أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًۭا فَٱتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٥٣)
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah Al-An’am 6:153)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua.
Dengarkan baik-baik, kerana pada hari ini saya akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Berpegang Atas Manhaj Yang Benar”.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Islam ialah satu-satunya cara hidup yang diterima dan diredhai oleh Allah SWT. Memilih selainnya merupakan satu kerugian yang sangat besar sama ada di dunia lebih-lebih lagi pula di akhirat nanti. Negara kita telah menetapkan bahawa pegangan umat Islam di negara ini ialah berdasarkan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah. Lalu, bagaimana yang dikatakan sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah, ketika masing-masing mendakwa merekalah Ahli Sunnah wal Jamaah? Maka secara ringkasnya, Ahli Sunnah wal Jamaah ialah golongan yang mengikuti pegangan Nabi SAW atau mengikuti jalan Nabi SAW dan para sahabat radhiallahuanhum yang dididik oleh Baginda.
Istilah Ahli Sunnah wal Jamaah ini dirumuskan oleh para ulama berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, daripada Abdullah bin ‘Amru radhiallahu anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda;
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Israel telah berpecah kepada 72 kelompok. Manakala umatku akan berpecah kepada 73 kelompok. Kesemuanya akan dimasukkan ke neraka, kecuali satu kelompok. Mereka bertanya, “siapakah mereka itu, wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab, mereka ialah golongan yang berpegang dengan ajaranku dan para sahabatku”.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Isu ajaran sesat dan menyeleweng bukanlah suatu isu baharu bahkan ia telah bermula sejak sekian lama. Allah SWT mengutuskan para nabi-Nya, termasuk Nabi Adam AS untuk menyeru manusia menyembah Allah SWT dan menjauhi taghut. Kelompok ajaran sesat terawal ialah pengikut kepada individu yang mengaku sebagai nabi selain Rasulullah SAW, antaranya ialah Musaylamah al-Kazzab.
Penyebaran ajaran sesat juga terus berkembang dan berubahmerentasi zaman menggunakan pelbagai cara untuk menarik pengikut danmencapai keuntungan peribadi. Namun, kebatilan yang dibawa tidak dapat mematahkan kebenaran Islam yang suci. Negara kita juga tidak terlepas daripada ancaman penyebaran ajaran sesat. Ajaran sesat yang timbul membawa bermacam bentuk doktrin dan fahaman. Ada yang mengingkari kandungan dan kebenaran al-Quran, ada pula yang mendakwa diri sebagai nabi atau rasul, ada juga yang mentafsir al-Quran secara salah, juga yang mengkafirkan sesama Muslim tanpa dalil syar’i, juga yang mendewa-dewakan pemimpin hingga melampaui batas syarak.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah tidak mendorong umatnya untuk bersikap ekstrem. Sebaliknya manhaj ini sangat menganjurkan umatnya berkasih sayang dan bersederhana. Timbulnya ekstremisme dalam kelompok masyarakat apabila mereka merasakan bahawa dirinya atau kelompoknya sahaja yang benar, atau menganggap guru-guru mereka sahaja yang betul dan macam-macam lagi dakwaan. Ia tidak lain berpunca dari sikap fanatik atau taksub membuta tuli.
Bahayanya sikap ekstrem boleh membinasakan masyarakat dan negara seluruhnya. Nabi SAW telah memperingatkan kita untuk berwaspada terhadap sikap ekstrem termasuk melampau dalam beragama kerana sikap itulah yang banyak membinasakan umat terdahulu. Baginda SAW bersabda yang maksudnya:
“Wahai sekalian manusia! Berwaspadalah terhadap sikap ekstrem dalam beragama kerana perkara yang membinasakan umat sebelum kamu ialah sikap ekstrem dalam beragama”.
Islam turut menolak segala bentuk kekerasan sama ada melalui pertuturan dan tindakan. Ekstremisme hanya memunculkan fitnah yang lebih dahsyat, perpecahan, kebencian, dan kehancuran negara. Maka, kita perlu lebih bijak dan rasional dalam menghadapi sesuatu isu. Usah biarkan emosi mendahului setiap keputusan, pertuturan dan tindakan kita. Sebaliknya berfikirkan dengan waras dan kembalilah kepada al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi penyelesai bagi segala kekeliruan.
Saudara-Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian,
Dalam mendepani isu yang berlaku di negara kita ketika ini, seharusnya, semua pihak memberi ruang yang secukupnya kepada seluruh pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dan peranan masing-masing. Tidak seharusnya kita sibuk bertelagah, menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain. Sebaliknya, kita perlu bermuhasabah dengan diri sendiri atas segala yang berlaku.
Daripada mengkritik, menuduh, mencari kesalahan, mencerca dan sebagainya di media-media sosial, bukankah lebih baik kita diam atau setidak-tidaknya kita doakan kesejahteraan dan keselamatan serta turut mendoakan mereka yang terlanjur diberi petunjuk hidayah untuk kembali bertaubat kepada Allah SWT?
Begitulah seharusnya sikap seorang Mukmin yang saling mendoakan kebaikan orang lain kerana mereka tahu bahawa kebaikan doa itu akan berbalik kepada dirinya sendiri dan masyarakat seluruhnya.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abi Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak ada seorang Muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat akan mendoakannya pula: ‘Dan bagimu kebaikan yang sama”.
Mimbar turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak Polis Diraja Malaysia yang telah melaksanakan Ops Global bersama sama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kimia bagi membendung ajaran yang menyimpang serta mengekang sebarang perbuatan jenayah yang bertentangan dengan undang-undang.
Diharapkan agar operasi ini akan dipermudahkan dan dapat memberi keadilan kepada semua pihak. Semoga Allah SWT melindungi dan memelihara negara dan umat Islam di negara ini dari sebarang penyelewengan akidah, syariah dan akhlak. Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin merumuskan beberapa perkara:
Pertama: Ahli Sunnah wal Jamaah ialah mereka yang menuruti pegangan dan jalan hidup yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Inilah satu-satunya kelompok yang terselamat dari neraka. Maka seharusnya kita berpegang teguh dengan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah.
Kedua: Persiapkan diri dengan akidah dan iman yang teguh dalam mendepani pelbagai bentuk ajaran yang menyeleweng dari pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Ketiga: Berhenti menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain, sebaliknya bermuhasabahlah dan doakan semoga semuanya kembali kepada landasan Islam yang sebenar. Ia lebih baik kerana manfaatnya juga akan dinikmati meliputi seluruh umat. Insya-Allah.
Renungkan firman Allah SWT dalam Surah al-A’raaf ayat 158:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنِّى رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا ٱلَّذِى لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ يُحْىِۦ وَيُمِيتُ ۖ فَـَٔامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِ ٱلنَّبِىِّ ٱلْأُمِّىِّ ٱلَّذِى يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَكَلِمَـٰتِهِۦ وَٱتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ(١٥٨)
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimah-Nya (Kitab-kitab-Nya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”.
(Surah al-A’raaf 7:158)
Tarikh Dibaca: 23 Rabiulawal 1446h/ 27 September 2024
Disediakan Oleh:Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment