أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ(١١٠)
Maksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasiq”.
(Surah Ali Imran 3:110)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Bertakwalah kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Tumpukan perhatian dan janganlah melakukan perkara lagha seperti berbual dan bermain telefon bimbit.
Pada hari ini, saya akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “Negara Diberkati, Nikmat Disyukuri”.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Negara yang sejahtera merupakan dambaan bagi setiap warga. Kita beruntung kerana negara ini telah merdeka dan kita mampu menguruskan pentadbiran negara dengan sendiri tanpa dijajah atau berada dalam cengkaman kuasa asing. Maka tanggungjawab kita pada hari ini ialah berusaha untuk mengekalkan dan mempertahankan kestabilan dan kedaulatan negara serta berusaha membina ketamadunan masyarakat yang mulia dan dihormati.
Pembinaan ketamadunan masyarakat sangat memerlukan kepada sokongan struktur masyarakat yang kukuh dan berdaya saing. Ia memerlukan kepada kesediaan modal insan, pengukuhan institusi, organisasi swasta dan kerajaan yang berkualiti serta berdaya saing.
Paling utama ialah memantapkan pegangan masyarakat terhadap amalan hidup beragama yang menekankan nilai moral yang sangat tinggi seperti beriman kepada Allah SWT, melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.
Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 110 yang saya bacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud:
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasiq”.
(Surah Ali Imran 3:110)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Kestabilan dan kemakmuran yang dicapai dalam negara hari ini merupakan anugerah yang tidak terhingga dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Maka tidak dapat tidak, seharusnya kita bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat dan anugerah kurniaanNya ini. Dengan bersyukur, Allah SWT menjamin untuk menambah lagi nikmat-Nya manakala bagi yang kufur, Allah SWT memberi peringatan dan ancaman azab seksa-Nya yang keras.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ(٧)
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
(Surah Ibrahim 14:7)
Erti bersyukur ialah dengan kita terus patuh kepada semua perintah-Nya dan kita tinggalkan segala perkara yang ditegah oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Kita manfaatkan segala nikmat pemberian-Nya ini kepada jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya. Kita manfaatkan nikmat-nikmat yang diterima dengan berbakti kepada orang lain.
Rasulullah SAW bersabda melalui hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah radhiyallahu anhu yang maksudnya:
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat untuk orang lain”.
(Hadis riwayat Ibnu Hibban, at-Tabrani)
Selain itu juga, penglibatan seluruh masyarakat, sektor kerajaan dan swasta, memainkan peranan yang sangat penting dalam berkongsi serta memetakan kejayaan dan kestabilan negara. Perbezaan-perbezaan yang terdapat dalam masyarakat di negara ini bukanlah suatu halangan yang perlu diperbesarkan, sebaliknya ia kekuatan dan titik keseimbangan yang menjadi penguat antara satu sama lain.
Allah SWT menekankan tentang penciptaan manusia untuk saling berkenal-kenal antara satu sama lain, sebagaimana difirmankan dalam Surah al-Hujurat ayat 13:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ(١٣)
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
(Surah al-Hujurat 49:13)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Alhamdulillah, dalam masa dua tahun ini, Kerajaan telah memulakan langkah mewajibkan pelajar Muslim dari pelbagai aliran untuk memahami Hadis 40 (Matan Arbain), mengangkat kedudukan pelajar institusi tahfiz dengan TVET, menggalakan percambahan ilmu melalui dialog bermutu tinggi seperti Majlis Ilmu Madani – Forum Ilmuwan Madani, mencetak buku-buku terpilih untuk bacaan umat seperti Kitab Adabul Ikhtilaf Fil Islam dan melakukan Reformasi Sistem Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia.
Bersempena genap dua tahun Kerajaan Perpaduan kali ini, kerajaan telah menganjurkan Majlis Khatam Hadis Sahih al-Bukhari. Ia merupakan tanda kesyukuran dan refleksi kepada keinginan Kerajaan Madani bermuhasabah, mendengar pandangan serta nasihat dan seterusnya melangkah lebih berani menghadapi cabaran dan peluang pada masa hadapan.
Dalam menuju cita-cita negara MADANI ia tidak lepas daripada ikhtiar mencerdaskan umat khususnya dalam konteks model negara bangsa Madinah. Cita-cita negara yang MADANI tidak lepas dari mengambil ibrah dan model Piagam Madinah yang dipelopori oleh Baginda Rasullah SAW berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan bertiangkan keadilan dan ihsan. Kerajaan dengan penuh rasa tawaduk dan sedar bahawa kami bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna tetapi akan memberi segala upaya dan kudrat yang ada bagi mengangkat martabat negara dan umat.
Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 88:
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا ٱلْإِصْلَـٰحَ مَا ٱسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِىٓ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ (٨٨)
Maksud: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali”.
(Surah Hud, 11:88)
Sesungguhnya, peranan sebagai kerajaan dan pemimpin bukanlah satu kelebihan atau kemuliaan, tetapi adalah tanggungjawab (taklif wala tasrif) yang harus dipegang kuat dengan amanah dan kejujuran. Dukungan dan doa serta pandangan balas rakyat dalam meningkatkan lagi kemampuan pemerintah amat dialu-alukan demi kemaslahatan bersama.
Ada sebuah hadis yang menceritakan tentang beratnya amanah kepimpinan yang maksudnya:
Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah engkau mahu melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti merupakan kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya”.
(Hadis riwayat Imam Muslim)
Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, saya tinggalkan beberapa intipati penting:
Pertama: Allah SWT melimpahkan berkat dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, patuh dan taat serta melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.
Kedua: Konsep bersyukur ialah dengan kita memanfaatkan segala nikmat kurniaan-Nya kepada perkara-perkara yang memberi manfaat bukan hanya kepada diri sendiri malah kepada masyarakat seluruhnya.
Ketiga: Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu terdapat banyak contoh teladan yang boleh dituruti dalam segenap aspek kehidupan manusia dan panduan dalam pembinaan negara yang Madani dan berdaya saing. Allah SWT memberi peringatan dalam Surah Al-Hajj ayat 41:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ (٤١)
Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.
(Surah Al-Hajj 11:41)
Tarikh Dibaca: 20 Jamadilawal 1446H / 22 November 2024
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment