabulan, liwat, dera, kahwin dan cerai secara paksa, buruh paksa, pemisahan anak-anak dari ibu bapa malahan disuruh mengaku sebagai anak yatim. 

Sekiranya benar siasatan menjurus kepada kesalahan-kesalahan jenayah seperti yang diperkatakan tadi, amatlah tidak wajar apa yang dilakukan oleh pihak GISBH ini apabila tidak memelihara kanak-kanak dengan baik malah melakukan kezaliman terhadap mereka seperti menyekat pendidikan kanak-kanak tersebut untuk mendapat pendidikan arus perdana. Ini bertujuan untuk menyekat hubungan mereka dengan dunia luar. Selain itu juga mereka dengan berniat mengeksploitasi kudrat dan tulang empat kerat kanak-kanak ini demi kepentingan kumpulan mereka. Akhirnya sebilangan kanak-kanak tersebut akan menjadi penerus dan pendokong kesesatan akidah dan kepentingan duniawi barisan-barisan kemimpinan GISBH. Dengan kata lain, kanak-kanak dijadikan hamba demi ketuanan para pemimpinnya.

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Islam menuntut umatnya termasuk pihak GISBH agar menjaga kanak-kanak dengan baik dan menunaikan hak mereka. Sempurnakan dan berikan kepada mereka keperluan asasi seperti pakaian, makan minum, tempat tinggal, perlindungan dan keselamatan. Jagalah kehormatan dan maruah mereka. Berilah perhatian dan curahkan kasih sayang kepada mereka. Jangan lakukan apa-apa jua bentuk keganasan dan kezaliman terhadap mereka kerana Islam sangat melarang perbuatan sedemikian. Malah Nabi SAW tidak mengiktiraf golongan zalim ini sebagai umatnya kerana melakukan perbuatan yang dicela mengikut nafsu buas seperti binatang.  

Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radhiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Orang yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak mengetahui hak-hak orang tua maka ia bukan dari umat kami (umat Nabi Muhammad SAW).”

(Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, terdapat sebuah hadis Rasulullah SAW yang menerangkan balasan tidak dapat mencium haruman syurga Allah SWT ke atas seseorang penjaga yang tidak menunaikan amanah dan mengabaikan hak orang-orang di bawah tanggungan mereka. 

Hadis yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar al-Muzani Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

Maksudnya: “Tiada seorang hamba yang telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk menguruskan hal ehwal jagaan di bawah tanggungannya lalu tidak menunaikan amanah tersebut meskipun dengan hanya menyampaikan satu nasihat melainkan tidak dapat mencium haruman syurga.”

(Riwayat al-Bukhari)

Berpandukan hadis ini ternyata kanak-kanak adalah insan yang dibawah tanggungjawab ibubapa atau penjaganya yang semestinya diurus dan diberi dengan kasih sayang sepenuhnya, keselamatan mereka dilindungi dan maruahnya dipelihara. 

Oleh yang demikian, janganlah didera, janganlah menganiaya kanakkanak. Fikirlah bahawa kanak-kanak adalah anugerah Ilahi. Lihatlah mereka dengan pandangan kasih sayang. Kanak-kanak adalah permata negara dan khazanah yang bernilai. Doakan kanak-kanak ini dengan harapan dapat menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan. Asuhlah mereka dengan asuhan menjadi insan yang berguna. Didiklah mereka dengan didikan agama Islam agar betul akidahnya, benar syariahnya dan cantik akhlaknya. Didiklah mereka dengan ilmu yang bermanfaat dan kemahiran hidup agar terjamin kehidupan akan datang. Pupuklah mereka dengan semangat juang agar menjadi generasi yang berkualiti dan semailah mereka dengan nilai peribadi yang murni untuk menghadapi kehidupan yang lebih mencabar. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu: 

1. Umat Islam hendaklah sedar bahawa kanak-kanak adalah amanah Allah SWT untuk dijaga dan dididik berpandukan ajaran Islam yang sebenarnya. 

2. Umat Islam hendaklah menyayangi dan menyantuni kanak-kanak dengan penuh kasih sayang kerana kanak-kanak adalah penyejuk mata kepada ibubapa dan penjaganya yang menjadi sebab dimasukkan ke syurga Allah SWT. 

3. Umat Islam hendaklah sama-sama melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk penderaan dan kezaliman dengan penuh amanah, ikhlas dan tegas demi kebajikan dan kemaslahatan nyawa mereka.

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ(٢٧)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanahamanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”.

(Surah Al-Anfal 8:27)

Tarikh Dibaca: 23 Rabiulawal 1446h/ 27 September 2024
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid 
Jabatan Agama Islam Selangor

One thought on “Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Kenapa GISBH Buat Begini Kepada Kanak-Kanak?

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑