Adakah Insuran Nyawa Boleh Dihibah Atau Diwakafkan Selepas Pencarum Meninggal Dunia? 

Soalan

Adakah insuran nyawa boleh dihibah atau diwakafkan selepas pencarum meninggal dunia? Jika boleh, bagaimanakah prosedur dan caranya?

Jawapan Ikhtisar

Sekiranya caruman dilakukan dalam insurans konvensional maka bayaran pokok insurans konvensional adalah termasuk dalam harta pusaka yang perlu diagihkan secara faraid. Manakala dividen adalah termasuk dalam harta tidak patuh syariah dan perlu diberikan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri. Setelah selesai urusan pembahagian tersebut, maka harta tersebut boleh digunakan untuk sebarang urusan termasuk hibah dan wakaf.

Sekiranya caruman tersebut berbentuk insurans takaful, maka pampasan insurans takaful tersebut adalah bukan pusaka dan merupakan hak milik bagi penama yang diletakkan atau yang dipilih oleh pihak insurans. Oleh itu beliau bebas menggunakannya  untuk sebarang muamalat harta yang dibenarkan syarak.

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.

Harta Pusaka dan Perkara Berkaitannya

Para ulama mendefinisikan harta pusaka sebagai semua yang ditinggalkan oleh si mati daripada jenis harta, hak dan manfaat. [Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie jld. 4, hlm. 344]

Harta pusaka adalah setiap perkara yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya, daripada kategori harta mudah alih seperti emas, perak, semua bentuk wang, dan perkakas-perkakas, ataupun daripada kategori harta yang tidak boleh dialih seperti tanah-tanah, bangunan-bangunan dan selainnya. [Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, jld. 2, hlm. 271]

Sesebuah harta pusaka yang ditinggalkan oleh seseorang boleh menjadi milik orang lain atas beberapa faktor seperti:

  1. Keturunan seperti ibu bapa, saudara-mara atau anak-anak
  2. Pernikahan iaitu suami isteri.
  3. Hubungan tuan dan hamba.
  4. Keislaman iaitu diberikan kepada pihak atau institusi agama sekiranya seseorang tersebut tidak lagi mempunyai waris (seperti faktor di atas).

[Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, jld. 2, hlm. 275]

Di samping itu, sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris, terdapat beberapa tanggungjawab yang para waris wajib selesaikan iaitu:

1. Menjelaskan hutang terkait dengan harta peninggalan seperti gadaian atau zakat hartanya itu.

2. Membelanjakan urusan pengebumian sekadar wajib sahaja.

3. Menjelaskan hutang si mati:

  • Hutang kepada Allah SWT seperti zakat, haji, kaffarah, fidyah dan nazar.
  • Hutang kepada manusia.

4. Melaksanakan wasiat si mati (jika ada) yang tidak melebihi 1/3 daripada harta peninggalannya.

[Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, jld. 2, hlm. 272]

Pampasan Insurans Konvensional

Berkenaan pampasan insurans konvensional, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 -22 April 2011 telah memutuskan bahawa Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi adalah seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.

  1. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.
  2. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.
  3. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (iii) di atas.

Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 4/2020 yang telah bersidang pada 18 & 19 Ogos 2020 telah memutuskan bahawa:

Bayaran Premium Insurans Wang bulanan yang dicarum sebagai simpanan dan akan diperolehi selepas tempoh matang (milik tidak sempurna) Dikategorikan sebagai Harta Pusaka [Rujuk Fatwa Perwarisan Harta Pusaka Mualaf Kepada Ahli Keluarga Yang Bukan Islam, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang]

Pampasan Insurans Takaful Kematian

Sekiranya caruman tersebut merupakan insurans takaful maka sebarang pampasan insurans takaful kematian adalah tidak termasuk di dalam kategori harta pusaka. Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia, pada mesyuarat ke-52 bertarikh 2 Ogos 2005 telah memutuskan bahawa konsep perlindungan berkanun seperti yang diamalkan oleh insurans konvensional boleh diterima pakai dalam industri takaful seperti yang berikut:

“Pembayaran manfaat takaful tidak akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada hutang peserta takaful yang meninggal dunia.”

Asas pertimbangannya adalah:

“Memandangkan status manfaat takaful yang dihibah tidak akan bertukar menjadi wasiat, harta pusaka dan sebagainya bagi memenuhi matlamat skim takaful iaitu memberikan perlindungan kepada peserta atau penama (penerima hibah), manfaat takaful yang dihibah dilihat mempunyai persamaan dengan perlindungan berkanun yang diterima pakai dalam insurans konvensional. Ini bermakna, sebarang manfaat takaful yang dinamakan kepada suami/isteri, anak atau ibu bapa (sekiranya tiada suami/isteri atau anak yang hidup semasa penamaan dibuat) tidak boleh dibatalkan, diubah, diserah (surrender) dan dicagarkan tanpa mendapat keizinan penama tersebut. Di samping itu, konsep perlindungan berkanun juga boleh digunakan dalam industri takaful kerana ia memelihara kepentingan penama dalam takaful di samping tidak bercanggah dengan konsep hibah ruqba.” [Rujuk Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam, hlm. 88]

Di samping itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 4/2020 yang telah bersidang pada 18 & 19 Ogos 2020 telah memutuskan bahawa:

Pampasan Insurans Takaful Kematian 

Pampasan yang diberikan kerana perlindungan kematian dan diperolehi selepas kematian Dikategorikan sebagai bukan harta pusaka

Kesimpulan

Berdasarkan pernyataan di atas, kami menyimpulkan bahawa sekiranya caruman yang dilakukan adalah berbentuk insurans konvensional maka bayaran pokok insurans konvensional adalah termasuk dalam harta pusaka yang perlu diagihkan secara faraid manakala dividen adalah termasuk dalam harta tidak patuh syariah dan perlu diberikan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri.

Manakala, sekiranya caruman tersebut berbentuk insurans takaful maka pampasan insurans takaful tersebut adalah bukan pusaka dan merupakan hak milik bagi penama yang diletakkan atau yang dipilih oleh pihak insurans. 

Setelah selesai semua urusan berkenaan pembahagian atau pindah milik harta tersebut maka adalah dibenarkan untuk melakukan sebarang urusan termasuk hibah dan wakaf.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah-perintah-Nya.

Wallahu’alam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑