Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Integriti Teras Keharmonian Negara

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

إِنَّا عَرَضْنَا ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا ٱلْإِنسَـٰنُ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومًۭا جَهُولًۭا(٧٢) 

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

(Surah Al-Ahzab 33:72)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. 

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Integriti Teras Keharmonian Negara.”

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Integriti merupakan asas penting dalam kehidupan kita. Kita sering mendengar dipelbagai peringkat menyebut perkataan integriti. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan integriti sebagai: kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Ini bermaksud integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya dan lain-lain. 

Integriti merupakan sebahagian daripada nilai-nilai penting dan berperanan besar dalam membina tingkah laku dan sahsiah manusia untuk membentuk kesempurnaan dalam diri. Nilai yang baik yakni sifat mahmudah menampilkan norma dan piawaian tingkah laku yang terbaik dalam kehidupan seseorang manusia itu. Nilai integriti bukan sahaja mengubah landskap dan ekosistem kehidupan dalam kalangan anggota masyarakat bahkan akan membantu sesebuah negara dalam mencapai matlamat serta kejayaan yang telah dirangka agar Malaysia dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuah. 

Rasulullah SAW merupakan contoh teladan sebagai hamba Allah SWT yang berintegriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran ‘al-Amin’, yang bererti ‘yang sangat dipercayai’. Empat nilai keperibadian dan sifat terpuji Rasulullah SAW yang menjadi teras kepada nilai integriti iaitu AsSiddiq (benar), Amanah (jujur), Tabligh (menyampaikan) dan Fatonah (bijaksana). 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا(٢١)

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.

(Surah al-Ahzab 33: 21) 

Ayat ini menganjurkan untuk kita mencontohi Rasulullah SAW dalam semua perkara khususnya sifat amanah dan jujur. Seterusnya mendapat ganjaran yang besar dan kedudukan yang baik di sisi Allah SWT. Sebaliknya tanpa integriti seperti tidak beramanah dan tidak berlaku jujur serta sentiasa bergelumang dengan sifat mazmumah dalam diri seseorang itu, akan menjejaskan kedudukannya di sisi Allah SWT malah akan ditimpa kecelakaan di dunia mahupun di akhirat. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Manfaat atau kelebihan berintegriti bukan sahaja dapat diraih oleh individu muslim itu sendiri, bahkan oleh ahli keluarga, masyarakat, dan juga negara. Ini kerana kehidupan akan menjadi lebih harmoni apabila masyarakatnya berintegriti dengan sentiasa bersikap jujur dalam percakapan dan kepercayaan yang diberikan. Peringatan ini sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud Radhiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Hendaklah kalian selalu berlaku jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan menghantarkan seseorang ke Syurga. Dan apabila seseorang selalu berlaku jujur dan tetap memilih jujur, maka akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah oleh kalian berbuat dusta, kerana dusta membawa seseorang kepada kejahatan, dan kejahatan menghantarkan seseorang ke Neraka. Dan jika seseorang sentiasa berdusta dan memilih kedustaan maka akan dicatat di sisi Allâh sebagai pendusta (pembohong).”

(Riwayat Imam Ahmad) 

Hadirin yang berbahagia, 

Malaysia adalah sebuah negara yang majmuk. Ini dapat dilihat dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama menjadikan negara ini begitu unik. Walaupun dihuni oleh pelbagai bangsa, kaum, pegangan agama dan budaya, kita dapat hidup dalam suasana harmoni dan aman hasil daripada pengamalan sikap hormat-menghormati, saling mengasihi, kebersamaan dan semangat perpaduan mempertahankan kedaulatan negara. 

Namun begitu, kadang kala kita diuji dengan pelbagai isu yang boleh menjejaskan perpaduan akibat daripada perbuatan pihak-pihak yang tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab apabila suka menyuntik jarumjarum perbalahan dan permusuhan terutama di media-media sosial. 

Ingatlah bahawa kesejahteraan dan kemakmuran negara juga adalah amanah daripada Allah SWT yang mesti dipelihara. Kita juga seringkali didedahkan dengan pelbagai kepincangan dalam masyarakat yang melibatkan keruntuhan nilai integriti. Sedarlah bahawa manusia yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam kemungkaran seperti perbuatan rasuah, khianat, penipuan dan pecah amanah yang pastinya boleh meruntuhkan organisasi, institusi masyarakat dan negara. 

Sewajarnya dengan penghayatan dan pengamalan ajaran Islam, maka sifat jujur dan amanah mestilah ditanamkan dan diterapkan dalam diri kita, seterusnya mendidik keluarga dan anak-anak untuk mengamalkan nilai-nilai integriti bermula daripada rumah. Sempena Sambutan Bulan Integriti Nasional 2024 sepanjang bulan November dan ulang tahun Institut Integriti Malaysia (IIM) ke-20, IIM telah dan akan melaksanakan pelbagai program kesedaran di samping meningkatkan serta memperkasakan lagi pembudayaan integriti di semua sektor iaitu awam, swasta dan Masyarakat bagi meningkatkan nilai dan etika integriti. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu: 

1. Umat Islam mestilah mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna, meningkatkan iman dan membentuk sifat Ihsan di dalam diri untuk membina nilai integriti yang tinggi.  

2. Umat Islam hendaklah memupuk sifat amanah, jujur, ikhlas, berkata benar dan bertanggungjawab serta mengikis segala sifat negatif seperti suka melakukan khianat, mengambil kesempatan dan penipuan. 

3. Umat Islam mestilah mendidik ahli keluarga dan anak-anak untuk mengamalkan nilai-nilai integriti bermula dari rumah demi membina masyarakat yang berintegriti tinggi. 

4. Mana-mana individu yang tidak mementingkan integriti dalam diri mereka, menyebabkan mereka mudah melakukan perbuatan dosa yang dimurkai Allah SWT. 

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

(Surah al-Ahzab 33:72)

Tarikh Dibaca: 08 November 2024 | 06 Jumadal Ula 1446H
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑