أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
لِكُلٍّۢ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةًۭ وَمِنْهَاجًۭا ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ وَلَـٰكِن لِّيَبْلُوَكُمْ فِى مَآ ءَاتَىٰكُمْ ۖ فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِ ۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًۭا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ(٤٨)
Maksudnya: Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
(Surah Al-Maidah 5:48)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan syariat-Nya. Dengan ketaqwaan segala masalah kita ditunjukkan jalan penyelesaian dan urusan hidup kita dipermudahkan.Semoga kita beroleh kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.
Dalam menghadapi ancaman terhadap umat Islam sejak akhir-akhir ini khususnya ancaman akidah, mimbar Jumaat hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk, “Ahli Sunnah wal-Jamaah: Benteng Akidah Zaman-Berzaman.”
Tetamu-tetamu Allah SWT yang diberkati,
Dalam era globalisasi dan digital kini, penyebaran doktrin agama yang menyeleweng, fahaman sesat serta pemikiran yang ekstrem, tidak lagi terbatas dalam sempadan geografi tertentu, sebaliknya ia telah merentasi sempadan negeri dan negara. Kemasukan aliran, fahaman dan pemikiran yang bukan arus perdana, budaya keterbukaan dalam era globalisasi serta pengaruh ajaran-ajaran sesat lain mula menggugat keharmoniaan dan kestabilan beragama dan hal ehwal Islam serta tatanegara.
Situasi semasa menyaksikan aliran-aliran ekstrem yang mulai menular di dalam negara menimbulkan ketegangan serta menggugat perpaduan dan keharmonian negara sehingga mengancam kemurnian akidah dan keselarasan pengamalan syariah Islam. Oleh itu, ancaman akidah dalam pelbagai bentuk ajaran sesat, fahaman dan ideologi yang menyeleweng, ekstrem serta aliran-aliran pemikiran adalah bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah; al-Asya’irah dan al-Maturidiyah.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sedarlah, dalam menghadapi ancaman akidah, negara kita sudah mempunyai benteng yang ampuh dan formula tersendiri sejak zaman-berzaman. Malaysia merupakan sebuah negara majoriti umat Islam yang menganut fahaman Ahli Sunnah wal-Jamaah. Islam mula bertapak di alam Melayu dengan fahaman akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Sehingga hari ini, ia telah berjaya diterapkan dengan baik dan sempurna.
Akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah merupakan pegangan arus perdana dan majoriti umat Islam seantero dunia. Istilah al-Asya’irah merujuk kepada pengikut Imam Abu Hassan al-Asya’ri yang wafat pada tahun 324 hijrah. Manakala istilah al-Maturidiyah merujuk kepada pengikut Imam Abu Mansur al-Maturidi yang wafat pada tahun 333 hijrah. Kedua-dua aliran inilah yang menjadi benteng utama kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang membersihkan pengaruh aliran muktazilah dalam kerajaan Islam di era khilafah Abbasiah.
Sejak zaman-berzaman, perkembangan Islam di alam Melayu adalah berpandukan kepada aliran arus perdana dan majoriti umat Islam iaitu mengikut aliran akidah al-Asya’irah dan al-Maturidiyah. Aliran fiqah mengikut mazhab Shafi’i atau dalam keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali. Sementara aliran tasawuf mengikut Imam Junaid dan Imam al-Ghazali atau mana-mana aliran tasawuf yang muktabar.
Secara tradisi, karya-karya ulama yang diajar dan dipelajari adalah berteraskan kepada Ahli Sunnah wal-Jamaah, aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyah yang ternyata memberi pengukuhan kefahaman Islam, kesepaduan ilmu, membentuk jati diri Islam, kesepakatan fikrah, keselarasan dalam pengamalan agama dan keilmuan para ulama dan masyarakat di rantau ini ternyata membawa keharmonian dan kesatuan ummah dalam kehidupan beragama. Keseragaman aliran Islam ini sejak zaman-berzaman ternyata membawa keharmonian dalam beragama dan kemasyarakatan umat Islam di alam Melayu dan di Malaysia.
Kaum Muslimin yang berbahagia,
Seperti yang sedia dimaklumi, Ahli Sunnah wal-Jamaah berpegang kepada tiga asas yang utama, iaitu akidah dengan pegangan al-Asya’irah, fiqah dengan mazhab Shafi’i dan tasawuf dengan manhaj Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali. Hal ini dapat dilihat dalam amanat terakhir Syeikh Abdullah Fahim (wafat 1961M), seorang ulama ulung di Tanah Melayu, ketika Muktamar Akhir Persatuan Ulama Se-Malaya yang menyatakan:
“Tuan-tuan sedia maklum, sejak beratus-ratus tahun lalu bahawa orang Melayu se-Malaya, dari peringkat bawah hingga ke peringkat atas, orang awam, qadi, ulama, menteri hingga raja, semua bermazhab dengan mazhab Imam al-Shafi’i (secara ijmak); tiada seorang pun yang bermazhab selain mazhab al-Shafi’i. (Diharamkan menyalahi ijmak). Mereka mengambil hukum-hakam Fiqh Shafi’i daripada kitab Tuhfah, kitab Nihayah, kitab al-Umm dan mukhtasarat-nya serta menterjemahnya ke bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyat al-Tullab, Matla’ al-Badrayn dan lain-lainnya. Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Ash’ari diambil daripada shuruh dan hawashi Umm al-Barahin dan Jawharah, serta sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.
Ilmu Tasawuf perihal perjalanan Imam al-Ghazali diambil daripada Minhaj al-’Abidin, Ihya Ulum al-Din dan terjemahannya ke bahasa Melayu seperti Siyar al-Salikin. Maka segala hukum dalam kitab-kitab ini dan seumpamanya mustanbat (yang diambil atau dikeluarkan hukum) daripada Quran dan Hadis yang diperhalusi dan ditapis ulama ajilla’ (terkemuka), diamal dengannya melebihi dari 1,000 tahun dan diterjemah ke bahasa Melayu sejak beratus-ratus tahun.”
Hamba-hamba Allah SWT yang dikasihi,
Dalam konteks perundangan di Malaysia hari ini, terdapat beberapa negeri yang telah mewartakan bahawa tafsiran Ahli Sunnah wal-Jamaah di sisi mereka ialah golongan al-Asya’irah dan al-Maturidiyah, termasuklah Johor, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sabah. Manakala terdapat negeri-negeri lain yang mewartakan fatwa dengan bermazhab Shafi’i dan menerima mazhab-mazhab lain untuk diamalkan. Ini mengisyaratkan juga bahawa tafsiran Ahli Sunnah wal-Jamaah ialah berpandukan al-Asya’irah dan al-Maturidiyah. Negeri-negeri ini ialah Perak, Terengganu, Selangor, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
Sesungguhnya, pengukuhan terhadap ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah yang diwakili oleh al-Asya’irah dan al-Maturidiyah melalui undang-undang tidak lain tidak bukan hanyalah satu bentuk penginstitusian pegangan dan amalan yang telah pun menjadi darah daging dalam masyarakat Islam di Malaysia. Oleh itu, marilah sama-sama kita bersatu padu dalam menjayakan usaha murni ini demi memelihara akidah dan keharmonian beragama.
Menutup bicara pada hari ini, khatib ingin merumuskan beberapa isi penting daripada khutbah:
Pertama: Umat Islam di alam Melayu telah berpegang teguh kepada ajaran agama sejak zaman-berzaman, dengan fahaman akidah al-Asya’irah dan al-Maturidiyah, bermazhab dengan mazhab al-Shafi’i dan bertasawuf dengan mengikut jalan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.
Kedua: Pegangan akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah; al-Asya’irah dan al-Maturidiyah ini telah terbukti dapat memelihara umat Islam daripada pengaruh fahaman dan pemikiran sesat serta ekstrim dalam beragama.
Ketiga: Usaha memperkasakan dan memperkukuhkan Ahli Sunnah wal-Jamah dari sudut undang-undang merupakan satu usaha yang sangat penting dan bermakna untuk memacu keharmonian dalam beragama dan kemasyarakatan di negara Malaysia yang tercinta.
Renungkan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 103:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍۢ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ(١٠٣)
Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
(Surah Ali Imran 3:103)
Tarikh Bacaan: 8 Rabiulakhir 1446H/11 Oktober 2024
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment