Sifat Maskulin Yang Semakin Terhakis: Isu dan Penyebab Utama

Konsep maskuliniti atau kejantanan ini sering dilihat sebagai common sense yang tidak perlu dibincangkan. Dari segi sejarah, kejantanan merupakan sifat semulajadi yang diturunkan dari ayah kepada anak lelaki melalui pencerminan, nasihat, tunjuk ajar, dan pembelajaran. Budak lelaki belajar menjadi lelaki dewasa dengan menjalani kehidupan, mengatasi halangan, mengharungi ujian, dan berusaha untuk mencapai matlamat mereka. Maskuliniti atau kejantanan, secara tradisinya, tidak memerlukan arahan formal kerana ia dilihat sebagai satu set kualiti yang sedia ada pada anak lelaki. 

Ini menimbulkan persoalan kritikal: di manakah salahnya generasi ini? Mengapakah sekarang ini terdapat keperluan yang jelas untuk perbincangan dan pelbagai buku panduan mengenai topik asas seperti keberanian, penetapan matlamat dan ketegasan? Mengapa kita mempunyai generasi lelaki muda yang mengeluh kerana tiada siapa yang bercakap tentang kelelakian, walaupun bagi mereka ini adalah topik yang penting? Dan mengapa begitu ramai wanita mendakwa mereka tidak dapat mencari “lelaki sejati” untuk dijadikan teman hidup?

Saya mempunyai beberapa teori tentang bagaimana situasi ini boleh terjadi, tetapi saya akan menghadkan perbincangan ini kepada beberapa faktor penting sahaja. Semua ini, pada pendapat saya, merupakan sebab utama kenapa ramai lelaki moden tidak memahami apa makna maskuliniti dan mereka memerlukan bantuan dalam topik ini. 

Kekurangan Figura Bapa

Sekarang ini mungkin ialah generasi pertama lelaki muda yang benar-benar kekurangan figura bapa. Isu ini terkait dengan faktor lain iaitu feminisme, yang akan saya kupas sebentar lagi. Ramai lelaki muda membesar tanpa bapa atau figura bapa dalam hidup mereka. Dibesarkan oleh ibu atau nenek dan diajar oleh kebanyakan guru wanita, anak-anak lelaki ini membesar dalam persekitaran yang didominasi oleh tenaga wanita.

Natijahnya, ramai lelaki muda yang terdedah hanya dengan pengaruh feminisme. Ini boleh menyebabkan kekurangan pemahaman tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan, atau peranan tersendiri yang harus mereka mainkan dalam masyarakat dan keluarga. Seorang budak lelaki yang tidak meluangkan banyak masa dengan model peranan lelaki tidak akan dapat memahami sepenuhnya tentang apa yang sepatutnya diperlukan untuk menjadi seorang lelaki. Akibatnya, ramai lelaki muda membesar dengan mempamerkan ciri-ciri yang lebih feminin atau mencari sumber luar tentang kelelakian, justeru wujudnya keperluan untuk buku seperti ini.

Impak Feminisme Ke Atas Lelaki

Feminisme sering dianalisa melalui lensa bagaimana ia telah menjejaskan wanita, tetapi kurang perhatian diberikan kepada kesannya terhadap lelaki dan maskuliniti. Pada terasnya, feminisme mewakili pengecualian daripada sifat manusia tradisional, dan hasil percubaan sedemikian agak membahayakan. 

Feminisme telah memberi kesan kepada lelaki dalam beberapa cara. Dengan mengalih peranan kepimpinan lelaki dalam rumah tangga dan melucutkan peranan tradisional mereka sebagai penyedia dan pelindung, ramai lelaki muda dibiarkan mempersoalkan tujuan mereka dalam perhubungan. Perkahwinan dengan wanita feminis mungkin berasa lebih seperti persaingan untuk kepimpinan berbanding perkongsian. Akibatnya, ramai lelaki menjadi kecewa dengan perkahwinan dan tertanya-tanya apa tujuan hidup mereka.

Kita masih awal dalam sejarah feminisme, tetapi kita sudah dapat melihat akibat negatifnya: kadar perceraian yang melambung tinggi, kurangnya perkahwinan, lebih ramai anak yang membesar tanpa bapa, dan ramai orang memilih untuk tidak berkahwin sepenuhnya. Trend ini, di samping “perang jantina” yang semakin meningkat, adalah hasil percubaan untuk mengganggu-gugat aturan semula jadi kehidupan. Apabila masyarakat menjadi lebih ginosentrik (mengambil sudut pandangan wanita (atau khususnya feminis) sahaja), kita mungkin akan menyaksikan lebih banyak kesan berbahaya pada masa hadapan.

Pergerakan LGBTQ

Feminisme juga telah melahirkan gerakan lain, seperti gerakan LGBTQ, yang seterusnya telah mencabar feminisme itu sendiri. Pergerakan transgender, dengan mengaburkan garis antara lelaki dan perempuan, membolehkan lelaki berjaya dalam dunia ginosentrik hanya dengan mengaku sebagai wanita. Dalam pengertian ini, feminisme telah kembali ke titik permulaan dan menghasilkan musuh terburuknya sendiri.

Sementara itu, media moden terus memaparkan lelaki dengan mesej yang mengelirukan tentang jantina dan seksualiti. Lelaki digalakkan untuk menjadi kecil, lemah, beremosi dan terdedah—sifat yang menjadikan mereka lebih feminin dan lebih mudah dikawal. Media moden, dengan agenda feminis dan LGBTQnya, merupakan penyumbang utama kepada penghakisan sifat maskulin dalam generasi muda.

Keselesaan Moden Mencipta Lelaki Lembut

Pepatah tentang sejarah ialah “kesenangan mencipta lelaki lembut,” dan kita mungkin sedang melalui fasa sejarah ini. Ketika saya mengembara dan berbual dengan masyarakat dari pelbagai wilayah, satu perkara yang menonjol: dalam komuniti di mana kehidupan mereka sukar, tiada siapa yang mempertikaikan tentang maskulin atau sifat kewanitaan. Kanak-kanak lelaki secara semula jadi membesar menjadi lelaki sebagai tindak balas kepada cabaran masa itu.

Perbincangan ini kebanyakannya diadakan oleh lelaki kelas menengah atas atau anak-anak ibu bapa yang kaya yang sering keliru tentang topik ini. Kehidupan moden, dengan keselesaan dan kemudahannya, menyebabkan ramai kanak-kanak lelaki tidak perlu membesar. Mereka kekal sebagai budak lelaki di sepanjang hayat mereka, berpuas hati dengan permainan dan gajet. Mereka lembut, lemah, dan mudah dikawal—tanda-tanda yang merisaukan dalam mana-mana tamadun sekalipun.

Sistem Pendidikan

Perkara terakhir ini mungkin menjadi kontroversi, tetapi saya percaya ianya patut disebut: sistem pendidikan semasa menggagalkan lelaki muda. Walaupun ketiadaan tokoh bapa, lelaki secara tradisinya mengajar diri mereka maskuliniti dengan menjalani kehidupan, mengejar matlamat, dan mengharungi ujian hidup. Namun, ramai lelaki muda hari ini tidak dapat belajar sendiri.

Sekolah telah mewajibkan mereka untuk bergantung kepada guru untuk arahan spesifik bagi setiap tugasan. Mereka diajar bahawa guru sentiasa betul, dan sentiasa ada jawapan yang jelas betul atau salah. Tambahan pula, ramai guru mereka adalah wanita yang seperti yang dinyatakan sebelum ini, menyumbang kepada kekurangan model peranan lelaki.

Kebergantungan pada bimbingan luar ini telah mewujudkan lelaki muda yang takut untuk mencuba sesuatu yang baru atau mengambil risiko. Mereka sering menyalahkan orang lain kerana tidak memberikan arahan langkah-demi-langkah untuk setiap masalah. Baru-baru ini, saya melihat sendiri bagaimana beberapa lelaki mengkritik penceramah kerana tidak memberikan penjelasan terperinci tentang cara untuk memupuk keberanian atau membentuk kemurahan hati, walaupun sifat ini biasanya dipelajari melalui pengalaman. Ini menyerlahkan betapa ramai lelaki muda telah terbiasa dengan pengetahuan yang disogok.

Ringkasan

Ini adalah beberapa sebab mengapa maskulini menjadi topik yang mengelirukan dan hangat diperkatakan hari ini. Mungkin ada faktor penyumbang lain yang saya tidak nyatakan di sini termasuk mempunyai ibu yang terlalu melindungi serta krisis perkahwinan. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengenali isu asas ini dan berusaha untuk memperbaiki masyarakat supaya generasi akan datang mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang maskuliniti dan mempunyai peluang yang lebih besar untuk berjaya.

Tentang Penulis: Shaykh Ismail Kamdar ialah pakar dalam bidang Feqah, Tafsir, Sejarah, Perkembangan Peribadi, and Pendidikan

Artikel Asal: Izzah Academy

Terjemahan: Mymuslimin.com

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑