Teks Khutbah Jumaat (WP): Amalkan Kesederhanaan, Hindari Ketaksuban

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ ءَامَنُوا۟ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوٓا۟ إِلَى ٱلطَّـٰغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوٓا۟ أَن يَكْفُرُوا۟ بِهِۦ وَيُرِيدُ ٱلشَّيْطَـٰنُ أَن يُضِلَّهُمْ ضَلَـٰلًۢا بَعِيدًۭا(٦٠) 

(Surah An-Nisa’ 4: 60)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kepada Allah. Laksanakan segala perintah dan jauhi segala yang ditegah. Berikan tumpuan kepada khutbah Jumaat dan tinggalkan semua perkara yang melalaikan dan sia-sia. Mudah-mudahan kita beroleh kesempurnaan ganjaran solat hari ini dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Realiti kehidupan masa kini yang sangat menagih pedoman untuk menjamin kesejahteraan, maka khutbah hari ini membicarakan tajuk, “Amalkan Kesederhanaan, Hindari Ketaksuban”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sehingga hari ini, kita masih hangat membicarakan tentang fahaman atau ajaran yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam yang sebenar. Kesal dan sayu bila mengenangkan berbagai-bagai perkara pelik dan jelek dinisbahkan kepada agama yang suci ini tanpa rasa bersalah. Ingatlah Allah SWT telah sering memperingatkan kita agar kekal di landasan kemurnian akidah dan menghindari kesesatan sebagaimana firman Allah SWT yang menjadi mukaddimah khutbah, menerusi surah an-Nisa’ ayat 60, bermaksud:

“Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintah supaya mengingkari taghut itu. Syaitan ingin menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.”

Kaum Muslimin yang berbahagia,

Bukankah Islam yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah SAW hakikatnya telah cukup sempurna dan indah untuk dihayati dan diamalkan? Ia telah lengkap dan jelas untuk menyuluh segenap ruang hidup lalu menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Inilah yang pernah dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Majah daripada al-‘Irbadh bin Sariyah radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Aku tinggalkan kamu semua di atas agama yang putih jelas, sehingga malamnya cerah umpama siangnya, tiada yang menyeleweng daripadanya selepasku melainkan orang yang celaka. Sesiapa yang hidup di saat itu dia akan melihat perselisihan yang banyak, maka kamu wajib berpegang dengan apa yang kamu tahu daripada sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang sentiasa menuruti petunjuk.” 

Faktor fanatik dan taksub kepada sesuatu fahaman menjadikan seseorang buta terhadap kebenaran. Sikap ini membawa keyakinan bahawa hanya kelompok mereka sahaja yang benar dan tidak mahu merujuk dan berpegang kepada nas-nas syarak dan sumber-sumber yang berautoriti dan muktabar. Keyakinan sebegini akan mengundang sikap ekstrem dan watak pelampau. Ternyata pendokong watak ini sering mengundang masalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Sedarlah, Islam menolak keras segala bentuk ketaksuban dan gerakan pelampau agama kerana ia meruntuhkan nilai kemanusiaan dan kehidupan yang menjadi asas perjuangan Rasulullah SAW. Inilah yang diungkapkan Rib’ie bin ‘Aamir di hadapan Rustum, panglima perang Parsi, semasa Perang al-Qadisiyah pada tahun ke-14 hijrah; 

“Kami datang untuk mengeluarkan manusia dari penghambaan sesama manusia kepada pengabdian semata-mata kepada Allah, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, dan dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Tetamu-tetamu Allah yang diberkati,

Keselamatan dan keharmonian nasional merupakan dua aspek asas yang menunjangi kestabilan negara. Di atas kepentingan ini, Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah Dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) di tubuhkan. Ia menjadi garis panduan utama dalam menyelaras peranan, strategi dan inisiatif tindakan oleh sektor kerajaan, swasta, media massa, pendidikan dan pelbagai kumpulan masyarakat dengan bersandarkan empat teras iaitu Pencegahan, Penguatkuasaan, Pemulihan, dan Pengukuhan.

Di samping itu, mari kita mengamalkan kesederhanaan dalam segenap sudut kehidupan. Inilah neraca kebenaran agama ini yang perlu difahami dan dijadikan teras dalam membuat pilihan dan tindakan. Agar segala yang melampau dan keterlaluan dapat kita tolak dan jauhi. Amati pesanan baginda dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya agama ini mudah, dan tiada seorang pun yang memberat-beratkan agama ini melainkan dia akan tewas. Maka, bersederhanalah, lakukan yang terbaik, dan bergembiralah, serta minta pertolongan (kepada Allah) pada waktu pagi, petang dan sedikit di waktu malam.”

Begitu juga, hentikan normalisasi pertuturan buruk yang jauh menyimpang daripada akhlak Islam yang penuh dengan nilai rahmah, hikmah dan wasatiyah dalam kehidupan. Usaha mengarusperdanakan budaya kalimah tayyibah perlu dipergiatkan bertepatan dengan keperluan zaman. Sebuah masyarakat Muslim perlu melazimi ucapan yang baik lalu menjadi suri teladan kepada seluruh manusia sesuai dengan gelaran khayra ummah (sebaik-baik umat) dan ummatan wasata (umat pilihan lagi adil dan bersederhana). Ia menjadi pengukur nilai akhlak, etika dan moral sesebuah rakyat, negara dan bangsa.

Jika baik pertuturannya, baiklah akhlaknya. Jika baik akhlaknya, baiklah masyarakatnya. Jika baik masyarakatnya, baiklah negaranya. Hasilnya, rakyat dan negara akan mendapat limpahan rahmat, keamanan, keharmonian dan kesejahteraan.

Hamba-hamba Allah yang dikasihi,

Kembalilah ke pangkuan Islam yang sebenar. Berwaspadalah dengan apa juga bentuk ajaran dan fahaman ekstrem. Apa juga bentuk kesesatan dan kezaliman kerana ia diharamkan Allah SWT. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Qudsi daripada Abu Dzar al-Ghifari radialllahuanhu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Wahai hamba-hamba-Ku, Sungguh Aku haramkan penzaliman ke atas diri-Ku sendiri dan aku jadikan ia haram dalam kalangan kamu, maka janganlah berbuat zalim.”

Mengakhiri khutbah, beberapa saranan disisipkan buat pedoman kita bersama:

Pertama: Kembalilah kepada kesederhanaan Islam dan berwaspadalah dengan ajaran yang menampilkan ketaksuban dan fahaman ekstrem.

Kedua: Gagasan dan pelan tindakan kerajaan bagi memastikan keselamatan dan keharmonian nasional perlu didokong bagi menjamin kestabilan negara.

Ketiga: Budayakan kalimah tayyibah. Hentikan normalisasi pertuturan buruk yang menyimpang jauh daripada akhlak Islam yang penuh dengan nilai rahmah, hikmah dan kesederhanan.

Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Rum, ayat 30:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًۭا ۚ فِطْرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ(٣٠)

Maksudnya: “Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang lurus, iaitu agama yang Allah menciptakan (dengan fitrah semulajadinya) untuk manusia menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

(Surah Ar-Rum 30:30)

Tarikh Bacaan: 1 Rabiulakhir 1446H/4 Oktober 2024
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑