Adakah Boleh Melihat Gambar Aurat Selagi Tidak Menimbulkan Fitnah?

Soalan

Benarkah ada ulama yang berpendapat tidak haram tengok gambar aurat selagi tidak menimbulkan fitnah?

Jawapan Ringkas

Para ulama’ di dalam mazhab al-Syafie bersepakat bahawa hukum melihat aurat secara langsung adalah haram. Akan tetapi jika seseorang itu melihat aurat daripada gambar ataupun melihat aurat daripada pantulan cermin mahupun air maka sebahagian besar ulama’ di kalangan mazhab al-Syafie tidak mengharamkannya selagi mana ia tidak menimbulkan fitnah seperti mendatangkan syahwat.

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Suruhan Menundukkan Pandangan Serta Larangan Melihat Aurat

Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa memelihara dan menjaga pandangan daripada melihat perkara-perkara yang haram. Firman Allah SWT:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.

(Surah An-Nur 24:30-31)

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

يَا عَلِيُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ

Maksudnya: Wahai Ali! Jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi tidak yang kedua.

(Sunan Abi Dawud 2149)

Hal ini juga turut disebut di dalam Kitab Minhaj al-Tolibin karangan Imam Nawawi pada membicarakan hukum berkenaan melihat aurat;

ويحرم نظر فحل بالغ إلى عورة حرة كبيرة أجنبية وكذا وجهها وكفيها عند خوف فتنة وكذا عند الأمن على الصحيح

Maksudnya: Dan diharamkan seorang lelaki yang baligh melihat aurat perempuan ajnabi yang dewasa lagi pula merdeka, begitu juga(diharamkan untuk melihat) mukanya dan kedua tapak tangannya sekiranya takut akan fitnah (maksiat) dan begitu juga (diharamkan untuk melihat muka dan kedua tapak tangannya) ketika selamat dari fitnah di atas pendapat yang sahih.

[Rujuk Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin,  hlmn. 204]

Hukum Melihat Gambar Aurat

Di dalam fiqh Islam, terdapat satu bab yang dinamakan;  (نَظَرُ الرَّجُل إِلَى الْمَرْأَةِ عَنْ طَرِيقِ الْمَاءِ وَالْمِرْآةِ ) iaitu, hukum seseorang lelaki melihat wanita melalui pantulan air dalam atau cermin.

Dalam bab ini, Imam Ar-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi di dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj:

خَرَجَ مِثَالُهَا فَلَا يَحْرُمُ نَظَرُهُ فِي نَحْوِ مِرْآةٍ كَمَا أَفْتَى بِهِ جَمْعٌ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَرَهَا وَلَيْسَ الصَّوْتُ مِنْهَا فَلَا يَحْرُمُ سَمَاعُهُ مَا لَمْ يَخَفْ مِنْهُ فِتْنَةً.

Maksudnya: Terkeluar gambaran aurat, maka tidak haram melihatnya (gambaran aurat perempuan ajnabi yang dewasa dan merdeka) jika dilihat melalui seumpama cermin seperti mana yang difatwakan oleh sebahagian besar ulama’, kerana ianya tidak melihat aurat perempuan itu secara langsung dan suara juga bukan daripada aurat, Maka tidak diharamkan jua mendengarnya selama mana ianya tidak menimbulkan fitnah.

[Rujuk Nihayatul Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, Jld.6, hlm. 187]

Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui pantulan cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sebahagian besar ulama’ dalam mazhab al-Syafie kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung. Namun, keharusan ini terpakai selagi mana ia tidak menimbulkan fitnah.

Akan tetapi apabila dibimbangi dengan kadar ghalabah az-zhan (berat sangka) gambar yang dilihat itu mampu menimbulkan maksiat, maka diharamkan untuk kita melihatnya, hukum ini berdasarkan kaedah Sadd Zarai’e, (سد الذرائع) iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram. Ini juga berdasarkan qa’edah lain yang berbunyi:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.

Maka, merujuk kepada soalan yang diajukan berkenaan pendapat ulama yang tidak mengharamkan melihat aurat melalui gambar itu sememangnya thabit dalam mazhab al-Syafie. Akan tetapi di atas pendalilan dan kaedah yang disebutkan di atas, adalah lebih baik untuk kita menghindari daripada melihat aurat melalui gambar sekiranya wujud ghalabah zhan (berat sangka) melihat aurat itu boleh membawa kepada maksiat.

Akan tetapi jika ada keperluan untuk melihat seperti menonton berita ataupun membaca surat khabar untuk mendapatkan maklumat, maka dibolehkan untuk melihat aurat melaluinya selagi mana ia tidak mendatangkan maksiat.

Kesimpulan

Berdasarkan huraian di atas, dibolehkan melihat gambar yang tidak menutup aurat sama ada lelaki ataupun perempuan sekiranya mempunyai keperluan dan tidak mendatangkan fitnah seperti menimbulkan syahwat. Tetapi sekiranya tidak ada keperluan untuk melihatnya, dinasihatkan untuk mengelakkan daripada perkara-perkara yang tersebut bagi tujuan berhati-hati supaya tidak terjatuh ke dalam fitnah maksiat.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.

Wallahuaklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑