أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ (٢١)
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Surah Ar-Rum 30:21)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Kukuhkan Ikatan Perkahwinan, Elakkan Perceraian”.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Perkahwinan merupakan suatu ibadah dalam Islam. Ia juga merupakan satu ikatan perjanjian yang diikat oleh Allah SWT antara seorang lelaki (suami) dengan seorang perempuan (isteri). Al-Quran ada menggambarkan betapa kuatnya ikatan antara suami dan isteri yang sangat rapat dan mesra seperti pakaian yang dapat memelihara si pemakainya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 187:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
هُنَّ لِبَاسٌۭ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌۭ لَّهُنَّ ۗ
“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka”.
(Surah al-Baqarah 2:187)
Keperluan suami atau isteri kepada pasangannya adalah sama seperti keperluan mereka kepada pakaian. Oleh itu, ayat ini mengumpamakan suami atau isteri sebagai pakaian bagi pasangan masing-masing kerana mereka saling melindungi antara satu sama lain. Sekiranya fungsi pakaian adalah bagi menutup keaiban tubuh badan dan menjaganya daripada sebarang kemudaratan, suami atau isteri pula akan menjaga kemuliaan pasangannya, memelihara kehormatan dan dapat memberikan ketenteraman. Akhirnya akan lahirlah ketenangan dan kebahagiaan buat mereka.
Perkahwinan dan hidup berkeluarga juga dapat membantu seseorang untuk mencapai kesempurnaan dalam kehidupan beragama. Ianya amat dituntut dalam Islam dan merupakan sunah Rasulullah SAW.
Hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahuanha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Nikah termasuk daripada sunahku, sesiapa yang tidak mengamalkan sunahku, maka tidak termasuk golonganku”
(Riwayat Ibnu Majah)
Antara tujuan disyariatkan perkahwinan adalah bagi melatih kesabaran menjaga kehormatan manusia, kesucian zuriat, keturunan yang mulia dan mewujudkan kasih sayang dan tanggungjawab dalam rumahtangga yang dibina. Maka dengan ini akan terhasillah ketenteraman jiwa dan perasaan kasih sayang antara dua keluarga meliputi ibubapa, saudara mara hinggalah kepada anak-anak.
Namun begitu, adakalanya ketenangan, kemesraan dan perasaan kasih sayang yang telah dibina tidak berkekalan dan berakhirnya sebuah ikatan perkahwinan. Keadaan ini terjadi akibat daripada beberapa faktor antaranya adalah masalah komunikasi antara pasangan, pengabaian nafkah, pengabaian perasaan pasangan, pengabaian agama serta wujudnya pihak ketiga.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Antara kekuasaan dan kebesaran Allah SWT adalah menjadikan suami isteri berbeza-beza daripada sudut sikap, kegemaran dan cara berfikir. Sebagai hamba-Nya yang matang, kita hendaklah berusaha untuk menyesuaikan diri dan meraikan perbezaan antara pasangan masing-masing. Wujudkan suasana berkomunikasi secara harmoni sesama pasangan dengan berbincang secara baik untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul. Dapatkan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman seperti pegawai khidmat nasihat di Pejabat Agama sekiranya timbul kekusutan. Buanglah sikap ego, pentingkan diri dan sikap suka menyalahkan di antara satu sama lain. Di samping itu, elakkan diri daripada menggunakan kata-kata kesat sesama pasangan, amalkan menegur secara berhemah dan jagalah perasaan sesama pasangan.
Di samping itu, bagi mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan, para suami hendaklah cakna dengan kewajipan yang perlu dilunaskan. Pemberian nafkah oleh suami kepada keluarganya adalah wajib. Keengganan para suami untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam memberikan nafkah merupakan satu dosa. Pemberian nafkah ini juga diumpamakan sebagai sedekah yang wajib yang diberi pahala oleh Allah SWT.
Hadis daripada Abu Mas‘ud al-Ansari Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Apabila seorang Muslim menafkahkan suatu nafkah kepada keluarganya dan dia mengharapkan pahalanya, maka perkara itu menjadi sedekah baginya”.
(Riwayat al-Bukhari)
Kehadiran orang ketiga dalam perhubungan suami isteri juga boleh membawa kepada konflik sehingga berlakunya perceraian. Islam amat melarang keras tindakan seseorang yang merosakkan hubungan antara seorang isteri dengan suaminya.
Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang melakukan takhbib (tipu daya) terhadap isteri seseorang atau terhadap hamba yang orang itu miliki, maka dia bukan daripada kalangan kami”.
(Riwayat Abu Daud)
Takhbib ini merujuk kepada perbuatan orang ketiga yang merosakkan atau mengeruhkan hubungan seorang isteri dengan suaminya sehingga sampai ke peringkat boleh menyebabkan perceraian. Para ulama berpendapat bahawa perbuatan takhbib ini adalah haram dan merupakan suatu dosa besar. Malah Nabi Muhammad SAW tidak mengiktiraf orang yang ketiga ini sebagai umatnya.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Dalam kehidupan berumahtangga kita harus menerima hakikat bahawa akan terdapat kekurangan dan kelemahan dalam diri pasangan masingmasing. Sebagai manusia biasa kita tidak pernah lekang daripada melakukan kesalahan. Seorang suami di dalam sesebuah keluarga seharusnya menjadi pelengkap atas kelemahan dan kekurangan isteri dan begitulah juga sebaliknya buat para isteri. Ingatlah, di sebalik kekurangan pasangan kita terdapat kelebihan yang Allah SWT kurniakan tanpa kita sedari. Oleh itu, amatlah tidak berpatutan jika ditularkan melalui media sosial tentang keburukan, kekurangan dan keaiban pasangan kerana ini jelas menyalahi hukum syarak dan akhlak Islam.
Sejak kebelakangan ini sering di tular di dada-dada akhbar dan media sosial isu perceraian yang melibatkan personaliti-personaliti terkenal di kalangan masyarakat. Penularan berita yang meluas mengenai perceraian ini memperlihatkan media tidak menghormati privasi dan kehidupan peribadi mereka yang boleh memberi kesan negatif kepada pasangan yang terbabit. Perceraian bukanlah sesuatu yang harus digembar gemburkan kerana ianya merupakan satu pengalaman yang sangat peribadi, pahit dan menyakitkan. Media seharusnya berperanan dalam membina masyarakat yang positif dan sihat, bukan memburukkan keadaan.
Media seharusnya menyampaikan berita yang berimbang dan tidak hanya membangkitkan kontroversi. Platform media adalah untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga hubungan yang sihat dan cara menangani perpisahan dengan baik.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Setiap pasangan perlu sentiasa bijak berhadapan dengan apa juga cabaran rumahtangga dan menanganinya dengan tenang, sabar dan positif.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 19:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَيَجْعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيْرًۭا كَثِيرًۭا (١٩)
Maksudnya: “Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikan yang banyak (untuk kamu)”.
(Surah al-Nisa’ 4:19)
Untuk mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan berumahtangga memerlukan kepada ilmu iaitu dengan menambahkan ilmu terutamanya ilmu komunikasi dan ilmu psikologi dalam rumahtangga serta ilmu agama khususnya fiqh rumahtangga. Oleh itu, tuntutlah ilmu dengan menghadiri kelas-kelas pengajian terutamanya kelas-kelas agama, kuliah-kuliah di masjid dan melalui pembacaan buku tentang tanggungjawab sebagai suami isteri.
Bagi menghayati ajaran Islam sepenuhnya dalam kehidupan berumahtangga boleh dimulakan dengan perkara-perkara asas seperti pemantapan akidah, mendirikan solat berjamaah sesama ahli keluarga, membaca dan mentadabbur al-Quran bersama-sama ahli keluarga, tolong-menolong dalam melakukan rutin harian sesama pasangan dan mengamalkan sunah Rasulullah SAW. Pimpin dan bimbinglah keluarga kita ke jalan yang diredai Allah SWT agar bersama-sama mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat serta perkahwinan yang diimpikan iaitu sakinah, mawaddah dan rahmah.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu:
- Umat Islam hendaklah yakin bahawa perintah untuk berkahwin adalah daripada Allah SWT bagi menjaga umat Islam daripada terjebak melakukan dosa besar iaitu perzinaan.
- Umat Islam hendaklah berusaha untuk mengukuhkan ikatan perkahwinan dengan mengamalkan cara hidup Islam seluruhnya.
- Pasangan suami isteri yang menghadapi konflik rumahtangga, hendaklah merujuk kepada pejabat-pejabat agama dan janganlah luahkan perasaan dan kelemahan pasangan kepada individu yang tidak sepatutnya atau melalui media sosial, kecuali kepada individu-individu lain yang dibenarkan oleh hukum syarak sahaja.
- Setiap pasangan yang telah membuat keputusan terpaksa bercerai hendaklah bersabar ketika menunggu proses perceraian namun proses perceraian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa hendaklah efisien dan tidak menzalimi pasangan.
Umat Islam hendaklah banyakkan berdoa memohon petunjuk dan panduan daripada Allah SWT agar dilimpahi dengan mawaddah dan rahmat dalam kehidupan berumahtangga.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَيَسْتَجِيبُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَيَزِيدُهُم مِّن فَضْلِهِۦ ۚ وَٱلْكَـٰفِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۭ(٢٦)
Maksudnya: “Dan Ia memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, dan Ia menambahi mereka dari limpah kurnia-Nya (selain dari yang mereka pohonkan). Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya”.
(Surah al-Syura 42:26)
Tarikh Dibaca: 11 Oktober 2024M l 08 Rabi’ul Akhir 1446H
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment