Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Makanan Di Neraka 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَقُلِ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَن شَآءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَآءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ إِنَّآ أَعْتَدْنَا لِلظَّـٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا ۚ وَإِن يَسْتَغِيثُوا۟ يُغَاثُوا۟ بِمَآءٍۢ كَٱلْمُهْلِ يَشْوِى ٱلْوُجُوهَ ۚ بِئْسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتْ مُرْتَفَقًا(٢٩)

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.” 

(Surah Al-Kahf 18:29)

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. 

Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua. 

Sebelum itu juga, saya ingin menyeru kepada seluruh umat Islam untuk terus mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada penduduk Palestin yang berterusan ditindas dan dianiaya dengan dahsyat oleh rejim zionis Israel laknatullahi ‘alaihim. Sesungguhnya hanya Allah SWT jua yang Maha Berkuasa memberi pertolongan kepada mereka maka hanya kepada Allah SWT jua kita berserah dan memohon pertolongan. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Apabila disebut “neraka”, kita terus tergambar keadaan yang mengerikan dan seksaan yang teramat pedih. Tidak ada naluri manusia yang menterjemahkan neraka ini dengan hal yang dicita-citakan atau diharapkan. Sejahat manapun manusia, tidak ada yang mahu menjadi penghuni neraka, bahkan termasuk juga orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. 

Neraka, dengan pelbagai macam seksa di dalamnya semakin terbayang mengerikan apabila kita mengetahui makanan-makanan yang disediakan untuk penghuninya berupa makanan dan minuman yang amat menjijikkan dan semakin menambah pedihnya seksa. Apakah makanan dan minuman yang disediakan di neraka nanti? 

Al-Quran menceritakan pada beberapa ayat: 

Pertama – Buah Zaqqum 

Ia merupakan buah dari pohon yang ditanam di dasar Jahannam. Buah ini akan membuat perut orang yang memakannya menggelegak, seperti air yang sedang mendidih. Allah SWT berfirman dalam Surah ad-Dukhan ayat 43 hingga 46:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

إِنَّ شَجَرَتَ ٱلزَّقُّومِ(٤٣) طَعَامُ ٱلْأَثِيمِ(٤٤) كَٱلْمُهْلِ يَغْلِى فِى ٱلْبُطُونِ(٤٥) كَغَلْىِ ٱلْحَمِيمِ(٤٦)

 Maksudnya: “(Ingatlah), sesungguhnya pokok zaqqum, – (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka). (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, – Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya”. 

(Surah Ad-Dukhan 44:43-46)

Allah SWT juga menerangkan tentang buah zaqqum melalui firman-Nya dalam Surah as-Saaffaat ayat 62 hingga 65: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

أَذَٰلِكَ خَيْرٌۭ نُّزُلًا أَمْ شَجَرَةُ ٱلزَّقُّومِ(٦٢) إِنَّا جَعَلْنَـٰهَا فِتْنَةًۭ لِّلظَّـٰلِمِينَ(٦٣) إِنَّهَا شَجَرَةٌۭ تَخْرُجُ فِىٓ أَصْلِ ٱلْجَحِيمِ(٦٤) طَلْعُهَا كَأَنَّهُۥ رُءُوسُ ٱلشَّيَـٰطِينِ (٦٥) 

Maksudnya: “Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum? Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang  Khutbah Jumaat Makanan Di Neraka 3 zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat). Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang; Buahnya seolah-olah kepala syaitan-syaitan”.

(Surah as-Saaffaat 37: 62-65)

Nabi صلى الله عليه وسلم turut menjelaskan betapa ngerinya makanan penghuni neraka yang satu ini. Baginda bersabda:

“Kalaulah hanya setitis sahaja dari zaqqum menitis di lautan yang ada di dunia, nescaya akan menimbulkan kerosakan terhadap kehidupan penduduk dunia”.

(Hadis riwayat Imam at-Tirmidzi)

Lalu, bagaimana pula halnya dengan orang yang makan buah zaqqum itu? 

Kedua – Hamim (Air yang Mendidih)

Setelah mereka diberi makan buah zaqqum, mereka akan meminum minuman yang bukan meredakan kepanasan dalam perut mereka, malah mereka akan minum pula air yang semakin menambah kepanasannya. 

Dalam ayat lanjutan dari ayat-ayat tentang zaqqum di atas, Allah SWT berfirman: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

فَإِنَّهُمْ لَـَٔاكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِـُٔونَ مِنْهَا ٱلْبُطُونَ(٦٦) ثُمَّ إِنَّ لَهُمْ عَلَيْهَا لَشَوْبًۭا مِّنْ حَمِيمٍۢ(٦٧)

Maksudnya: “Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya. Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi – selain itu- satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak”.

(Surah as-Saaffaat 37: 66-67) 

Ketiga – Ghassaq (Minuman Yang Tersangat Dingin)

Allah SWT berfirman dalam Surah an-Naba’ ayat 24 dan 25:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

لَّا يَذُوقُونَ فِيهَا بَرْدًۭا وَلَا شَرَابًا(٢٤) إِلَّا حَمِيمًۭا وَغَسَّاقًۭا(٢٥)

Maksudnya: “Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman – Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir”. Apa itu ghassaq? Ibnu Abbas radhiyallahu ’anhuma menerangkan makna ghassaq, iaitu “Minuman yang tersangat dingin, dan ia menyebabkan ketakutan kepada penduduk neraka kerana kedinginannya (yang melampau)”.

(Surah an-Naba’ 78:24-25) 

Dari sini kita mengetahui, bahawa seksaan di neraka tidak selamanya berbentuk api yang panas, ternyata ada jenis azab yang bentuknya dingin yang amat menyeksakan. Ada juga ulama tafsir yang mentafsirkan ghassaq sebagai cairan menjijikkan yang keluar dari tubuh penduduk neraka. 

Keempat – Dhari’ (Tumbuhan yang Memiliki Duri dari Api)

Dalam Surah al-Ghasyiyah, ayat keenam dinyatakan:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

لَّيْسَ لَهُمْ طَعَامٌ إِلَّا مِن ضَرِيعٍۢ(٦)

Maksudnya: “Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri”. 

(Surah al-Ghasyiyah 88:6)

Hakikat dhari’ di akhirat, lebih mengerikan daripada di dunia. Dalam tafsir Ibnu Kathir diterangkan, bahawa dhari’ di dunia ialah tumbuhan kering berduri yang tidak memiliki daun lebar, orang-orang arab biasa menyebutnya dhari’. Adapun di akhirat, dhari’ ialah tumbuhan yang memiliki duri dari api. 

Kelima – Ghisliin (Nanah Penduduk Neraka) 

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Haaqqah ayat 36: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَلَا طَعَامٌ إِلَّا مِنْ غِسْلِينٍۢ(٣٦)

Maksudnya: “Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur”.

(Surah al-Haaqqah 69:36)

Ibnu Abbas radhiyallahu ’anhuma mentafsirkan makna ghisliin (danur) sebagai, “Nanah penduduk neraka”. 

Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian, 

Begitulah, sebahagian perihal keadaan makanan dan minuman di neraka bagi penghuninya. Makanan dan minuman yang ada bukanlah untuk menghilangkan lapar atau menghilangkan dahaga, malah ia sebagai bentuk seksaan yang menambahkan lagi kesengsaraan penghuninya dari seksaan lain di neraka itu. Semuanya kerana pembalasan atas segala dosa dan kemaksiatan yang telah dilakukan ketika di dunia ini. Maka masih tegarkah kita mengingkari segala perintah Allah SWT dan berterusan melakukan maksiat tanpa bertaubat kepada-Nya? 

Sanggupkah kita menahan segala seksa dan azab yang telah dinyatakan kepada kita melalui firman-Nya dan sabda Baginda Rasulullah SAW? Semoga dengan sedikit nasihat ini akan memberi kesedaran kepada kita semua untuk terus berusaha menjadi mukmin yang terbaik, mendapat keredhaanNya, menyelamatkan kita dari azab seksa neraka dan mengumpulkan kita semua di syurga-Nya. 

Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin meninggalkan beberapa pesanan buat semua; 

Pertama: Berusahalah menjadi hamba-Nya yang bertakwa dan taat akan perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya supaya terhindar dari seksaan neraka. 

Kedua: Makanan dan minuman di neraka bukanlah penghilang lapar dan dahaga, malah ia menambahkan kesengsaraan kepada penghuninya. 

Ketiga: Bertaubatlah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh supaya kita mendapat keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya. Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah al-Ghasyiyah ayat 6 – 7:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

لَّيْسَ لَهُمْ طَعَامٌ إِلَّا مِن ضَرِيعٍۢ(٦) لَّا يُسْمِنُ وَلَا يُغْنِى مِن جُوعٍۢ(٧)

Maksudnya: “Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri, Yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun”.

(Surah al-Ghasyiyah 88: 6-7)

Tarikh Dibaca: 29 Rabiulakhir 1446h / 1 November 2024 
Disediakan Oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑