Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Betulkan Akidah Pengikut GISBH

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

قُلْ هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدْعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى ۖ وَسُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ(١٠٨)

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

(Surah Yusuf 12:108)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Betulkan Akidah Pengikut GISBH”

Hadirin Jumaat Yang Di Rahmati Allah SWT, 

Isu GISBH sedang hangat diperkatakan sekarang. Persoalannya GISBH ini adakah sama dengan Al-Arqam dahulu yang telah diharamkan segala fahaman dan ajarannya oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor? Adakah Buku Aurad Muhammadiah yang diharamkan sebelum ini masih diamalkan oleh pengikut GISBH? Jawapannya adalah sama jika fahaman dan ajarannya masih sama antara Al-Arqam dan GISBH yang diamalkan oleh ahli-ahli GISBH sekarang. Oleh itu umat Islam di negeri ini hendaklah berhati-hati dan dilarang berpegang serta beramal dengan fahaman dan ajaran GISBH ini. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Al-Arqam adalah sebuah kumpulan ajaran yang ditubuhkan oleh Ashaari Muhammad pada tahun 1968. Setelah pengharaman Al-Arqam pada tahun 1994, beberapa ahli bekas kumpulan tersebut menubuhkan syarikat Rufaqa’ Co, GISB dan GISBH sebagai sebuah syarikat perniagaan yang besar. Mereka mengendalikan pelbagai jenis perniagaan, termasuk restoran, penginapan, perniagaan peruncitan, dan khidmat sosial di bawah jenama ini. 

Pengaruh Ashaari Muhammad masih kuat dalam kumpulan ini walaupun selepas pengharamannya. Ashaari Muhammad yang meninggal dunia pada tahun 2010 terus dihormati oleh pengikutnya dan pengaruhnya jelas dalam struktur perniagaan dan sosial Global Ikhwan. 

Kes Global Ikhwan mencerminkan bagaimana sebuah organisasi yang pernah diharamkan kerana ajaran sesat boleh meneruskan pengaruhnya dalam masyarakat melalui perniagaan dan aktiviti sosial. Walaupun ia tidak lagi secara terang-terangan menyebarkan ajaran yang sama, pengaruh dan nilai-nilai yang diasaskan oleh Al-Arqam masih dilihat dalam operasi dan struktur organisasi ini. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri telah berkenan fatwa mengharamkan fahaman dan ajaran pertubuhan al-Arqam sebelum ini. Pengharaman segala fahaman dan ajarannnya telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor melalui fatwa yang diwartakan pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 21 Disember 2006 dan yang terkini fatwa yang telah diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 3 Oktober 2024 yang sedang dalam proses pewartaan. 

Apabila fatwa ini diwartakan maka ia telah mengikat dan menjadi kewajipan kita setiap orang Islam yang berada dalam negeri Selangor untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa ini. Mana-mana fatwa yang diingkari atau dihina boleh diambil tindakan undang-undang. Beginilah caranya Islam kekal terpelihara dan terkawal dalam negeri ini serta dapat membendung ajaran sesat yang bermaharajalela. 

Oleh itu kita sebagai umat Islam di negeri ini yang sayangkan Islam dan cintakan negeri ini, hendaklah mematuhi sungguh-sungguh setiap ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan fatwa yang telah ditetapkan. Taatilah Ketua Agama Islam Negeri yang beramal dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tinggalkanlah ajaran dan fahaman al-Arqam dan mana-mana ajaran lain yang mempunyai persamaan dengan al-Arqam. Jauhkanlah diri daripada kumpulan GISBH kerana fahaman dan ajaran mereka telah menyimpang daripada akidah Islam yang sebenarnya malah mengelirukan umat Islam. 

Apakah penyimpangannya? Menyimpang dalam bentuk pemujaan berlebihan terhadap pemimpin, menyimpang dalam amalan poligami menyimpang dengan wujud unsur-unsur kesyirikan dari ajaran asal Al-Arqam, menyimpang dengan kepercayaan kepada kebangkitan semula pemimpin alArqam yang telah meninggal dunia, dan menyimpang dengan percaya kebangkitan Imam Mahdi yang dikaitkan dengan Al-Arqam. 

Hadirin Jumaat yang dimuliakan sekalian,

Penyimpangan Pertama: Kepercayaan kepada kebangkitan semula pemimpin al-Arqam yang telah meninggal dunia seperti As-Suhaimi mati pada zahir sahaja sebaliknya ia ghaib dan lahir semula sebagai Imam Mahdi. Dalam al-Quran telah dijelaskan bahawa mereka yang telah mati meninggalkan kita, roh mereka tidak akan kembali ke dunia lagi kecuali dengan kehendak Allah SWT. Sama ada kembali untuk menziarahi ahli keluarganya, membalas dendam ataupun dari segala macam perbuatan manusia lain yang masih hidup. Sama ada roh itu dalam keadaan baik ataupun buruk. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 100: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

لَعَلِّىٓ أَعْمَلُ صَـٰلِحًۭا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّآ ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآئِلُهَا ۖ وَمِن وَرَآئِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ(١٠٠)

 “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkaraperkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” 

(Surah al-Mukminun 23:100)

Imam Al-Tabari menukilkan riwayat Mujahid yang mana menyebut bahawa barzakh di dalam ayat di atas ialah hijab (seperti tembok penghalang) diantara orang yang telah mati untuk pulang ke dunia. 

Manakala berkaitan dengan al-Mahdi dan kemunculannya. Merujuk kepada sebuah hadis sahih menjelaskan bahawa al-Mahdi akan keluar di akhir zaman dan tidak ada syak lagi padanya yang menguasai keseluruhan bangsa Arab serta akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan saksama. Daripada Abdullah bin Mas’ud Radhiallahuanhu beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku, atau dari ahli baitku. Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman.”

(Riwayat Abu Daud)

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,

Penyimpangan Kedua: Ketaksuban dan pemujaan kepada Kepimpinan Ashaari Muhammad bahawa Ashaari Muhammad memiliki kuasa kerohanian yang luar biasa, dan ada pula dakwaan bahawa mereka percaya Sheikh Muhammad al-Suhaimi akan kembali sebagai Imam Mahdi. Ketaksuban dan pemujaan kepada pemimpin tidak dibenarkan dalam ajaran Islam dan boleh membawa kekufuran. Sebaliknya ia suatu bentuk ketaatan kepimpinan sahaja. Ini kerana ketaatan kepada pemimpin adalah wajib dan menjadi tuntutan di sisi syarak sebagaimana dalam firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 59:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ

Maksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” 

Islam mengajar mentaati ketua pada setiap perkara yang makruf. Ini kerana arahan ketua selagi mana ia menyeru kepada kebaikan dan kemaslahatan umat secara umum hendaklah didengar dan ditaati walaupun arahan yang dikeluarkan tidak dipersetujui oleh pandangan peribadi segelintir orang tertentu. 

Oleh itu, memberikan taat setia kepada pemimpin dalam setiap perkara makruf merupakan kewajipan dan tanggungjawab kepada yang dipimpin tetapi bukanlah pemujaan atau ketaksuban. 

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Wajib bagi setiap Muslim patuh dan taat (kepada pemimpin) pada apa yang dia suka dan dia benci, selagi mana dia tidak diperintah melakukan maksiat. Justeru apabila dia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi kewajipan untuk patuh dan taat.”

(Riwayat al-Bukhari)

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Penyimpangan Ketiga: Wujud unsur-unsur khurafat dan syirik dari ajaran asal Al-Arqam seperti minda Abuya adalah wahyu Tuhan, Allah akan beritahu kepada Abuya tentang sesuatu penyakit di kalangan pengikutnya  serta dipercayai memiliki ramalan tentang masa depan. Walaupun selepas kumpulan ini diharamkan dan berubah menjadi GISBH, elemen-elemen ini masih dilihat secara tersirat dalam kepercayaan dan amalan di kalangan ahlinya. 

Dalam Islam, syirik dan khurafat adalah dosa besar yang paling besar. Oleh itu, ianya diletakkan sebagai dosa besar yang pertama daripada 76 dosa besar yang dihimpunkan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya alKaba’ir. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 48: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفْتَرَىٰٓ إِثْمًا عَظِيمًا(٤٨)

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’ 4:48)

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Penyimpangan Keempat : Kepercayaan dan amalan poligami yang tidak mengikut hukum syarak dan undang-undang yang berkuatkuasa. Mereka mengadakan seminar dan kempen untuk memperluaskan amalan poligami dalam kalangan ahli-ahli mereka. Walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, pendekatan kumpulan ini terhadap amalan tersebut sering dikritik kerana ia dilihat sebagai mengabaikan hak dan kesejahteraan wanita. 

Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu hukumnya boleh berubah kepada tiga iaitu: 

Hukum SUNAT apabila sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteriisterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah SAW, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka. 

Hukum MAKRUH jika sekiranya lelaki itu semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih daripada satu tanpa ada keperluan yang zahir.” 

Hukum HARAM jika sekiranya diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Hadis daripada Ibn Abbas Radhiallahunahuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.” (Riwayat Imam Malik). 

Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 3:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا۟ فِى ٱلْيَتَـٰمَىٰ فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُوا۟(٣)

“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteriisteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

(Surah al-Nisa’ 4:3)

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu: 

  1. Umat Islam hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. 
  2. Umat Islam hendaklah benar-benar mengenali Ahli Sunnah Wal Jamaah agar tidak keliru terhadap golongan-golongan yang memperaku bahawa mereka adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun hakikatnya mereka adalah golongan yang terpesong dan menyimpang.
  3. Umat Islam hendaklah lebih berhati-hati dengan bersikap tabayyun dan menyelidik sebelum mengikut membuta tuli di sebalik perkataan agama dan amal atau seumpamanya dengan merujuk kepada pihak berkuasa.
  4.  Umat Islam hendaklah menolak akidah yang dipegang oleh kumpulan GISBH yang nyata bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

ٱتَّخَذُوٓا۟ أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَـٰنَهُمْ أَرْبَابًۭا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلْمَسِيحَ ٱبْنَ مَرْيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوٓا۟ إِلَـٰهًۭا وَٰحِدًۭا ۖ لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَـٰنَهُۥ عَمَّا يُشْرِكُونَ(٣١)

Maksudnya: “Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” 

(Surah al-Taubah 9:31)

Tarikh Bacaan: 1 Rabiulakhir 1446H/4 Oktober 2024
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑