Soalan
Mohon pencerahan saiz sebesar apakah darah yang dimaafkan pada luka seperti terkena pisau. Panjang dalam 1.5 cm dan darah secara garisan. Ada kalanya luka yang panjang tetapi darah hanya dihujung dan ada darah yang tidak terlalu banyak kadang-kadang dan ada yang banyak. Saya selalu runsing dan membasuh pakaian atau terus tukar pakaian yang terkena darah luka. Saya risau najis tersebar ke meja kerusi pintu etc walaupun kadang-kadang rasa darah tu tak banyak pun.
Jawapan Ikhtisar:
Para ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa darah yang mengalir itu adalah najis berdasarkan istinbat hukum daripada firman Allah SWT pada ayat 173 dalam Surah al-Baqarah serta ayat 145 dalam surah al-An’am. Namun demikian, darah yang sedikit itu dimaafkan oleh syara’ dan sekiranya banyak, maka darah tersebut mestilah daripada dirinya sendiri, tidak disengajakan dan tidak terkena pada tempat lain.
Sekiranya tidak mematuhi tiga syarat ini, maka darah yang banyak itu dikira sebagai najis. Akhir sekali, fuqaha’ al-Shafi’i memberikan panduan bahawa darah yang sedikit itu mestilah mengikut uruf situasi seseorang. Maka, sekiranya darah itu hanyalah sekadar garisan atau sebesar titik, ianya dimaafkan oleh syara’.
Jawapan Tafsil:
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Sebagai manusia, kita sering kali tidak akan terlepas daripada terkena sebarang luka sama ada pada perempuan yang selalu memasak di rumah mahupun para lelaki yang melakukan pertukangan ataupun kerja-kerja yang memerlukan penggunanya menggunakan alat-alat yang tajam. Bahkan, pada sesuatu pekerjaan, kita secara tidak langsung terhiris pada jari dan keluar daripadanya darah sedangkan kita tidak merasakan sakit dan mendapati darah itu mengalir sehingga ianya terlihat pada mata kasar manusia.
Kenajisan Darah
Para ulama’ sepakat mengatakan bahawa darah itu merupakan salah satu najis, dan wajib mencucinya terlebih dahulu sebelum melakukan solat, sekiranya tidak maka solatnya adalah tidak sah. Kenajisan darah itu telah tsabit dalilnya di dalam al-Quran.
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah
[Surah al-Baqarah 2:173]
Dalam mazhab al-Shafi’i menyebutkan bahawa darah yang mengalir itu adalah merupakan najis sepertimana yang telah dinyatakan di dalam Fiqh al-Manhaji di dalam bab Benda-Benda (A’yan) yang Najis, jild. 1, hlmn. 39:
الدم السائل ومنه القيح: قال تعالى: (أو دمًا مسفوحًا أو لحم خنزير فإنه رجس) [سورة الأنعام: الآية ١٤٥]
Maksudnya: Darah yang mengalir termasuk nanah. Allah SWT berfirman: Atau darah yang mengalir, atau daging khinzir kerana sesungguhnya ia adalah kotor.
[Surah al-An’am 6:145]
Oleh yang demikian, sekiranya mendapati darah mengalir pada jari mahupun pada anggota-anggota badan yang lain, maka kemestiannya kita perlu mencuci darah tersebut dengan air mutlak sehingga hilang bau, rasa dan warnanya kerana ia sebahagian daripada najis mutawassitah.
Walau bagaimanapun, para fuqaha’ as-Shafi’i menggariskan beberapa kelonggaran mengenai darah sebagai najis dengan mengatakan bahawa darah luka yang sedikit termasuk sebagai najis yang dimaafkan oleh syara’. Ianya disebutkan di dalam Fiqh Manhaji jild. 1, hlmn. 43:
دم وقيح الجروح ولو كان كثيرًا، شريطة أن يكون من الإنسان نفسه، وأن لا يكون بفعله وتعمده، وأن لا يجاوز محله المعتاد وصوله إليه
Maksudnya: Darah (luka) atau nanah walaupun banyak, dengan syarat ia terjadi pada dirinya sendiri, bukan daripada perbuatannya dan tidak disengajakannya, serta tidak terkena pada tempat yang lain.
Oleh itu, berdasarkan penjelasan di atas, darah luka ataupun nanah yang sedikit itu merupakan najis yang dimaafkan oleh syara’ tetapi sekiranya banyak, maka seseorang mukalaf tersebut perlu mematuhi tiga syarat iaitu:
- Darah yang keluar mestilah terjadi pada diri sendiri. Maka, terkena darah yang banyak daripada orang lain, ia dikira sebagai najis dan perlu membasuhnya terlebih dahulu sebelum melakukan solat.
- Darah yang mengalir mestilah bukan daripada perbuatannya dan tidak disengajakan. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu mengalami pendarahan pada hidung sehingga selalu mengalir, maka ianya dikira sebagai najis yang dimaafkan disebabkan bukan daripada perbuatannya mengeluarkan darah tersebut dan bukanlah disengajakan darah itu keluar daripada hidungnya.
- Darah yang keluar tersebut tidak terkena pada tempat yang lain. Sebagai contoh, sekiranya darah luka yang banyak daripada jari terkena pada sejadah atau tempat solat, maka ianya dikira sebagai najis.
Kadar Darah Yang Dimaafkan
Selain itu, timbul juga beberapa keraguan mengenai kadar darah itu dimaafkan oleh syara’. Maka, para fuqaha’ daripada mazhab as-Shafi’i dan al-Hanbali mengatakan bahawa darah itu banyak atau sedikit mengikut uruf dan kebiasaan situasi seseorang. Oleh itu, sekiranya darah yang keluar daripada jari ataupun anggota badan lain itu memenuhi tempat solat dan terkena banyak pada baju, maka ia sudah dikira sebagai banyak.
Para fuqaha’ daripada mazhab al-Hanafi dan al-Maliki pula memberikan garis panduan sebanyak mana darah itu dimaafkan oleh syara’. Al-Imam Ibn Imad mengatakan di dalam manzumahnya [Manzumah Ibn Imad, hlmn. 118]:
أبو حنيفة عم العفو في نجس بقدر درهمه البغلي وسكته
Maksudnya: “Imam Abu Hanifah berpandangan najis yang dimaafkan adalah dengan kadar sebesar satu dirham baghal dan sikkahnya”.
Oleh itu, darah yang dimaafkan pada sisi mazhab Hanafi dan Maliki ialah kadar sebesar satu dirham sama ada sebesar tangan haiwan Baghal ataupun dirham yang ditempa. Secara tidak langsung, diqiyaskan dengan uruf di Malaysia, saiznya adalah sebesar lebih kurang duit syiling.
Kesimpulan
Berdasarkan analisis di atas, darah adalah merupakan najis mengikut para ulama’. Walau bagaimanapun, darah yang sedikit dikira sebagai najis yang dimaafkan oleh syara’ berdasarkan mazhab as-Shafi’i. Tetapi sekiranya ia banyak, maka perlu mematuhi tiga syarat bagi dikira sebagai najis yang dimaafkan iaitu darah itu mestilah dari dirinya sendiri, tidak disengajakan dan tidak terkena pada tempat lain. Sekiranya hilang salah satu syarat tersebut, maka darah yang banyak itu dikira sebagai najis, dan perlu membasuhnya terlebih dahulu sebelum melakukan solat.
Selain itu, kadar kenajisan darah itu dimaafkan oleh syara’ berdasarkan mazhab as-Shafi’i adalah mengikut uruf dan kebiasaan situasi seseorang. Justeru, sekiranya darah itu adalah sekadar garisan di lengan ataupun sebesar titik, maka ianya dikira najis yang dimaafkan.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahuaklam.
Sumber: eKemusykilan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment