7 Manfaat Membahagiakan Orang Lain dalam Islam

Membahagiakan orang lain adalah perbuatan baik yang sangat digalakkan dalam Islam. Selain daripada memenuhi tanggungjawab dan keperluan untuk diri sendiri dan keluarga, muslim juga perlu menjalankan tanggungjawab untuk membahagiakan orang-orang lain di sekeliling kehidupan kita. 

Allah SWT menyukai manusia yang memberikan kebahagiaan kepada orang lain atau menghilangkan penderitaan mereka. Membahagiakan orang lain tinggi nilainya dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ اِبْنِ عَبَّاسٍ رَضِىَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُمَا قَالَ : إِنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ إِنَّ اَحَبَّ الْاَعْمَالِ اِلَى اللهِ بَعْدَ الْفَرَائِضِ إِدْخَالُ السُّرُوْرِ عَلَى الْمُسْلِمِ.

Ertinya: “Sesungguhnya amal yang paling disukai Allah SWT setelah melaksanakan berbagai hal yang wajib adalah menggembirakan muslim yang lain.”

(HR Ibnu Abbas RA)

7 Manfaat Membahagiakan Orang Lain

1. Disukai oleh Allah SWT

Salah satu jalan untuk mencapai cinta dan reda Allah SWT ialah dengan membahagiakan orang lain. 

Sabda Rasulullah SAW yang bererti: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Ada pun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan dari orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk sebuah keperluan lebih aku cintai daripada beri’tikaf di masjid ini (Masjid Nabawi) selama sebulan penuh.”

(HR. Thabrani)

2. Diampuni Dosa

Dengan membahagiakan orang lain kita akan dikurniakan pahala yang besar dan diampuni dosa.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.”

(Riwayat Muslim)

3. Berumur Panjang

Dengan menjaga silaturrahim dan membuat orang lain bahagia, seseorang itu akan ditangguhkan kematiannya dan diberikan umur yang panjang.  Rasulullah SAW bersabda:

Ertinya: “Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah ia menyambung silaturrahim.”

(Sahih Al-Bukhari no. 2067)

4. Diberi Kemudahan Hidup

Apabila kita membahagiakan orang lain, Allah SWT akan memberikan kemudahan hidup serta pertolongan kepada orang yang sentiasa membantu mereka yang berada dalam kesulitan.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa memudahkan orang yang dalam kesulitan, ALLAH memudahkannya di dunia dan akhirat.”

(Riwayat Ibnu Majah)

5. Memperoleh Kebahagiaan Dunia dan Akhirat

Perbuatan baik yang menggembirakan dan memudahkan orang lain bukan sahaja membawa berkat di dunia, malah kita akan dikurniakan kebahagiaan di akhirat. 

6. Mendapatkan Pahala

Islam melarang kita menyusahkan orang lain lantas apabila kita membahagiakan orang lain, ini merupakan amalan terpuji yang diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT. 

7. Memberi Ketenangan

Melakukan sesuatu untuk membahagiaan kepada orang lain juga membantu dalam pengurusan kesihatan mental kerana dengan berbuat baik, kita memperoleh tenaga positif dan perbuatan itu akan memberikan ketenangan hati. 

Antara Cara Untuk Membahagiakan Orang Lain

  • Mengucapkan kata-kata yang baik seperti terima kasih tatkala menerima pertolongan atau bantuan dari orang lain. 
  • Tidak bersikap sombong dan sentiasa menunjukkan muka yang manis kepada orang lain.
  • Berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang baik setiap masa.
  • Mengawal perasaan apabila berinteraksi dengan semua orang.
  • Bersimpati dan berempati apabila mendengar berita yang buruk menimpa seseorang. 
  • Memberikan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan walaupun ianya perbuatan yang kecil. 
  • Meluangkan masa dengan keluarga dan sahabat dan menumpukan perhatian kepada mereka. 
  • Tidak merendah-rendahkan sesiapa atau membuat orang lain terasa hati dengan perkataan dan perbuatan kita. 

Membahagiakan orang lain tidak terhad kepada memberi bantuan kewangan atau memberi makanan, pelbagai cara lain yang boleh kita lakukan untuk membahagiakan orang-orang di sekeliling kita. Sesungguhnya hidup di dunia ini bermasyarakat dan cara yang paling baik untuk hidup bermasyarakat ialah dengan berbuat baik dan membahagiakan orang lain.  

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑