ASMAUL HUSNA – AL-TAUWAB (Yang Maha Menerima Taubat)

Asmaul Husna yang ke-80 ialah At-Tauwab yang bermaksud Tuhan amat suka menerima taubat hamba-Nya. Sebanyak mana sekalipun dosa yang dilakukan oleh seorang hamba, sekiranya mereka menyesali segala dosa yang dilakukan, dan bertaubat kepada-Nya nescaya Dia sentiasa menerima taubat itu.

Sifat Allah SWT yang Maha Menerima Taubat itu sememangnya sangat baik untuk dicontohi oleh manusia sebagai hamba-Nya. Kalau orang meminta maaf di atas kesalahan yang telah dilakukan kepada kita, maka permohonan maaf itu mestilah diterima dan dimaafkan segala kesalahannya.

Apabila Allah SWT bersifat Maha Penerima Taubat, maka manusia janganlah melepaskan peluang ini dengan melakukan taubat nasuha, iaitu taubat sebenar-benarnya yang memenuhi segala syaratnya. Pertama, menyesali atas dosanya yang telah dilakukan. Kedua, berjanji akan berusaha sedaya mungkin agar tidak mengulangi dosa. Ketiga, memperbaiki amalan atau menggantikan mana-mana ibadah yang pernah ditinggalkan sama ada secara sengaja atau tidak. 

Taubat Yang Diterima

Taubat adalah kewajiban yang semestinya dilaksanakan oleh setiap manusia. Sepanjang mengharungi kehidupan sebagai hamba yang lemah, kita pasti tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Justeru, mudah-mudahan dengan bertaubat segala dosa yang telah kita lakukan akan terhapus melalui pengampunan daripada Allah SWT. 

Adapun sesuatu taubat yang dipohon tidak terus diterima. Malah, sesuatu taubat, hendaklah memenuhi syarat-syarat taubat demi memastikan ia diterima Allah SWT.

Syarat-syarat taubat adalah;

  • Rasa penyesalan.
  • Meninggalkan maksiat dan dosa sama sekali. 
  • Bertekad dan berazam tidak akan mengulangi dosa yang pernah dilakukan.

Adapun jika dosa itu melibatkan manusia, hendaklah memohon maaf daripada orang yang terlibat. Dengan kata lain, ia tidak memadai sekadar meminta ampun daripada Allah SWT semata-mata. Ia perlulah mendapat kemaafan daripada orang yang telah kita berbuat dosa terhadapnya itu.

Firman Allah SWT:

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ وَأَصْلَحُوا۟ وَبَيَّنُوا۟ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ ۚ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ (١٦٠)

Maksud: “Kecuali mereka yang telah bertaubat dan mengadakan perbaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.”

(Surah al-Baqarah 2:160)

Gembira Taubat Diterima

Kaab bin Malik RA merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW yang pernah melakukan suatu kesilapan ketika berlaku peperangan Tabuk. Beliau terpedaya dengan provokasi munafiqin yang menyeru agar meninggalkan pasukan Rasulullah SAW untuk berjuang di medan Tabuk.

Kesalahan tersebut menyebabkan para sahabat memboikot Kaab. Selama 50 hari, para sahabat tidak bercakap dengan Kaab, menyebabkan Kaab merasa sangat menderita. Penderitaan itu menyebabkan Kaab amat menyesali tindakannya yang tidak bersama-sama Rasulullah SAW turun ke medan jihad. Beliau telah berdoa untuk memohon taubat dengan Allah SWT pada setiap siang dan malam.

Atas penyesalannya itu, genap 50 hari, Allah SWT telah menurunkan satu ayat dari surah At-Taubah berkenaan dengan penerimaan taubat beliau. Lantaran itu, ramai para sahabat bergegas menemui Kaab untuk memberitahu bahawa Allah SWT telah menerima taubatnya. Mendengar berita itu, gembiralah Kaab dan beliau terus menuju ke masjid untuk berjumpa Rasulullah SAW.

Kaab bercerita; “Ketika aku orang ramai keluar rumah, rumah, orang menyambutku dengan begitu meriah sekali. Mereka berkata bahawa Allah SWT telah menerima taubatku dan sesungguhnya aku mendapat kesejahteraan yang benar. Ketika aku ke masjid pula untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW, aku melihat wajah Nabi begitu berseri bagai purnama lantaran sukacita. Baginda berkata kepadaku, “Kemarilah kamu wahai Kaab, dan duduklah di sampingku.” Ketika aku duduk disamping Rasulullah SAW, baginda menyatakan satu ungkapan yang cukup menggembirakan hatiku, “Bergembiralah wahai Kaab, kerana ini merupakan satu khabar gembira bagi dirimu yang tidak pernah kamu dapat semenjak dilahirkan ibumu. Sesungguhnya Allah SWT sendiri bahawa taubatmu telah diterima.”

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑