أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌۭ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌۭ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ ءَاذَانٌۭ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَٱلْأَنْعَـٰمِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْغَـٰفِلُونَ (١٧٩)
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”.
(Surah al-A’raaf 7:179)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Bertakwalah kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Pada hari ini, saya akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Jangan Lalai”.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Takutlah kepada Allah SWT dan ketahuilah bahawa kita semua telah melalui dua alam yang fana dan nanti akan menuju pula ke alam yang kekal abadi. Kehidupan di dunia ini hakikatnya tiada satu pun yang bernilai di sisi Allah SWT. Ia hanyalah ibarat hiburan dan permainan. Allah SWT telah mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam Surah al-Ankabuut ayat 64:
وَمَا هَـٰذِهِ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا لَهْوٌۭ وَلَعِبٌۭ ۚ وَإِنَّ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ لَهِىَ ٱلْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ (٦٤)
Maksudnya: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)”.
(Surah al-Ankabuut 29:64)
Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian,
Ketahuilah bahawa bencana paling buruk yang mencengkam jiwa kita ialah lalai dari petunjuk-Nya, berpaling dari jalan yang benar dan terlalu menuruti hawa nafsu. Orang-orang yang lalai disifatkan dengan sifat yang sangat buruk. Allah SWT memberi ancaman yang keras kepada golongan yang lalai sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-A’raaf ayat 179 yang saya bacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud:
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌۭ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌۭ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ ءَاذَانٌۭ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَٱلْأَنْعَـٰمِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْغَـٰفِلُونَ (١٧٩)
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”.
(Surah al-A’raaf 7:179)
Lebih dahsyat lagi, mereka yang lalai ini disebut sebagai makhluk yang paling buruk dan kedudukan mereka lebih teruk dari binatang. Firman-Nya dalam Surah al-Anfal ayat 22 – 23:
إِنَّ شَرَّ ٱلدَّوَآبِّ عِندَ ٱللَّهِ ٱلصُّمُّ ٱلْبُكْمُ ٱلَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ(٢٢) وَلَوْ عَلِمَ ٱللَّهُ فِيهِمْ خَيْرًۭا لَّأَسْمَعَهُمْ ۖ وَلَوْ أَسْمَعَهُمْ لَتَوَلَّوا۟ وَّهُم مُّعْرِضُونَ(٢٣)
Maksudnya: “Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya). Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Dia menjadikan mereka dapat mendengar; dan kalau Allah menjadikan Khutbah Jumaat Jangan Lalai 3 mereka dapat mendengar juga (dengan keadaan yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan diri”. (Surah al-Anfal 8:22–23)
Lebih menakutkan apabila dengan kelalaian itu, Allah SWT mengunci mati segala pancaindera kita untuk menerima cahaya petunjuk. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Jaathiyah ayat 23:
أَفَرَءَيْتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍۢ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِۦ وَقَلْبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةًۭ فَمَن يَهْدِيهِ مِنۢ بَعْدِ ٱللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ(٢٣)
Maksudnya: “Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?”
(Surah al-Jaathiyah 45:23)
Saudaraku Yang Dikasihi,
Segala perhiasan dunia ini cukup mempesona lantas melalaikan dan memperdaya kita. Tidakkah kita mengambil pengajaran, dari kisah Namrud yang angkuh dengan kuasanya. Tidakkah kita insaf dengan kaum Nabi Lut yang dibinasakan kerana nafsu liar mereka.
Bagaimana pula dengan kisah-kisah kaum terdahulu, dan kemegahan-kemegahan yang dibina. Ketahuilah bahawa mereka semua telah binasa. Mereka telah merasakan sakaratul maut dan meninggalkan alam dunia ini.
Yang taat kepada Allah SWT, mendapat keselesaan di alam kubur, manakala yang ingkar kepada-Nya sedang menerima bahagiannya di alam kubur sementara menanti perbicaraan di akhirat nanti. Begitulah ketetapan Allah SWT sebagaimana disebut melalui firman-Nya dalam Surah ar-Rahman ayat 26-27:
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍۢ(٢٦) وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو ٱلْجَلَـٰلِ وَٱلْإِكْرَامِ(٢٧)
Maksudnya: “Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa: Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan”.
(Surah ar-Rahman 55: 26-27)
Maka, nikmat Allah yang mana satukah yang hendak kita dustakan?
Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian,
Ramai manusia yang tidak mengenal Allah SWT sesuai dengan Keagungan-Nya dan Kebesaran-Nya, justeru mereka bertindak sesuka hati. Seandainya mereka mengenal Allah SWT, nescaya mereka tidak akan ditimpa seksanya, kerana orang yang kenal Allah SWT ialah orang yang paling takut kepada-Nya. Rasa takut itu akan mencegahnya untuk bertindak melanggar perintah dan peringatan Allah SWT.
Orang yang kenal Allah SWT tidak akan berani menggerakkan lisannya dengan perkataan-perkatan yang kotor dan mungkar. Mereka tidak akan menggunakan anggota badannya dalam perkara-perkara yang haram, bahkan menahan pandangan, pendengaran dan tangan serta kakinya dari perkara-perkara yang dilarang, kerana dia cukup yakin bahawa Allah SWT Maha Melihat walaupun dia berada di tempat rahsia, tersembunyi dan berdinding rapat dan tebal.
Orang yang kenal Allah SWT tidak akan berlaku sombong, dengki, hasad, buruk sangka dan perbuatan buruk yang lain, kerana dia meyakini bahawa tidak ada yang tersembunyi dari pandangan Allah SWT. Dia Maha Mengetahui apa-apa yang tersembunyi di dalam dada manusia.
Orang yang kenal Allah SWT tidak akan berputus asa ketika ditimpa kesempitan kerana dia tahu bahawa keluasan itu datangnya dari Allah SWT dan firman Allah SWT menegaskan dalam Surah asy-Syarh ayat 5-6:
فَإِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا(٥) إِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًۭا(٦)
Maksudnya: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiaptiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiaptiap kesukaran disertai kemudahan”.
(Surah asy-Syarh 94: 5-6)
Orang yang kenal Allah SWT juga tidak akan pernah putus asa terhadap rahmat-Nya yang meliputi segala sesuatu.
Apabila dosa-dosa mereka menjulang tinggi, mereka bertaubat kerana dia meyakini bahawa Allah SWT Maha Mengampuni segala dosa. Orang yang kenal Allah SWT juga tidak akan lalai sedikit pun dari mengingati-Nya kerana dia tahu bahawa Allah SWT tidak lalai dengan semua makhluk-Nya.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin tinggalkan beberapa pesanan buat semua:
Pertama: Ketahuilah bahawa hakikat hidup di dunia hanya seperti hiburan dan permainan. Maka, janganlah mudah terpesona dam lalai dengan nikmat yang mempesona.
Kedua: Kisah kaum terdahulu merupakan pengajaran penting supaya kita tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.
Ketiga: Orang yang kenal Allah SWT, mereka akan selamat dari tutur kata dan tingkah lakunya kerana dia tahu bahawa Allah SWT tidak pernah lalai dari mengawasi dan melihat seluruh makhluk-Nya.
Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiyaa’ ayat 1 dan 2:
ٱقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِى غَفْلَةٍۢ مُّعْرِضُونَ(١) مَا يَأْتِيهِم مِّن ذِكْرٍۢ مِّن رَّبِّهِم مُّحْدَثٍ إِلَّا ٱسْتَمَعُوهُ وَهُمْ يَلْعَبُونَ(٢)
Maksudnya: “Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya. Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya”.
(Surah al-Anbiyaa’ 21: 1-2)
Tarikh Dibaca: 13 Jamadilawal 1446h / 15 November 2024
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment