Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Bahaya Ancaman Ateis

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ(١٠٢)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

وَقَالُوا۟ مَا هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَآ إِلَّا ٱلدَّهْرُ ۚ وَمَا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ(٢٤)

Maksudnya: “Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.”

(Surah Al-Jathiyah 45:24)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Bahaya Ancaman Ateis.” 

Para tetamu Allah SWT yang dimuliakan, 

Ayat 24 dalam Surah al-Jaathiyah yang dibaca pada awal khutbah ini bermaksud: “Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.” 

Ayat ini membicarakan tentang satu golongan dalam kalangan manusia yang telah wujud sejak dahulu lagi. Mereka adalah golongan yang tidak mempercayai adanya alam akhirat, tidak yakin adanya Allah SWT dan alam ghaib. Mereka percaya, kehidupan hanya berlangsung dalam alam dunia sekarang ini sahaja. Ia hanya putaran silih berganti. Segalanya melalui proses hidup dan berakhir dengan kebinasaan. Apa yang menjadikan kita mati dan binasa hanyalah masa atau waktu yang beredar. Golongan ini dinamakan sebagai dahriyyun, mulhid atau Ateis

Hadirin yang dikasihi Allah SWT sekalian, 

Fahaman Ateis bertitik tolak dari kegagalan mereka mengenali Allah SWT sebagai Pencipta alam. Mereka mungkin mendapat sedikit pendedahan tentang agama. Namun kerana tidak menambah ilmu, mereka hanya mengkaji sendiri lalu membuat kesimpulan mudah bahawa Allah SWT, alam ghaib dan akhirat tidak pernah wujud. 

Fahaman Ateis adalah sangat merbahaya kerana mereka percaya bahawa tiada Pencipta alam ini, alam wujud tanpa Pencipta, tidak perlu terikat kepada Tuhan atau agama, tidak perlu beragama, tidak memperakui keesaan Tuhan dan kerasulan Nabi Muhammad SAW serta tidak mempercayai hari akhirat.  

Fahaman ini telah lama berkembang dan telah cuba ditangani oleh para ulama silam melalui pengajaran, penulisan kitab dan debat secara terbuka, namun fahaman ini terus berkembang sehingga hari ini. 

Faktor pertama kepada kemunculan Ateis adalah jahil agama, terutama dalam menghayati dua kalimah syahadah. Mereka hanya meletakkan tuhan menurut logik akal semata-mata sedangkan aqidah merangkumi tiga aspek; akal, penghayatan hati dan pelaksanaan anggota badan. Kejahilan ini satu cabaran buat umat Islam untuk menjelaskan hakikat kebenaran. 

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 33: 

قَدْ نَعْلَمُ إِنَّهُۥ لَيَحْزُنُكَ ٱلَّذِى يَقُولُونَ ۖ فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ وَلَـٰكِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ يَجْحَدُونَ(٣٣)

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).”

(Surah al-An’am 6:33)

Hadirin Jumaat yang berbahagia, 

Faktor kedua yang membawa kemunculan Ateis adalah masalah dalam memahami adanya kejahatan sehingga membawa persoalan; benarkah Tuhan itu wujud? Ia diikuti dengan mempersoalkan keadilan Tuhan. Jika Tuhan itu wujud mengapa Dia membiarkan sahaja kezaliman dan penderitaan yang ditanggung oleh manusia? Sekiranya Tuhan bersifat Maha Bijaksana dan Maha Adil, mengapa masih wujud hal-hal keburukan, penganiayaan dan kekacauan di dunia? Namun, masalah memahami kejahatan sebenarnya diciptakan oleh manusia sendiri. Mereka dengan sengaja menyandarkan masalah kejahatan kepada Allah SWT sehingga  mempersoalkan keadilan dan kewujudan Tuhan. Ia adalah cetusan idea daripada iblis untuk meragukan manusia kepada Tuhan Pencipta sekalian alam. 

Faktor ketiga yang menjadi perkembangan fahaman Ateis juga adalah pertelagahan antara orang-orang munafik, jahil dan lain-lain yang menganggap diri sebagai ulama. Bahkan wujudnya pandangan orang-orang awam yang sering memberi pendapat tentang agama sehingga dianggap juga sebagai ulama. Maka lahirlah kekeliruan yang besar tentang agama yang benar. Selain menimbulkan pandangan yang serong, ia mengukuhkan dakwaan golongan Ateis bahawa kebenaran agama bukanlah sesuatu yang mutlak, lalu mereka menolak untuk berpegang kepada agama secara menyeluruh. 

Hadis daripada Abdullah bin Amru Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”

(Riwayat al-Bukhari)

Hadirin Jumaat sekalian, 

Ini adalah sebahagian dari faktor utama perkembangan fahaman Ateis hari ini. Golongan ini turut menggunakan media sosial secara tertutup dalam berkongsi pandangan dan menyebarkan idea. Justeru, untuk menanganinya, semua pihak wajib memainkan peranan dalam mempertahankan akidah umat dan menyelamatkan manusia dari terpengaruh dengan fahaman sesat yang merugikan ini.

Dari aspek akidah, kita wajib menyedari bahawa kewujudan Allah SWT itu telah tersemat dalam fitrah semula jadi manusia. Inilah yang dijelaskan oleh al-Quran dengan pertanyaan dikemukakan oleh Allah SWT kepada zuriat Nabi Adam Alaihissalam berdasarkan ayat 172 surah al-A’raf:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَآ ۛ أَن تَقُولُوا۟ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ(١٧٢)

 Maksudnya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.”

(Surah al-A’raf 7:172)

Kemuncaknya adalah kewujudan Allah SWT. Masakan kita mengharapkan dapat melihat-Nya baru kita mengakui kewujudan-Nya?. Bagaimana jika seorang petani melihat tapak kaki harimau dalam kebun.  Apakah dia perlu melihat jasadnya dahulu, atau dia terus bersiap sedia menyelamatkan diri sebelum menemuinya? 

Dari aspek kerasulan pula, kita yakini Allah SWT wujud setelah memahami tanda-tanda-Nya. Bukan sahaja wujud, bahkan Allah SWT telah mengutuskan rasul untuk mengajar manusia mengenali-Nya. Terdapat rasulrasul yang diutuskan untuk mengajar manusia tentang Allah SWT dan kewajipan menyembah-Nya. Rasul yang terakhir ialah perutusan Nabi Muhammad SAW yang menyempurnakan agama dan membetulkan semua penyelewengan manusia terhadap syariat nabi-nabi terdahulu. 

Manakala dari aspek keadilan Tuhan dan pembalasan kejahatan pula, manusia telah diberitahu oleh para rasul bahawa hidup di dunia ini adalah ujian. Ia akan menentukan siapa akan mendapat balasan baik dan balasan buruk. Apa yang lebih penting adalah manusia perlu menghadapinya dengan pegangan yang betul agar dapat bersabar dengan semua ujian yang dihadapi dan memperolehi ganjaran yang baik daripada Allah SWT. 

Muslimin yang dirahmati Allah SWT,

 Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu: 

  1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa kewujudan alam yang indah ini dan berlakunya perubahan siang dan malam adalah bukti yang benar tentang kewujudan tuhan Maha Pencipta iaitu Allah SWT yang wajib disembah. 
  2. Umat Islam tanpa mengira umur dan persekitaran hendaklah mempelajari agama Islam dengan sempurna dan tidak berhenti menuntut ilmu, sama ada pengajian di surau dan masjid, mahupun secara formal. 
  3. Umat Islam perlu cakna dengan perkembangan pemikiran menyeleweng terutama dalam media atas talian. Sebarang kekeliruan  terhadap akidah dan agama ini perlu diminta penjelasan atau dipanjangkan kepada pihak berautoriti.

إِذَا جَآءَهُمْ أَمْرٌۭ مِّنَ ٱلْأَمْنِ أَوِ ٱلْخَوْفِ أَذَاعُوا۟ بِهِۦ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰٓ أُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسْتَنۢبِطُونَهُۥ مِنْهُمْ ۗ وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ لَٱتَّبَعْتُمُ ٱلشَّيْطَـٰنَ إِلَّا قَلِيلًۭا(٨٣)

 Maksudnya: “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).”

(Surah al-Nisa 4:83)

Tarikh Dibaca: 22 Rabiulakhir 1446h / 25 Oktober 2024 
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑