Makan Berlebihan Itu Sifat Tercela!
Sifat ini merupakan antara tunjang sifat-sifat mazmumah kerana perut adalah tempat lahirnya pelbagai syahwat. Daripadanya terbit syahwat kemaluan. Kemudian apabila syahwat makanan dan persetubuhan menguasai diri seseorang, maka akan terbit daripadanya kerakusan terhadap harta.
Hal ini kerana seseorang itu tidak akan dapat memenuhi kedua-dua syahwat tersebut melainkan dengan harta. Dan daripada syahwat harta akan terbit syahwat pangkat kerana amat sukar untuk mencari harta tanpa mengejar pangkat. Kemudian ketika seseorang itu memperolehi harta dan pangkat serta mengejar kedua-duanya, maka akan bersesaklah penyakit-penyakit hati di dalam dirinya seperti sombong, riya’, hasad, dengki, permusuhan dan lain-lain lagi.
Justeru, tempat terbitnya kesemua penyakit ini ialah perut. Oleh itu, baginda Rasulullah mengutamakan untuk berlapar. Sabda baginda ertinya: “Tiada suatu amal yang paling disukai oleh Allah Ta’ala berbanding dengan berlapar dan dahaga.”
Nabi bersabda ertinya: “Tidak akan dapat menyingkap rahsia-rahsia tertinggi di langit bagi orang yang perutnya penuh.”
Nabi bersabda ertinya: “Penghulu bagi amalan ialah berlapar.”
Nabi bersabda ertinya: “Berfikir itu separuh daripada ibadah, dan sedikit makan itu merupakan ibadah.”
Nabi bersabda ertinya: “Orang yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang banyak berlapar dan berfikir, manakala orang yang paling Allah benci ialah orang yang berlebih-lebihan dalam makan dan minum serta tidur.”
Nabi bersabda ertinya: “Tidak ada bekas yang paling buruk dipenuhi oleh anak Adam berbanding perutnya, cukuplah baginya beberapa suapan kecil yang boleh menegakkan tulang sulbinya (bertenaga), atau paling tidak maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.” (Diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, al-Nasa’I dan Ibn Majah. Imam al-Tirmizi mengatakan: hadis ini adalah hasan sahih.)
Nabi bersabda ertinya: “Sesungguhnya syaitan itu menyelinap di dalam anak Adam menerusi saluran darah. Maka sempitkanlah laluan-laluan syaitan dengan berlapar dan dahaga.” (Muttafaqun ‘Alaih)
Nabi bersabda kepada ‘Aishah ertinya: “Hendaklah kamu semua sentiasa mengetuk pintu syurga, nescaya akan dibukakan bagi kamu. ‘Aishah bertanya: Bagaimanakah kami hendak berterusan melakukannya? Sabda baginda : Dengan cara berlapar dan dahaga.
Dan nabi bersabda ertinya: “Hendaklah kamu makan dan minum dengan sederhana (Ansaf al-Butun). Sesungguhnya perbuatan tersebut adalah satu juzuk daripada kenabian.”
Rahsia Kehebatan Berlapar
Sudah tentu kamu ingin mengetahui tentang rahsia kehebatan berlapar dan kaitannya dengan jalan untuk menuju ke akhirat. Justeru ketahuilah bahawa berlapar itu mempunyai faedah yang banyak dan kesemua faedah tersebut dapat disimpulkan kepada 7 perkara.
Pertama: Menyuci Hati dan Menajamkan Mata Hati
Hal ini kerana kekenyangan itu akan mewariskan kebodohan dan dan membutakan hati. Nabi SAW telah bersabda ertinya: “Sesiapa yang melaparkan perutnya, maka tajam mindanya dan bijak hatinya.” (Diriwayatkan oleh Imam al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dengan sanad yang dhaif.) Maka jelaslah bahawa kunci kepada kebahagian ialah ma’rifah (pengetahuan) dan ia tidak akan tercapai melainkan dengan sucinya hati. Oleh yang demikian, berlapar itu dapat mengetuk pintu syurga.
Kedua: Melembutkan Hati
Berlapar itu boleh melembutkan hati sehingga dapat merasai kelazatan bermunajat serta terkesan dengan zikir dan ibadah. al-Junaid telah berkata: “Hendaklah setiap daripada kamu mengosongkan perutnya daripada makanan sekiranya dia ingin merasai kelazatan bermunajat.” Maka jelaslah kepada kamu bahawa perihal hati dari segi khasyiah (gentar), takut (khauf), lembut (riqqah), mengadu (munajah) dan akur dengan kehebatan Allah adalah merupakan antara kunci-kunci pintu syurga, meskipun pintu makrifah itu terletak di atasnya, maka berlapar itu adalah merupakan ketukan kepada pintu tersebut.
Ketiga: Merendahkan Jiwa dan Menghilangkan Sifat Menolak Kebenaran (Batar) dan Melampaui Batas
Nafsu tidak akan dapat dipatahkan dengan sesuatu apa pun sebagaimana lapar dapat mematahkan nafsu. Sifat melampaui batas membawa seseorang kepada lalai daripada mengingati Allah dan sifat lalai merupakan pintu neraka jahim dan kebinasaan. Maka dengan berlapar, seseorang itu dapat menutup pintu neraka tersebut. Justeru, proses untuk menutup pintu kebinasaan ialah dengan cara membuka pintu kebahagiaan. Oleh yang demikian, ketika mana nikmat dunia ditawarkan kepada Nabi SAW, baginda menjawab ertinya: “Aku tidak mahu, bahkan akau ingin berlapar sehari dan kenyang sehari. Ketika dalam keadaan lapar aku dapat bersabar dan pasrah dan ketika dalam keadaan kenyang aku dapat bersyukur.”
Keempat: Ujian (Bala’) adalah Antara Pintu-Pintu Syurga
Hal ini kerana berlapar itu merupakan penyaksian kepada merasai azab Allah dan dengan berlapar dapat menambahkan rasa takut kepada azab akhirat. Seseorang itu tidak akan mampu menyiksa dirinya dengan sesuatu apa pun seumpama siksaan berlapar. Sesungguhnya berlapar itu tidak memerlukan sesuatu yang membebankan bahkan faedah lain yang berkait dengannya ialah seseorang itu dapat menyaksikan ujian Allah secara berterusan dengan berlapar.
Kelima: Mematahkan Nafsu Syahwat
Ini merupakan faedah yang paling besar iaitu mematahkan keseluruhan nafsu syahwat yang merupakan sumber maksiat dan menguasai nafsu daripada dorongan kepada kejahatan. Berkata Dzu al-Nun: “Ketika aku dalam keadaan kekenyangan akan memudahkan aku melakukan maksiat atau berkeinginan untuk melakukan maksiat.” Sayyidatina ‘Aishah berkata: “Bid’ah terawal yang berlaku selepas kewafatan Rasulullah ialah kenyang. Sesungguhnya sesuatu kaum itu, apabila perut mereka kenyang, hati mereka mudah cenderung kepada dunia.”
Keenam: Meringankan Badan untuk Tahajjud dan Beribadah dan Melenyapkan Rasa Mengantuk
Hal ini kerana modal bagi kebahagiaan ialah umur manakala tidur itu dapat mengurangkan umur apabila terhalang daripada melakukan ibadah. Punca daripada mengantuk ialah dengan banyak makan. Berkata Abu Sulaiman al-Darani: “Barangsiapa yang kenyang akan masuk kepadanya 6 penyakit iaitu hilangnya kemanisan ibadah, lemah dalam memelihara hikmah, melenyapkan rasa belas kasihan kepada makhluk kerana apabila seseorang itu kenyang, maka dia menyangka bahawa semua makhluk turut kenyang, berat melakukan ibadah dan bertambahnya nafsu syahwat. Ramai di kalangan orang beriman berlegar sekitar masjid sedangkan dia asyik berlegar sekitar tong sampah.”
Ketujuh: Meringankan Prbelanjaan dan Mengukuhkan Sifat Qana’ah Terhadap Nikmat Dunia
Hal ini kerana sesiapa yang dapat membebaskan diri daripada kerakusan perutnya maka dia tidak memerlukan kepada harta yang banyak serta akan gugur daripadanya kebanyakan keinginan dunia.
Justeru, selagi mana seseorang itu ingin meminjam harta bagi memenuhi syahwat perutnya, maka pinjamlah kepada dirinya sendiri dan tinggalkan kehendak syahwatnya. Ketika Ibrahim bin Adham ditanya tentang sesuatu yang bernilai. Beliau menjawab: “Ringankannya dengan meninggalkannya.”
Berperingkat-Peringkat dalam Mengurangi Pengambilan Makanan
Boleh jadi kamu akan bertanya: “Kenyang dan banyak makan telah menjadi adat kebiasaan, justeru bagaimana hendak meninggalkannya?
Maka ketahuilah bahawa perkara ini menjadi mudah bagi sesiapa yang berkehendak dengan melakukannya secara berperingkat-peringkat. Iaitu dia hendaklah mengurangkan pengambilan makanan setiap hari sebanyak satu suapan sehinggalah berkurang kepada satu gumpalan dalam tempoh sebulan. Perkara ini tidak menjadi jelas kesannya sehingga pengurangan pengambilan makanan ini menjadi adat kebiasaan seseorang. Apabila kamu telah patuh kepada proses pengurangan secara berperingkat ini, maka barulah kamu memerhati kepada masa, kadar dan jenis.
Terdapat 3 tingkatan berdasarkan kadar iaitu:
Tertinggi: Ini adalah tingkatan golongan Siddiqin. Memadai sekadar yang cukup dapat menegakkan tulang sulbi. Kadar ini sekiranya berkurangan dibimbangi akan menjejaskan akal dan kehidupan. Inilah yang dilakukan oleh Sahl al-Tustari. Beliau berpandangan bahawa solat yang dilakukan secara duduk kerana lemah disebabkan berlapar adalah lebih afdhal daripada solat secara berdiri kerana kuatnya makan.
Kedua: Kamu berasa cukup dengan separuh cupak setiap hari iatu 1/3 daripada bahagian perut. Kadar ini adalah menjadi kebiasaan ‘Umar dan sekumpulan para sahabat. Bekalan makanan mereka dalam seminggu adalah satu sa’ daripada barli (sha’ir).
Ketiga: Satu cupak. Dan sekiranya melebihi daripada kadar ini seseorang itu telah menyertai golongan kebiasaan dan menyimpang daripada jalan golongan Salikin yang bermusafir menuju kepada Allah. Dan kadang-kadang faktor yang memberi kesan kepada kadar pengambilan makanan adalah bergantung kepada perbezaan perihal dan individu.
Sehubungan itu, asas dalam pengambilan makanan ialah sekiranya seseorang itu benar-benar lapar maka hendaklah mengambilnya sebanyak 1 cupak serta menahan daripada mengambilnya setelah benar-benar berkeinginan untuk mengambilnya. Dan antara tanda lapar yang benar ialah apabila kamu berkeinginan untuk makan mana-mana jenis roti tanpa perlu kepada makanan sampingan. Sekiranya seseorang itu berasa berat untuk makan tanpa ada makanan sampingannya, maka ini adalah tanda kekenyangan.
Waktu juga mempunyai 3 tingkatan iaitu:
Tertinggi: Seseorang itu berlapar (berpuasa) selama 3 hari dan lebih. Sesungguhnya Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq berlapar (berpuasa) sehingga 6 hari. Dan Ibrahim bin Adham dan al-Thauri berlapar (berpuasa) selama 7 hari dan sebahagian daripada orang Salih berlapar (berpuasa) sehingga 40 hari.
Pertengahan: Seseorang itu berlapar (berpuasa) selama 2 hari.
Terendah: Seseorang itu hanya makan 1 kali dalam sehari. Barangsiapa yang makan sebanyak 2 kali maka seseorang itu tidak berada dalam keadaan 43 berlapar langsung dan dia telah meninggalkan kelebihan dalam berlapar.
Jenis makanan yang diambil tingkatan yang tertinggi ialah roti gandum beserta pencicahnya manakala tingkatan yang terendah ialah roti barli tanpa ada sebarang pencicahnya.
Perbuatan selalu makan roti bersama pencicahnya adalah sangat makruh. Berkata Umar kepada anaknya: “Sesekali makanlah roti bersama daging, sesekali roti bersama mentega, sesekali roti bersama susu, sesekali roti bersama garam dan sesekali roti tanpa sebarang cicahan.” Justeru, ini adalah peringatan yang terbaik kepada orang awam.
Manakala bagi golongan Salik yang mendekatkan diri kepada Allah, mereka berlebihan dalam meninggalkan makanan sampingan bersama roti bahkan berlebihan dalam meninggalkan tuntutan syahwat keseluruhannya sehinggakan sebahagian mereka berkeinginan untuk memenuhi syahwat selama 10 tahun dan 20 tahun namun mereka menyanggahi nafsunya dan menegah kehendak syahwatnya.
Sesungguhnya Nabi bersabda ertinya: “Sejahat-jahat umatku ialah orang yang makan dengan kurniaan nikmat lalu jasad mereka berkembang dengannya sedangkan semangat mereka hanyalah berlegar sekitar mendapatkan pelbagai makanan dan pakaian serta memekikkan suara ketika bercakap.”
Sesungguhnya kami telah menghuraikan jalan para Salaf dalam meninggalkan tuntutan syahwat di dalam kitab “Kasr al-Syahwatain” daripada kitab Ihya’ ‘Ulumuddin.
Sumber: Asas Penyucian Hati, Pejabat Mufti Negeri Selangor
Leave a comment