Asmaul Husna yang ke-81 ialah Al-Muntaqim yang bermaksud Tuhan yang Memurkai atau Tuhan yang Menuntut Balasan. Dengan maksud manusia yang melakukan perkara yang bercanggah dengan peraturan Allah SWT, iaitu perkara keji dan batil. Walaupun dalam tempoh berada di dunia Tuhan tidak mengenakan sebarang hukuman, tetapi pada hakikatnya perbuatannya itu tetap akan dibalas oleh Allah SWT. Kerana di antara sifat Allah SWT ialah Al-Muntaqim iaitu yang Murka atau yang Menuntut Balas.
Inilah suatu sifat yang memberi ingatan kepada manusia bahawa Allah SWT tidak akan membiarkan kejahatan tanpa balasan. Kecuali apabila mereka bertaubat nasuha dan diterima oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, sebelum mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji atau mungkar, manusia sebagai hamba Allah SWT perlu merenung dan berfikir berulang-ulang kali.
Jangan mengambil contoh orang- orang fasik atau kafir yang hidup mewah di dunia ini, sedangkan mereka tidak mematuhi agama Allah SWT. Jika di dunia mereka tidak menerima sebarang balasan daripada Allah SWT, namun Dia tetap bersifat Al-Muntaqim yang murka dan akan mendatangkan balasan.
Sifat murka Allah SWT itu boleh dicontohi oleh manusia. Tidak salah manusia bersifat marah tetapi biarlah tepat pada sasarannya. Sasaran kemarahan manusia hanyalah kepada hawa nafsu yang buruk, terletak dalam diri dan syaitan yang berada di luar sana yang sentiasa memusuhi manusia.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a comment