Teks Khutbah Jumaat (WP): Berbicara Penuh Hikmah, Budayakan Kalimah Tayyibah

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًۭا كَلِمَةًۭ طَيِّبَةًۭ كَشَجَرَةٍۢ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌۭ وَفَرْعُهَا فِى ٱلسَّمَآءِ (٢٤)

Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.”

(Surah Ibrahim 14:24)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua dibangkitkan dalam kalangan orang yang bertaqwa di akhirat kelak.

Melihat kepada kecelaruan budaya berbicara secara lisan dan tulisan yang kian menggugat keharmonian, khutbah pada hari ini membicarakan tajuk, “Berbicara Penuh Hikmah, Budayakan Kalimah Tayyibah.”

Sidang Jemaah yang berbahagia,

Akhlak menerusi bahasa, pertuturan dan ucapan yang baik adalah sangat mustahak kerana ia merupakan cerminan kepada umat Islam yang unggul, madani dan bertamadun. Ia menatijahkan komunikasi dan muamalat yang harmoni antara individu dan komuniti sehingga wujud negara membangun yang rendah kadar jenayah, rahmah dan penuh mahabbah.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim, ayat 24, yang menjadi mukaddimah khutbah, bermaksud: “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik umpama sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.”

Menurut Ibn Kathir, ayat ini menggambarkan hakikat seseorang Muslim yang terbit dari mulutnya kalimah tayyibah seumpama pepohon yang subur, sentiasa menghasilkan buah yang baik. tidak kira musim sejuk atau panas, malam atau siang. Begitulah resam seorang Muslim, amal baiknya seringkali diangkat dan diterima Allah SWT, lantaran kebaikan yang sering lahir daripada keunggulan pekerti dan keperibadiannya.

Hadirin Jumaat yang dikasihi sekalian,

Kalimah tayyibah membawa maksud apa sahaja perkataan, pertuturan, ucapan dan perbualan yang baik, berhemah, sopan atau apa sahaja yang mendatangkan manfaat, kebaikan duniawi dan ukhrawi beserta kemaslahatan kepada penuturnya, juga manusia lain yang berinteraksi dengannya. Benarlah ungkapan Pepatah Melayu yang mengingatkan kita, “Kerana pulut, santan binasa, kerana mulut, badan binasa”. Binasalah badan yang mulutnya berbicara tanpa kawalan dan pedoman. Sewajarnya, setiap Muslim berhati-hati dan berwaspada terhadap bicara lisan dan tulisannya. Renungi hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang yang berbicara sesuatu perkataan yang diredai Allah SWT meskipun tanpa disedarinya, lalu Allah SWT mengangkat darjatnya lantaran perkataannya itu. Begitu juga, seseorang yang berbicara sesuatu perkataan yang dimurkai Allah SWT tanpa memikirkannya, maka dengan perkataan itu dia dihumban ke neraka Jahannam.”

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Kalimah tayyibah merangkumi perkataan yang berupa ayat al-Quran, hadith Nabi SAW, zikir-zikir dengan tujuan mengingati Allah SWT khususnya yang ma’thur daripada Baginda SAW. Begitu juga, apa sahaja perkataan baik dan bermanfaat yang diucapkan oleh seseorang individu kepada dirinya sendiri atau orang lain yang berinteraksi dengannya.

Perkataan buruk yang dilarang pula ialah kata-kata yang mengandungi unsur yang keji, diharamkan, berbaur lucah, perkataan dengan tujuan mempersendakan, memfitnah atau memperlekehkan orang lain dan sebarang perkataan buruk yang mengundang murka Allah SWT. Ingatan ini telah dinyatakan dalam sebuah hadis. Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Bukanlah seorang mukmin itu orang yang banyak mencela, melaknat, berperangai keji dan mengucapkan perkataan kotor”.

Hadirin Muslimin yang dimuliakan,

Realitinya, umat Islam pada hari ini telah dilanda dengan pelbagai krisis, antaranya krisis moral dan akhlak yang banyak terzahir ketika berinteraksi di media sosial. Meskipun akhlak merupakan salah satu teras dalam kehidupan bersyariat seseorang Muslim, malangnya budaya barat dan arus dunia moden telah banyak mempengaruhi gaya pertuturan dan perilaku umat. Kini kita bagaikan sudah terbiasa, bahkan dengan sengaja menyebarkan kenyataan bebaur fitnah, tuduhan tanpa asas, memperlekeh dan mempersendakan, menggunakan perkataan keji, makian dan berunsur lucah, sama ada secara berhadapan, melalui media cetak, media elektronik ataupun media sosial serta saluran-saluran lain. 

Mengutuk, memaki, mencela, menghina dan mencabar menjadi amalan tanpa sebarang rasa bersalah dan bimbang. Kita seolah-olah terlupa, betapa semua ini dicatat dan bakal dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Renungi firman Allah SWT di dalam Surah Qaf ayat 18:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌۭ(١٨)

Maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

(Surah Qaf 50:18)

Sewajarnya sebagai seorang muslim, kita hendaklah menjadikan akhlak Islam sebagai budaya dan cara hidup kita. Hargai nikmat Islam dengan kembali mengamalkan ajarannya. Kita bertanggungjawab mendalami ajaran agama, memperbaiki diri dan mengamalkan akhlak mulia pada setiap masa. Kita juga dituntut untuk mendidik isteri dan anak-anak agar membudayakan kalimah tayyibah dan berbicara dengan baik dalam keluarga serta dikembangkan kepada masyarakat sosial sama ada fizikal mahu pun maya. Inilah bukti kesyukuran terhadap anugerah agama yang Allah SWT kurniakan kepada kita.

Para tetamu Allah yang diberkati,

Beberapa saranan dapat kita rumuskan daripada khutbah hari ini, iaitu:

Pertama: Gagasan kalimah tayyibah merupakan suatu tuntutan agama. Ia nilai akhlak, etika dan moral diri, bangsa dan negara yang perlu di amalkan dan dibudayakan.

Kedua: Budayakan kalimah tayyibah dalam berbicara dan berinteraksi secara lisan atau tulisan. Kita rindukan kehidupan bermasyarakat yang penuh kasih sayang, saling  menghormati dan menjalin keharmonian.

Ketiga: Hindari perkataan-perkataan yang buruk dan tercela yang bercanggah dengan identiti umat ini. Kembalikan keindahan budi pekerti yang dianjurkan Islam.

Di penutup khutbah, marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 83:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَانًۭا وَذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَقُولُوا۟ لِلنَّاسِ حُسْنًۭا وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلَّا قَلِيلًۭا مِّنكُمْ وَأَنتُم مُّعْرِضُونَ (٨٣) 

Maksudnya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik, dan dirikanlah sembahyang serta tunaikanlah zakat. Kemudian kamu berpaling mengingkari (perjanjian setia itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian.”

(Surah al-Baqarah 2:83)

Tarikh Bacaan: 15 Rabiulakhir 1446h/18 Oktober 2024
Disediakan Oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑