Soalan
Bolehkah kita beriktikad bahawa doa boleh mengubah takdir Allah SWT?
Ringkasan Jawapan
Doa adalah suatu arahan dan tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya. Takdir Allah SWT pula mempunyai ketetapan yang ditulis dalam lohmahfuz. Perkara ini tertakluk kepada perubahan dan penggantian dengan sebab musabab yang digunakan atau tidak digunakan oleh seseorang. Manakala, ilmu Allah SWT merangkumi kesemuanya, ini kerana Allah SWT Maha Mengetahui akan takdir seseorang selepas mengambil sebab musabab yang digunakan seperti berdoa, bersedekah, mendapatkan rawatan, menghubungkan silaturahim dan sebagainya.
Oleh itu, jelaslah bahawa dengan beriktikad yang doa boleh mengubah takdir Allah SWT adalah perkara yang dibenarkan dan tidak bertentangan dengan akidah Islam. Hal yang demikian kerana ia adalah perkara yang sarankan oleh baginda Nabi SAW dan dilakukan oleh para sahabat RA. Bersama-sama dengan iktikad ini juga tidak menafikan bahawa doa itu sendiri tidak boleh mengubah takdir Allah SWT. Semua ini bergantung pada kehendak Allah SWT dan perkara ini tidak menyalahi dengan takdir-Nya.
Penjelasan
Pendahuluan
Allah SWT menganjurkan kepada hamba-hamba-Nya untuk meminta kepada-Nya. Allah SWT juga menjamin akan memperkenankan permintaan mereka. Nabi SAW pula mengajarkan cara meminta dengan rendah hati, tunduk dan patuh kepada-Nya. Kemudian Baginda SAW menunjukkan cara bertawakal Allah SWT ketika berdoa. Allah SWT berfirman:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: Dan Tuhanmu berkata: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan doa kamu.
(Surah Ghafir 40:60)
Ayat di atas menunjukkan bahawa doa merupakan pengakuan diri akan kehambaan, kehinaan dan keburukan. Bahkan dikatakan dengan tidak berdoa, seolah-olah seorang itu terlalu angkuh untuk menunjukkan kehambaan.Doa juga bertujuan untuk menzahirkan rasa rendah diri, kekurangan dan tunduk kepada kepatuhan Allah SWT. Selain itu, doa adalah sebahagian daripada rahmat dan kemurahan-Nya. Allah SWT mempercayakan hamba-hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya, lalu memastikan bahawa doa-doa mereka dikabulkan. Hal ini secara jelas menggambarkan kepentingan ibadah berdoa. Bahkan, menjadi suatu tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya.
Perihal Takdir Allah SWT
Dalam pada itu, doa berkait rapat dengan takdir Allah SWT. Doa dan takdir Allah SWT memiliki kedudukan yang tersendiri. Orang yang berdoa tidak bermaksud untuk menentang terhadap takdir yang telah Allah SWT berikan kepadanya. Perihal Takdir Allah SWT dijelaskan dalam firman Allah SWT:
يَمۡحُواْ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثۡبِتُۖ وَعِندَهُۥٓ أُمُّ ٱلۡكِتَٰبِ
Maksudnya: Allah SWT menghapuskan segala yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan segala yang dikehendaki-Nya dan ingatlah pada sisi-Nya terdapat Ummul Kitab iaitu ibu segala persuratan.
(Surah Ar-Ra’d 13:39)
Ayat di atas membincangkan bahawa Allah SWT menghapuskan takdir yang mempunyai sebab musabab, manakala Allah SWT menetapkan takdir yang memiliki suratan yang pasti. Penghapusan dan penetapan takdir ini adalah termasuk dalam akidah Islam. Oleh yang demikian, banyak ketetapan yang ditulis dalam lohmahfuz tertakluk kepada perubahan dan penggantian dengan sebab musabab yang digunakan atau tidak digunakan oleh seseorang. Antara contoh sebab musabab yang digunakan oleh seseorang termasuklah berdoa kepada Allah SWT, bersedekah untuk mengelak musibah dan mendapatkan perubatan bagi merawat penyakit.
Adapun mengenai ilmu Allah SWT, ianya meliputi semua perkara temasuk cabang-cabang dalam takdir yang pasti di lohmahfuz. Ilmu Allah SWT merangkumi kesemuanya, ini kerana Allah SWT Maha Mengetahui akan takdir seseorang selepas mengambil sebab musabab yang digunakan seperti berdoa, bersedekah, mendapatkan rawatan, menghubungkan silaturahim dan sebagainya. Ilmu yang menyeluruh ini adalah perkara yang berkaitan dengan Ummul Kitab iaitu ibu segala persuratan. Tiada siapa yang dapat mengetahuinya ini melainkan Allah SWT.
Kedudukan Doa
Di samping itu, Rasulullah SAW bersabda:
لا يَرُدُّ القَضَاءَ إلَاّ الدُّعاءُ
Maksudnya: Tidak ditolak satu-satu takdir ketentuan melainkan dengan doa.
(Riwayat al-Tirmizi)
Hadis di atas menyarankan untuk berdoa kerana hakikat kepada takdir Allah SWT itu tidak diketahui. Doa juga merupakan salah satu sebab musabab yang tidak bercanggah dengan reda kepada takdir Allah SWT. Oleh itu, apabila Allah SWT menghendaki sesuatu untuk hamba-hamba-Nya, maka Allah SWT mengilhamkan seseorang itu untuk berdoa, lantas Dia mengabulkannya. Maka, doa itu adalah sebahagian daripada takdir Allah SWT. Allah SWT boleh memalingkannya seseorang untuk berdoa atau tidak mengabulkan permintaan daripada seseorang. Hal ini kerana pengabulan doa bergantung pada kehendak Allah SWT.
Dengan keadaan sedemikian, doa itu diumpamakan seperti mendapatkan rawatan dalam perubatan. Berkemungkinan doa boleh mengubah takdir Allah SWT, berkemungkinan juga tidak. Semua ini bergantung pada kehendak Allah SWT dan ianya tidak menyalahi dengan takdir-Nya.
Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai bentuk pengabulan doa. Kadang-kadang, doa dimakbulkan dengan kadar segera yang bersesuaian permintaan. Namun, dikesempatan yang lain pula, doa dimakbulkan dengan kadar agak lambat dalam bentuk yang bersesuaian permintaan kerana mengandungi hikmah tertentu.
Kadang-kadang, doa dimakbulkan dengan bentuk yang tidak sesuai permintaan. Hal ini kerana permintaan tersebut tidak mengandungi kebaikan yang tuntas, namun sesuatu yang tidak diminta mengandungi kebaikan yang tuntas. Boleh jadi juga kerana pada permintaan tersebut mengandungi kebaikan yang tuntas, tetapi sesuatu yang tidak diminta mengandungi kebaikan yang lebih tuntas.
Perkara ini semua berdasarkan kefahaman bahawa pengabulan doa yang terikat dengan kehendak-Nya sebagaimana dalam firman Allah SWT:
فَيَكۡشِفُ مَا تَدۡعُونَ إِلَيۡهِ إِن شَآءَ
Maksudnya: Lalu Dia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepada-Nya jika Dia kehendaki
(Surah al-An’am 6:41)
Pengabulan doa ini bersifat terikat kerana kemutlakan dua ayat sebelumnya. Oleh sebab itu makna daripada:
ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ
Maksudnya: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.
(Surah Ghafir 40:60)
Iaitu jika Aku menghendakinya, Aku akan kabulkan permintaan orang yang berdoa kepada-Ku.
Contoh Doa
Antara doa yang ditunjukkan oleh para sahabat RA termasuklah seperti doa Umar Ibn al-Khattab RA semasa dia mengelilingi Baitullah sambil menangis:
“Ya Allah! Jika Engkau menulis kesusahan atau dosa keatas diriku, maka hapuskanlah. Ini kerana Engkau menghapuskan dan menetapkan segala yang dikehendaki-Mu. Begitu juga pada sisi-Mu terdapat Ummul Kitab iaitu ibu segala persuratan. Oleh itu, jadikan ia kebahagiaan dan pengampunan.”
Sementara itu, Abdullah Ibn Masud berdoa:
“Ya Allah! Seandainya Engkau menulis keatas diriku termasuk dalam kalangan orang-orang yang berbahagia, maka tetapkanlah aku di dalamnya. Manakala, jika Engkau menulis keatas diriku termasuk dalam kalangan orang-orang sengsara dan berdosa, maka hapuskanlah tentang diriku dan masukkanlah aku dalam kalangan orang-orang yang berbahagia dan bermaaf-maafan. Ini kerana Engkau menghapuskan dan menetapkan segala yang dikehendaki-Mu. Begitu juga pada sisi-Mu terdapat Ummul Kitab iaitu ibu segala persuratan.”
Penutup
Daripada huraian di atas, jelaslah bahawa dengan beriktikad yang doa boleh mengubah takdir Allah SWT adalah perkara yang dibenarkan dan tidak bertentangan dengan akidah Islam. Hal yang demikian kerana ia adalah perkara yang disarankan oleh baginda Nabi SAW dan dilakukan oleh para sahabat RA. Bersama-sama dengan iktikad ini juga tidak menafikan bahawa doa itu sendiri tidak boleh mengubah takdir Allah SWT. Semua ini bergantung pada kehendak Allah SWT dan perkara ini tidak menyalahi dengan takdir-Nya.
Wallahu A’lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment