Penglibatan Keluarga Dalam Konflik Rumahtangga

Soalan

Seorang suami telah curang dan kemudiannya mengaku insaf. Namun, keluarga isteri kerap masuk campur dan membesarkan isu tersebut seperti mereka tidak mahu menyelesaikan masalah dan tidak mahu menerima keputusan suami yang meminta sedikit masa untuk berfikir kerana isterinya tengah mengandung. Keluarga isteri telah mengugut untuk membelasah dan memukul suami tersebut.  Apakah cadangan agar kami pihak keluarga suami dapat menyelesaikan masalah ini? 

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat. 

Perkahwinan Dalam Islam dan Hal-Hal Berkaitannya

Perkahwinan adalah sebuah ibadah dan merupakan asas kepada kewujudan sesebuah keluarga, masyarakat dan seterusnya kepada pembentukan negara. Selain itu, perkahwinan juga adalah suatu tuntutan agama dalam meraikan fitrah semula jadi penciptaan manusia untuk hidup secara berpasang-pasangan. Bahkan perhubungan antara suami dan isteri disebutkan sebagai satu rahmat dan tanda kebesaran Allah SWT. Hal ini berdasarkan firman-Nya:

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

[Surah al-Rum 30:21]

Oleh itu, bagi mencapai matlamat perkahwinan yang sejahtera dan harmoni dalam rumah tangga, pasangan suami isteri mestilah mengetahui serta melunaskan hak-hak yang wajib bagi mereka keduanya.

Antara hak-hak suami yang mesti dilunaskan oleh isteri, secara ringkasnya adalah:

  1. Mentaati suami.
  2. Menjaga kehormatan suami dan menutup segala aibnya.
  3. Menjaga perasaan suami.
  4. Mentadbir rumah tangga suami.
  5. Memelihara anak-anak suami.

Kemudian, hak-hak isteri yang mesti dilunaskan oleh suami:

  1. Memberikan mahar.
  2. Memberi nafkah zahir dan batin.
  3. Memelihara kesucian isteri dan menutup segala aibnya.
  4. Mendidik isteri dan membimbingnya dalam mentaati perintah Allah SWT.
  5. Berlaku adil terhadap isteri.
  6. Bergaul dan menjadi penjaga yang baik kepada isteri.

[Rujuk Hak Suami Isteri Dalam Perkahwinan Islam: Analisis Menurut Fiqh, Rekayasa – Journal of Ethics, Legal and Governance, Vol. 4, 35-52]

Dalam usaha untuk membina sesebuah hubungan perkahwinan yang harmoni dan sejahtera, pasangan suami isteri hendaklah memahami dan bersama-sama berusaha mencapai matlamat perkahwinan agar rumah tangga yang dibina mendapat rahmat, ketenangan dan kasih sayang yang berterusan. Antara matlamat perkahwinan yang harus dicapai ialah:

1.Membina hubungan perkahwinan hanya semata-mata kerana Allah. Iaitu membina rumah tangga berlandaskan ajaran Islam serta melahirkan zuriat yang baik sehingga mampu memikul amanah dan merealisasikan usaha bagi memastikan hidayah Allah SWT berterusan dan tersebar ke seluruh alam ini. Firman Allah SWT:

      ذُرِّيَّةً بَعْضُهَا مِن بَعْضٍ ۗ

      Maksudnya: (Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain…

      [Surah Ali Imran 3:34]

      2. Dalam perkahwinan juga, pasangan suami isteri mestilah menjaga pandangan dan kehormatan diri agar menjadi lebih bertakwa kepada Allah SWT serta mendapatkan pertolongan dari-Nya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

        ثَلاَثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمُ الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ

        Maksudnya: Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya”

        [Sunan al-Tirmidhi 1655 dan Sunan al-Nasa’i 3218]

        3. Di samping itu, suami isteri hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga diri daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah SWT dalam urusan perkahwinan. Agar dapat menghindarkan diri daripada ditimpa kemurkaan-Nya serta balasan-Nya yang pedih. Terdapat sebuah riwayat berkenaan amaran tersebut:

        مَنْ تَزَوَّجَ امْرَأَةً لِعِزِّهَا لَمْ يَزِدْهُ اللَّهُ إِلَّا ذُلًّا، وَمَنْ تَزَوَّجَهَا لِمَالِهَا لَمْ يَزِدْهُ اللَّهُ إِلَّا فَقْرًا، وَمَنْ تَزَوَّجَهَا لِحَسَبِهَا لَمْ يَزِدْهُ اللَّهُ إِلَّا دَنَاءَةً ، وَمَنْ تَزَوَّجَ امْرَأَةً لَمْ يَتَزَوَّجْهَا إِلَّا لِيَغُضَّ بَصَرَهُ أَوْ لِيُحْصِنَ فَرْجَهُ ، أَوْ يَصِلَ رَحِمَهُ بَارَكَ اللَّهُ لَهُ فِيهَا ، وَبَارَكَ لَهَا فِيهِ

        Maksudnya: Sesiapa yang berkahwin dengan seseorang wanita kerana ingin mendapatkan kebanggaan dengan kemuliaan yang ada padanya, tidaklah Allah SWT menambah baginya selain kehinaan. Sesiapa yang mengahwininya sebab harta semata-mata tidaklah Allah SWT menambah baginya selain kefakiran. Sesiapa yang mengahwininya kerana pangkat kedudukan wanita tersebut, tidaklah Allah SWT menambah baginya melainkan semakin rendah kedudukannya di sisi manusia. Sesiapa yang berkahwin dengan seorang wanita yang dia tidak ingin berkahwin dengannya, melainkan untuk dia menundukkan pandangannya, menjaga kehormatan dirinya atau dia menyambung hubungan kekeluargaan; nescaya Allah memberkati baginya wanita tersebut, dan memberkati bagi wanita tersebut untuk dirinya.

        [Mu’jam al-Awsat: 2342]

        Curang Dalam Perkahwinan

        Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, curang bermaksud tidak jujur, tidak lurus atau tidak setia (khianat) kepada suami atau isteri atau tunangan dengan menjalin hubungan cinta dengan orang lain. [Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat]

        Curang juga boleh bermaksud tidak setia terhadap pasangannya dengan menjalinkan hubungan cinta dengan orang lain sehingga menyebabkan perasaan marah, cemburu dan persaingan. Sebagai contoh, suami dikatakan curang apabila bercinta dengan perempuan lain tanpa mempunyai niat untuk mengahwininya sebagai isteri yang sah. Manakala, isteri pula dikatakan curang apabila bercinta dengan lelaki lain sama ada lelaki itu bujang atau suami orang, dan dalam masa yang sama masih berstatus isteri orang yang sah.

        Namun, kemuncak perbuatan curang adalah apabila mereka melakukan perkara-perkara maksiat yang haram dan jatuh ke lembah perzinaan. Perbuatan ini terjadi disebabkan keghairahan nafsu sehingga tidak menjaga kehormatan diri, tidak menjaga mata dan terbabit dengan pergaulan bebas tanpa batasan. Sesiapa yang melakukan perkara sedemikian wajib bertaubat dan menyesali perbuatannya.

        Oleh itu, mesti diingatkan semula bahawa pergaulan antara lelaki dan wanita mempunyai batas-batas yang tertentu yang wajib dipatuhi tambahan lagi bagi yang mempunyai pasangan yang sah. Selain itu, setiap pasangan mestilah mendapatkan kemesraan atau kasih sayang hanya dengan pasangannya yang halal. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

        هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ

        Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

        [Surah al-Baqarah 2:187]

        Konflik Dalam Rumah Tangga

        Salah faham mahupun konflik antara suami isteri merupakan asam garam dalam alam perkahwinan. Hal ini kerana menjadi fitrah manusia itu berbeza pandangan dalam sesuatu perkara walaupun berkongsi ikatan. Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang konflik dalaman yang berlaku, maka dinasihatkan agar berbincang bagi mendapat kata sepakat agar isu tersebut dapat diselesaikan secara baik. Namun, sekiranya ia berlanjutan maka syariat Islam menawarkan solusi bagi menamatkan konflik tersebut daripada berterusan dengan jaminan daripada Allah SWT. Hal ini berdasarkan firman-Nya:

        وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَٱبْعَثُوا۟ حَكَمًۭا مِّنْ أَهْلِهِۦ وَحَكَمًۭا مِّنْ أَهْلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصْلَـٰحًۭا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيْنَهُمَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًۭا

        Maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”

        [Surah al-Nisa’ 4:35]

        Berdasarkan mafhum ayat ini, kami mencadangkan agar sebaiknya pihak penanya mendapatkan khidmat rundingan daripada para kaunselor di Bahagian Undang-undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang atau di Pejabat Agama Islam terdekat yang akan bertindak menjadi perantara atau orang tengah bagi meredakan konflik yang berlaku. Keadaan ini memerlukan penyelesaian melalui khidmat nasihat atau sesi kaunseling yang disediakan. Para pegawai di Bahagian Undang-undang Keluarga Islam, JHEAINPP merupakan pihak berautoriti yang berpengalaman menguruskan permasalahan berkaitan sejak sekian lama.

        Walaupun begitu, dibolehkan juga ketika konflik memuncak, ibu bapa kepada pasangan masing-masing memainkan peranan untuk menasihati anak-anak berkenaan urusan rumah tangga mereka tertakluk kepada hukum-hukum yang telah diperuntukkan dalam syariat Islam. 

        Mereka juga bertanggungjawab sama seperti orang Islam yang lain untuk melakukan amar makruf nahi mungkar apabila mereka melihat suatu jenayah atau penganiayaan dilakukan terhadap seseorang khususnya terhadap anak mereka sendiri. Tidak dianggap sebagai berdosa apabila ibu bapa memberi nasihat kepada anak-anak tentang hal rumah tangga. 

        Malah apabila berlaku pergaduhan (syiqaq) antara suami isteri, ibu bapa kepada pasangan masing-masing berhak dilantik menjadi hakam yang bertindak sebagai orang tengah bagi mendamaikan pihak yang bertelagah. Sama ada dengan cara menyelesaikan isu rumah tangga sehingga pasangan dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing semula atau membubarkan perkahwinan sebagai jalan terakhir.

        Namun, campur tangan yang melampau sehingga berlaku ugutan memukul dan sebagainya adalah salah dan dilarang dalam syarak. Bahkan terdapat sebuah peruntukan dalam undang-undang berkenaan ugutan jenayah ini, iaitu perbuatan tersebut boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Ugutan jenayah yang telah ditafsirkan secara ringkasnya sebagai mengugut untuk mendatangkan kecederaan kepada tubuh badan, nama baik, harta, dengan niat untuk mencetus kegentaran (ketakutan) kepada mangsa, atau untuk memaksa mangsa tersebut melakukan atau tidak melakukan sesuatu yang boleh dihukum dengan  hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

        Kesimpulan

        Berdasarkan pernyataan di atas, kami menyimpulkan bahawa perbuatan curang sehingga menyebabkan seseorang tersebut jatuh ke lembah maksiat adalah haram dan pelakunya wajib bertaubat kepada Allah SWT. 

        Bagi konflik rumah tangga yang berlaku, kami menasihati agar kedua-dua pihak dapat berbincang secara baik sehingga bertemu kata sepakat atau berunding melalui orang tengah sama ada dengan ibu bapa atau dengan merujuk Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang atau Pejabat. Manakala, perbuatan ugut pukul adalah salah dan dilarang sama sekali.

        Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

        Wallahu’alam.

        Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

        Leave a comment

        Blog at WordPress.com.

        Up ↑