أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا (٥٩)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
(Surah al-Nisaa’ 4:59)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT.
Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua.
Dengarkan baik-baik kerana pada hari ini, saya akan menyampaikan khutbah bertajuk: “Nasihat Buat Umat”.
Sebelum itu juga, saya ingin menyeru kepada seluruh umat Islam untuk terus mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada penduduk Palestin yang berterusan ditindas dan dianiaya dengan dahsyat oleh rejim zionis Israel laknatullahi ‘alaihim. Sesungguhnya hanya Allah SWT jua yang Maha Berkuasa memberi pertolongan kepada mereka, maka hanya kepada Allah SWT jua kita berserah dan memohon pertolongan.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Kebelakangan ini, mimbar melihat wujud suasana kurang harmoni dalam kalangan masyarakat terutamanya kalangan umat Islam sendiri dalam beberapa isu. Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas terutamanya di media-media sosial yang menjadi medium utama masyarakat untuk berinteraksi pada hari ini.
Perbezaan pendapat merupakan lumrah dan berlaku disebabkan oleh terdapat perbezaan ilmu, kefahaman, pengalaman, persekitaran dan sebagainya. Walau bagaimanapun, perbezaan yang ada itu, jika tidak dikawal dengan bijak, akan mewujudkan jarak sempadan dalam kalangan masyarakat.
Umat Islam seharusnya kuat dan dilihat kuat sesuai dengan betapa kuatnya kebenaran yang terdapat padanya. Perbahasan dan pertelingkahan yang diheret di media-media sosial hanya akan mengundang fitnah dan kesan buruk yang lebih besar. Ia mengundang telahan dan sangkaan negatif dalam kalangan masyarakat awam. Ia juga turut membawa gambaran yang tidak elok terutamanya kepada masyarakat bukan Islam tentang kesucian Islam. Mereka akan melihat bahawa ajaran Islam penuh dengan budaya tuduh-menuduh, saling menyalahkan antara satu sama lain, dan saling membenci. Bukankah Islam sangat mengutamakan kasih sayang dan budaya saling menghormati antara satu sama lain?
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Dalam menghadapi perselisihan dan perbezaan yang ada dalam kalangan masyarakat ketika ini, sewajarnya kita menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan dan rujukan utama agar ia tidak menyebabkan kerosakan yang lebih besar berbanding kebaikan yang diharapkan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisaa’ ayat 59:
ۚفَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ
Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan RasulNya (al-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan juga hari Akhirat”.
(Surah al-Nisaa’ 4:59)
Dalam menghadapi perbezaan dan perselisihan yang timbul juga, umat Islam masih perlu berdiri dalam kerangka adab dan akhlak yang baik. Misi utama diutusnya Baginda Rasulullah SAW ialah untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia. Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kebaikan akhlak”.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Maka, antara akhlak dan adab mulia yang perlu dipegang walaupun ketika sedang berselisih faham ialah;
Pertama: Berlapang dada dan sentiasa bersedia menerima sebarang teguran Ada sesetengah orang yang sanggup menolak kebenaran semata-mata kerana terlalu ego dengan pandangannya sendiri. Penolakan terhadap kebenaran dan kemarahan kita kerana pembelaan terhadap diri merupakan suatu kesombongan. Nabi SAW telah bersabda:
الكبر بطر الحق وغمط الناس
Maksudnya: “Kesombongan itu ialah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain”.
(Hadis riwayat Imam Muslim)
Kedua: Memilih perkataan yang sopan dan terbaik. Allah SWT berfirman:
وَقُولُوا۟ لِلنَّاسِ حُسْنًۭا
Maksudnya: “Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia”.
(Surah al-Baqarah 2:83)
Diriwayatkan daripada Abu Darda’ radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi SAW bersabda:
مَا شَيْءٍ أَثْقَلُ فِي مِيْزَانِ المُؤْمِنِ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ حُسْنِ الخُلُقِ، وَإِنَّ اللهَ يُبْغِضُ الفَاحِشُ البَذِي
Maksudnya: “Tidak ada sesuatu pun yang lebih berat dalam timbangan seseorang mukmin pada hari kiamat berbanding akhlak yang baik, dan sesungguhnya Allah murka kepada orang yang keji dan buruk (akhlaknya)”.
(Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)
Ketiga: Berbincang dengan cara dan kaedah yang baik. Setiap diskusi hendaklah bermatlamatkan kebenaran dan bukan untuk membela hawa nafsu yang membawa kepada keburukan. Diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahily bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِى رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا
Maksudnya: “Aku adalah ketua bagi rumah yang terdapat di salah satu sudut syurga bagi mereka yang meninggalkan perdebatan, sekalipun dia di pihak yang benar”.
(Hadis riwayat Abu Daud)
Al-Hafiz Ibnu Abdil Bar menyebutkan dari Zakaria bin Yahya yang berkata: “Aku telah mendengar al-Asma’i berkata: “Abdullah bin Hasan berkata: Perdebatan akan merosakkan persahabatan yang lama dan menceraiberaikan ikatan (persaudaraan) yang kuat dan setidak-tidaknya (berdebat) akan menjadikan mughalabah (keinginan untuk saling mengalahkan) dan mughalabah merupakan sebab terkuat putusnya ikatan persaudaraan”.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Saya menegur kerana saya sayangkan saudara-saudara kerana Allah SWT. Kita wajar mencari titik persamaan dan bukan menumpukan kepada perbezaan yang timbul. Titik persamaan itulah yang menjadi titik kekuatan kita semua. Hari ini, kita terlalu leka dengan perbezaan sedang dalam masa yang sama, musuh-musuh Islam sedang rakus meratah saudara-saudara kita di Palestin.
Kita sibuk bertelagah menunjukkan kehebatan masing-masing, sedangkan di sana masih terdapat ramai orang yang susah dan memerlukan bantuan dan bertarung meneruskan kehidupan dalam dunia yang semakin mencabar. Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin meninggalkan beberapa pesanan buat semua;
Pertama: Berlapanglah dada dalam menerima pandangan dan nasihat dari orang lain. Boleh jadi kita tidak suka pada nasihat tersebut, namun hakikatnya itulah yang terbaik buat kita.
Kedua: Berbicaralah dengan kata-kata yang baik dan sopan walaupun ketika kita sedang berselisih faham. Kata-kata yang buruk meninggalkan kesan yang sangat besar dan mendalam walaupun ia tidak zahir pada pandangan mata.
Ketiga: Berbincanglah dengan cara yang baik dan bukan semata-mata ingin menjatuhkan orang lain, atau ingin menunjukkan kehebatan diri. Berbincang dengan tujuan mencari dan menegakkan kebenaran dan bukan menunjukkan kesombongan. Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah ali Imran ayat 105:
وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُوا۟ وَٱخْتَلَفُوا۟ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ(١٠٥)
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar”.
(Surah Ali Imran 3:105)
Tarikh dibaca: 22 Rabiulakhir 1446h / 25 Oktober 2024
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment