Soalan
Apabila sesuatu masalah sama ada kecil atau besar menimpa, saya sering akan berfikir negatif yang menyebabkan saya overthinking. Saya akan berfikir secara mendalam tentang masalah yang saya hadapi sehingga mengganggu aktiviti harian termasuk solat, tidur dan sebagainya. Tambahan juga, saya pernah berburuk sangka kepada Allah SWT atas dugaan yang diberi dan seolah-olah tidak menerima takdir-Nya. Hal ini menyebabkan saya sering berfikir untuk membunuh diri atau memohon kepada Allah SWT supaya ditarik nyawa lebih awal demi menyelesaikan masalah overthinking yang berlebihan dan kegelisahan yang melampau terhadap nasib masa hadapan.
Mohon pencerahan terhadap soalan berikut:
- Apakah hukum berfikir untuk membunuh diri atau memohon untuk mati awal disebabkan masalah mental (overthinking dan anxiety)?
- Jika membunuh diri, adakah ianya dikira murtad dan akan dimasukkan ke dalam Neraka buat selamanya-lamanya?
- Adakah masalah saya berpunca dari bisikan Qarin atau Jin semata-mata dan perlu diruqyah? Jika ya, bagaimana cara untuk meruqyah?
- Apakah cara yang terdapat dalam Sunnah Baginda Nabi SAW dalam mengatasi masalah ini?
Jawapan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Mukadimah
Nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita sangatlah banyak dan tidak terhingga. Semua nikmat yang ada pada kita datangnya daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَمَا بِكُمْ مِنْ نِعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ ثُمَّ إِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَإِلَيْهِ تَجْأَرُونَ
Maksudnya: Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.”
[Surah An-Nahl 16: 53]
Kehidupan dunia itu sendiri merupakan nikmat yang tidak ternilai harganya. Hakikatnya sesiapa yang mendapat nikmat, dia pastinya akan diuji untuk membuktikan siapakah di kalangan manusia itu yang benar-benar bersyukur dan siapakah pula yang berjaya bersabar dengan ujian daripada Allah SWT. Justeru, segala nikmat dan bala bencana itu semuanya merupakan suatu bentuk ujian bagi menguji tahap keimanan dan kesabaran seseorang hambaNya. Firman Allah SWT:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
[Surah al-Baqarah 2:155]
Manusia akan diuji dengan segala sesuatu, baik dengan hal-hal yang disenanginya atau disukainya mahupun dengan berbagai-bagai perkara yang dibenci dan tidak disukainya .Allah SWT berfirman:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.”
[Surah al-Anbiya 21:35]
Merujuk kepada tafsiran ayat ini, Ibnu ‘Abbas RA mengatakan;
نبتليكم بالشدة والرخاء، والصحة والسقم، والغنى والفقر، والحلال والحرام، والطاعة والمعصية، والهدى والضلالة
Maksudnya: “Kami ( Allah ) akan menguji kamu dengan kesulitan dan kesenangan, kesihatan dan penyakit, kekayaan dan kefakiran, halal dan haram, ketaatan serta maksiat, petunjuk dan kesesatan. [Lihat: Tafsir al-Tabari jld. 18, hlm. 440]
Membunuh Diri
Terkadang dengan sebab tekanan hidup yang melampau dan stres menyebabkan seseorang hilang arah dalam kehidupan. Dia merasakan dengan mengambil jalan pintas membunuh diri akan dapat menyelesaikan masalah dalam menempuh kemelut kehidupannya itu. Namun keputusan yang dipilihnya itu adalah jalan yang tidak dibenarkan dalam agama Islam. Para ulama bersepakat menyebut bahawa membunuh diri hukumnya haram.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).
[Surah al-Isra’ 17:33]
Nabi SAW melarang orang yang berani melakukan jenayah yang kejam ini, iaitu jenayah membunuh diri dengan ancaman akan terhalang menjadi penghuni syurga. Malah dia akan menerima kemurkaan Allah SWT dengan dimasukkannya ke dalam neraka. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
كَانَ فِيمَنْ قَبْلِكُم ْرَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ فَجَزَعَ، فَأَخَذَ سِكِّيْنًا، فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، فَقَالَ اللهُ: بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، فَحَرَّمْتُ عَلَيهِ الجَنَّةَ
Maksudnya: “Mereka yang sebelum kamu, ada seorang lelaki yang mengalami luka dan tidak tahan untuk menanggung deritanya, kemudian diambilnya pisau, lalu membuat torehan ke urat nadi tangannya sehingga darah keluar dan tidak berhenti mengalir sehinggalah menemui ajalnya. Allah SWT berfirman: Hamba-Ku telah mendahului-Ku dengan (membunuh) dirinya, oleh itu Aku mengharamkan baginya memasuki syurga.”
[Riwayat al-Bukhari No. 3463]
Imam Ibnu Hajar Asqalani berkata;
فِي الْحَدِيث تَحْرِيم قَتْل النَّفْس سَوَاء كَانَتْ نَفْس الْقَاتِل أَمْ غَيْره
Maksudnya: “Pada hadis tersebut dapat difahami tentang hukum haram membunuh diri sendiri atau diri orang lain“. [Rujuk Fath al-Bari jld. 6, hlm. 500]
Membunuh diri ialah dosa besar, kerana adanya ancaman khusus baginya, sebagaimana sabda Nabi SAW:
مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.”
(Riwayat al-Bukhari, 6047 dan Muslim, 110)
Jika seseorang itu benar-benar beriman, maka segala urusannya merupakan kebaikan. Jika mendapat kesenangan dia bersyukur dengan kurnia Allah itu dan ketika ditimpa kesusahan pula dia bersabar dengan ujian tersebut. Sekiranya inilah kebaikan yang dapat difahami oleh seorang Mukmin, maka tidak ada lagi alasan dan sebab yang munasabah seseorang itu mengambil keputusan untuk membunuh diri. Rasulullah SAW bersabda;
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ.
Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”
(Riwayat Muslim, 7692)
Bercita-cita Untuk Mati
Bercita-cita untuk mati kerana bala yang menimpa seseorang adalah tidak dibenarkan. Ulama bersepakat bahawa perbuatan tersebut adalah haram, tidak diharuskan seorang Muslim bercita cita untuk mati atau berdoa memohon untuk mati kerana sesuatu musibah yang menimpanya. Namun jika terpaksa maka berdoalah kepada Allah seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. Hal ini berpandukan sabda Rasulullah SAW:
لا يَتمنَّينَّ أحدُكمُ الموتَ مِن ضُرٍّ أصابَهُ، فإن كانَ لا بدَّ فاعِلًا، فليقُلْ اللَّهُمَّ أحيِني ما كانتِ الحياةُ خَيرًا لي، وتوفَّني إذا كانتِ الوفاةُ خَيرًا لي
Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu mengharapkan kematian kerana tertimpa musibah duniawi, jika terpaksa, maka hendaklah ia mengucapkan: ‘Ya Allah panjangkan hidupku, jika kehidupan itu lebih baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku’!”
(Riwayat al-Bukhari, no. 5671, dan al-Nasa’i, no. 1820)
Mengharapkan Kematian yang Dibenarkan
Mengharap kematian atas sebab yang baik adalah dibenarkan dan suatu perbuatan yang mulia, seperti contoh mengharapkan mati syahid bagi mempertahankan agama dan tanah air. Ia adalah dituntut dan mendapat ganjaran yang amat baik di sisi Allah SWT. Menjadi kewajipan individu Muslim mempertaruhkan nyawa bagi mempertahankan tanah air daripada dicerobohi musuh. Begitu juga dibolehkan atas sebab menjaga akidah dan agama.
Imam Nawawi Berkata:
فَأَمَّا إِذَا خَافَ ضررا فى دينه أوفتنة فِيهِ فَلَا كَرَاهَةَ فِيهِ
Maksudnya: “Tidak dimakruhkan mengharapkan kematian pada seorang yang takut tergugat agamanya atau ujian berat pada agamanya”.
[Syarah Muslim jld. 17, hlm. 8]
Doa yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW mengajar umatnya yang ditimpa musibah atau ujian pada agamanya dengan berdoa seperti berikut:
اللَّهُمَّ إِذَا أَرَدْتَ بِعِبَادِكَ فِتْنَةً، فَاقْبِضْنِي إِلَيْكَ غَيْرَ مَفْتُونٍ
Maksudnya: “Jika Engkau berkehendak memberikan fitnah (cubaan dalam agama) kepada hambamu, maka cabutlah (nyawa)ku dalam keadaan tidak tertimpa fitnah (cubaan) itu”.
Pembunuh Diri Masih Islam
Pelaku pembunuhan ke atas diri sendiri masih dikira sebagai seorang Islam. Walaupun perbuatan tersebut sebahagian daripada dosa-dosa besar, tetapi ia tidaklah menjadikan seseorang itu murtad. Iman tidak terhapus dengan melakukan dosa-dosa besar, namun ia dapat melemahkan tahap kesempurnaan iman seseorang. Pada pendapat Ahli Sunah Waljamaah, tahap keimanan akan menjadi kuat dengan amal-amal soleh. Begitu juga sebaliknya ia akan menurun dengan perlakuan maksiat.
Justeru, orang yang membunuh diri masih disifatkan sebagai seorang yang beriman, Islam, terpelihara darahnya (tidak harus dibunuh dengan perbuatan dosa besar) dan hartanya juga terpelihara dari dirampas oleh pemerintah. Kenyataan ini merupakan pendapat yang disepakati oleh ulama-ulama Ahli Sunah Waljamaah.
Imam Saif al-Din al-Amidi berkata;
“وقد اختلفوا في أهل الكبائر من المؤمنين إذا ماتوا عنها من غير توبة، فالذي عليه إجماع المسلمين أنهم ماتوا على الإيمان”
Maksudnya: “Ulama berbeza pendapat pada hukum pelaku dosa besar yang meninggal dunia dan tidak sempat bertaubat di kalangan Muslimin, dan pendapat yang telah disepakati para ulama Islam mereka itu masih Islam.” [Rujuk; Abkar al-Afkar fi Usul al-Din jld. 4, hlm. 360]
Seorang Muslim yang telah mati dalam keadaan masih beriman, walau selemah mana imannya sekalipun dan bukan dalam keadaan Musyrik, maka dia tetap tidak akan kekal di neraka jika Allah menghendakinya masuk ke dalamnya. Allah SWT berfirman:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain (syirik) itu, bagi siapa yang Dia kehendaki. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar”.
[Surah Al-Nisa 4:48]
Maksud diharamkan Syurga kepada Pembunuh
Dalil-dalil yang memberikan amaran keras mengenai amalan dosa yang bukan syirik seperti membunuh diri, yang mengandung kalam Nabi SAW seperti; “tidak masuk syurga orang yang begitu dan begini” atau “diharamkan masuk syurga orang yang demikian dan demikian”, maka tafsirannya sebagaimana dijelaskan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani adalah seperti berikut;
- Orang yang melakukannya mempercayai bahawa apa yang dilakukannya itu adalah halal dalam agama Islam, maka dia telah Murtad dan kafir dengan iktikadnya itu.
- Orang yang melakukan dosa besar itu tidak masuk syurga bersama golongan yang lebih awal masukinya. Dia terlebih dahulu akan diazab Allah atas dosa yang dilakukan (jika Allah tidak mengampuni dosanya), setelah itu barulah akan dikeluarkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
- Orang yang melakukan dosa besar tersebut tidak akan masuk ke dalam syurga khusus seperti Jannah al-Firdaus.
- Ia merupakan satu amaran keras terhadap pelakunya, tujuannya supaya orang yang hendak melakukannya merasa gerun dan takut.
- Maksud “diharamkan baginya syurga” iaitu, sekiranya Allah SWT mahu mengekalkan azabnya secara berterusan tanpa henti.
- Berkemungkinan maksud hadis “diharamkan syurga ke atasnya” adalah berkenaan dengan syariat umat yang terdahulu yang mana pelaku dosa-dosa besar dihukum sebagai seorang yang telah kafir. [Rujuk; Fath al-Bari 6, hlm. 500]
Syaitan Qarin
Qarin ialah syaitan yang sentiasa mendampingi manusia. Dialah yang mengajak dan menghasut seseorang itu untuk melakukan kemungkaran, maksiat dan dosa serta sentiasa berusaha untuk menyesatkannya. Dia sedaya upaya cuba menghalang setiap orang di kalangan anak adam daripada melakukan perkara-perkara baik. Kewujudan Qarin ini adalah suatu yang thabit berdasarkan nas-nas daripada al-Quran dan al-Hadis, antaranya ialah firman Allah SWT;
۞قَالَ قَرِينُهُۥ رَبَّنَا مَآ أَطۡغَيۡتُهُۥ وَلَٰكِن كَانَ فِي ضَلَٰلِۢ بَعِيدٖ
Maksudnya: “(Semasa dia [pendosa] dihumbankan ke dalam neraka Jahanam, dia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikannya sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong”.
[Surah Qaf 50: 27]
Dan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud RA sabda Nabi SAW;
ما منكم من أحد إلا وُكِّل به قرين من الجن، قالوا وإياك يا رسول الله؟ قال وإياي إلا أن الله أعانني عليه فأسلم فلا يأمرنّي إلا بخير.
Maksudnya: “Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan jin. Mereka (Sahabat) bertanya: Adakah kamu juga wahai Rasulullah SAW? Baginda SAW menjawab: Dan aku juga melainkan Allah telah membantuku daripada gangguannya maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.”
[Sahih Muslim No. 2814]
Qarin asli ialah Qarin yang sentiasa berada bersama seseorang semenjak dilahirkan. Sebenarnya seseorang itu mampu untuk menundukkannya tetapi tidaklah mampu untuk mengislamkannya. Penciptaannya adalah bertujuan untuk menjadikannya sebagai satu ujian kepada hamba-hamba Allah. Ia akan bersama seseorang sehinggalah dia meninggal dunia. Qarin bukan asli adalah tergolong dari golongan jin yang mengusai dan menyakiti manusia dengan perantaraan tukang sihir, dan ia akan pergi meninggalkan seseorang yang disihir itu apabila sihir itu dapat dimusnahkan.
Rawatan yang boleh diambil untuk melemahkan qarin asli adalah dengan membanyakkan bacaan ruqyah antaranya adalah seperti berikut;
- Surah al-Fatihah,
- Surah al-A’raf ayat 54 hingga 57,
- Surah al-A’raf ayat 117 hingga 122,
- Surah Yunus ayat 79 hingga 82,
- Surah Taha ayat 65 hingga 69,
- Surah al-Ikhlas,
- Surah Al-Falaq;
- Surah al-Nas.
Selain mendapatkan rawatan ruqyah untuk membatalkan sihir qarin daripada pengamal perubatan Islam, pesakit yang terkena sihir boleh juga mengamalkan beberapa amalan dan ruqyah seperti berikut;
- Sentiasa berwuduk dan tidur dalam keadaan wuduk.
- Membaca sebelum tidur Surah al-Muawwazatain dan Surah al-Ikhlas kemudian ditiup ke tapak tangan lalu disapukan ke seluruh badan.
- Membaca ayat al-Kursi sebelum tidur.
- Membaca Surah al-Fatihah
- Membaca Surah al-Saffat
- Membaca Surah al-Tariq
- Membaca ayat-ayat ruqyah seperti di bawah ini
- Al-Baqarah ayat 225
- Al-Baqarah ayat 285-286
- Yunus ayat 81-82
- Al-A’raf ayat 117-122
- Taha ayat 89
- Surah al-Ikhlas
- Surah al-Falaq
- Surah al-Naas
Kesimpulan
- Berfikir untuk membunuh diri disebabkan masalah mental merupakan satu perbuatan yang dilarang agama.
- Seseorang yang mati membunuh diri merupakan seorang pelaku dosa besar dan masih dihukum sebagai seorang Muslim. Oleh itu terserahlah kepada Allah sama ada mahu mengazab atau mahu mengampunkannya di akhirat kelak.
- Diharuskan untuk mendapatkan rawatan di hospital dan juga rawatan dengan bacaan ruqyah di pusat-pusat rawatan Islam serta mengamalkan amalan dan ruqyah yang dikongsikan di atas.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu’aklam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment