Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Imam Mahdi: Antara Kebenaran Dan Penyelewengan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Sejarah Islam telah menyingkap beberapa individu yang mendakwa diri mereka atau mana-mana individu lain sebagai Imam Mahdi. Dakwaan ini telah menyebabkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Kegagalan membezakan antara kebenaran dan penyelewengan ini boleh membawa implikasi yang besar terhadap keharmonian agama dan masyarakat Islam. 

Di Malaysia, setiap individu yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi telah difatwakan sebagai sesat. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor telah memutuskan bahawa dakwaan sebagai Imam Mahdi adalah sesat dan menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar. Ini boleh dilihat dalam kes pengharaman ajaran sesat Qadiani, Al-Arqam, dan juga kelompok Syiah yang mendakwa imam mereka sebagai Imam Mahdi. 

Kita perlu mengenal pasti perbezaan antara tanda-tanda yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dengan pengakuan palsu dan karut individu atau kelompok tertentu berhubung dakwaan Imam Mahdi sehingga sanggup membuat takwilan yang tidak berasas dengan mengaitkannya dengan bangsa Melayu serta mentakwilkan hadis sesuka hati untuk menyokong dakwaan yang dikeluarkan, walaupun ianya jelas menyeleweng dari tafsiran muktabar dalam kalangan ulama. 

Persoalannya, kenapa segelintir masyarakat kita mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah dan ajaran palsu ini? Adakah kerana kelemahan dalam pemahaman agama?  

Mimbar akan menjelaskan tentang “Imam Mahdi: Antara Kebenaran dengan Penyelewengan” berdasarkan nukilan hadis-hadis sahih yang sepatutnya menjadi sumber utama dalam mengenali Imam Mahdi serta membezakan antara kebenaran dengan penyelewengan palsu individu atau kumpulan tertentu. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,

Di dalam kitab al-Fitan wal-Malahim (لحمَلْوا الفتن), al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah berkata: “Aku menyangka bahawa keluarnya al-Mahdi sebelum turunnya Nabi Isa Alaihissalam”. 

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “…Isa bin Maryam SAW akan turun dan pemerintah mereka (al-Mahdi) berkata: “Marilah, solat mengimami kami.” Lantas Nabi Isa Alaihissalam berkata: “Tidak, sesungguhnya sebahagian mereka menjadi pemimpin kepada sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan Allah kepada umat ini.” (Riwayat Muslim). 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,

Antara ciri-ciri imam Mahdi adalah seperti berikut:  

Pertama, nama Imam Mahdi dan ayahnya adalah sama dengan nama junjungan mulia Baginda SAW iaitu Muhammad bin Abdullah. Karakteristik Imam Mahdi yang dinyatakan dalam riwayat adalah jelas bahawa Imam Mahdi berasal daripada keturunan Rasulullah SAW melalui susur galur puteri baginda, Saidatina Fatimah Radhiallahuanha. Nama beliau ialah Muhammad bin Abdullah. Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

”Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari, nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehingga diutuskan seorang lelaki itu dari kalangan aku atau dari ahli keluargaku. Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi dengan kegelapan dan kezaliman.”

(Riwayat Abu Daud)

Kedua, nasab Imam Mahdi berasal daripada ahlul bait (keluarga Rasulullah SAW) melalui keturunan Saidatina Fatimah Radhiallahuanha. 

Ketiga, Antara ciri fizikal rupa paras Imam Mahdi sebagaimana dinyatakan dalam hadis adalah berdahi luas dan hidungnya mancung. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia Imam Mahdi akan menguasainya bumi selama tujuh tahun.”

(Riwayat Abu Daud.) 

Keempat, dunia pada ketika itu telah berlaku kekacauan dan dipenuhi kezaliman serta penindasan. Dalam kitab ‘Aun al-Ma’bud (لعبودْا عون), Syeikh Muhammad Asyraf Abadi Rahimahullah menyatakan bahawa Nabi Isa Alaihissalam akan turun selepas Imam Mahdi dan baginda akan membunuh Dajjal, atau baginda akan turun bersama Imam Mahdi dan membantunya dalam membunuh Dajjal.

Baginda juga akan solat di belakang Imam Mahdi sebagai makmum. Manakala dari aspek keberkatan zaman. Pada zaman pemerintahan Imam Mahdi, umat dikurniakan dengan keberkatan dan kesejahteraan sehingga penduduk bumi akan merasa aman dan makmur.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Di akhir zaman umatku, Imam Mahdi akan muncul. Allah SWT akan menurunkan hujan lalu bumi akan menumbuhkan tanaman. Kemudian Imam Mahdi akan membahagikan hasil bumi secara adil, termasuklah binatang ternakan. Keadaan umat Islam akan menjadi sejahtera pada ketika itu. Beliau (Imam Mahdi) akan hidup selama tujuh atau lapan tahun.”

(Riwayat al-Hakim)

Kelima, Imam Mahdi tidak mengaku, mencanang atau melantik dirinya sendiri sebagai Imam Mahdi. Beliau juga tidak memaksa orang lain untuk mengakui atau membaiahnya kerana beliau akan dilantik dan dibaiah oleh umat Islam pada ketika itu. Lantaran itu Allah SWT melayakkannya untuk dilantik sebagai Imam Mahdi dalam satu malam di sisi kaabah. Hadis yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Al-Mahdi adalah dari keturunan kami, ahli bait, Allah memperbaikinya (memberi taufik dan hidayah) dalam satu malam”.

(Riwayat Ibnu Majah)

Selain itu, peribadi Imam Mahdi juga merupakan seorang yang bertaqwa, menguasai ilmu syariah dan mempunyai kebijaksanaan (hikmah) yang tinggi. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Marilah kita sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan dakwaan-dakwaan palsu yang mengaku sebagai Imam Mahdi. Imam Mahdi yang sebenar akan muncul dengan tanda-tanda yang jelas sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW. Seorang yang beramal soleh, amanah dan terbukti kebijaksanaannya dalam mengurus dan memerintah hal ehwal umat Islam.

Beliau juga tidak akan memecahbelahkan keharmonian masyarakat Islam yang sedia ada, bahkan beliau mempersatukan seluruh umat Islam dan mempertahankan keadilan. Ini jelas penyebaran dakwaan palsu berkaitan Imam Mahdi sebenarnya telah diperingatkan oleh Baginda Nabi SAW sebagai salah satu daripada tandatanda besar hari kiamat. 

Muslimin yang dirahmati Allah SWT, 

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu: 

1. Umat Islam hendaklah meyakini dengan kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman yang akan menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman.

2. Umat Islam hendaklah menolak dakwaan seseorang yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi termasuk sebagai penolong dan tentera Imam Mahdi. 

3. Akidah umat Islam boleh rosak jika mengaku, mendakwa dan memuja seseorang sebagai Imam Mahdi. Bahkan tindakan undang-undang boleh dikenakan kerana melanggar fatwa. ِ

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن تَأْتِيَهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَوْ يَأْتِىَ رَبُّكَ أَوْ يَأْتِىَ بَعْضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ ۗ يَوْمَ يَأْتِى بَعْضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَـٰنُهَا لَمْ تَكُنْ ءَامَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِىٓ إِيمَـٰنِهَا خَيْرًۭا ۗ قُلِ ٱنتَظِرُوٓا۟ إِنَّا مُنتَظِرُونَ ( ١٥٨ ) 

Maksud: “Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka) atau kedatangan (azab) Tuhanmu atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya) dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami). 

(Surah al-An’am 6:158)

Tarikh Bacaan: 15 Rabiulakhir 1446h/18 Oktober 2024
 Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑