أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَٱتَّقُوا۟ يَوْمًۭا لَّا تَجْزِى نَفْسٌ عَن نَّفْسٍۢ شَيْـًۭٔا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا شَفَـٰعَةٌۭ وَلَا يُؤْخَذُ مِنْهَا عَدْلٌۭ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ (٤٨)
Maksudnya: “Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (daripada balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka tidak akan diberi sebarang pertolongan”.
(Surah Al-Baqarah 2:48)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua.
Mimbar Jumaat hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Meraih Syafaat, Menagih Selamat di Akhirat”.
Kaum Muslimin yang Berbahagia,
Kita beriman bahawa hidup di dunia ini ialah persinggahan sementara sebelum kita menuju kehidupan abadi di akhirat nanti. Maka pastinya, segala perlakuan dan tindak-tanduk kita semasa di dunia ini akan menjadi penentu kepada kehidupan di akhirat kelak, sama ada berbahagia di syurga-Nya yang penuh kenikmatan atau menderita di neraka yang sarat dengan azab dan kesengsaraan. Tiada sesiapa dapat membantu insan lain dan menebus kesalahannya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 48 yang dibacakan pada awal khutbah tadi, bermaksud:
“Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (daripada balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka tidak akan diberi sebarang pertolongan”.
(Surah Al-Baqarah 2:48)
Hamba-Hamba Allah yang dikasihi,
Umat Islam yang berfahaman Ahli Sunnah wal Jamaah mengimani tentang adanya syafaat di hari akhirat. Para ulama telah membahaskannya dengan panjang lebar bagi memberikan penjelasan yang tepat tentang perkara ini, di samping menolak fahaman yang salah dan keterlaluan dalam membicarakannya. Malah, di dalam al-Quran juga dinyatakan bahawa kaum musyrikin juga beranggapan bahawa patung-patung berhala sembahan mereka akan memberi bantuan kepada mereka. Pastinya itu tidak akan berlaku, namun begitulah keyakinan manusia terhadap keperluan meraih kesejahteraan dengan bantuan syafaat.
Sesungguhnya syafaat hanya dapat diberikan dengan izin dan perkenan Allah SWT jua. Dengan perkenan dan rahmat Allah, umat Muhammad SAW dianugerahkan peruntukan bantuan bernama syafaat melalui baginda Rasulullah SAW. Renungi hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Setiap nabi diperuntukkan satu doa yang mustajab, dia boleh berdoa apa jua dengannya. Namun aku mahu menyimpan doaku itu sebagai syafaat untuk umatku di akhirat.”
Lihatlah bagaimana besarnya kasih dan ingatan baginda SAW kepada umat. Baginda menyimpan peruntukan doa makbul yang dikhaskan buat baginda, lalu dikongsikan sebagai syafaat untuk kita semua, umat baginda di akhirat. Yang tinggal menjadi tanda tanya cuma, apakah kita bakal layak dan diterima sebagai umat baginda untuk meraih syafaat di akhirat?
Para Tetamu Allah yang Diberkati,
Lalu bagaimanakah caranya untuk kita melayakkan diri untuk mendapat syafaat di akhirat nanti? Beberapa langkah yang perlu kita usahakan untuk meraihnya, antaranya;
Pertama: Kekal mentauhidkan Allah dan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya serta menuruti perintah Rasulullah SAW. Syafaat adalah peruntukan khusus buat orang-orang yang beriman dan mati dalam pegangan akidah yang benar. Hakikat ini dijelaskan di dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah radiallahuanhu. Beliau bertanya: “Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang paling bahagia dengan syafaatmu pada hari Kiamat?”
Rasulullah menjawab yang maksudnya: “Orang yang paling bahagia dengan syafaatku di hari Kiamat ialah orang yang mengucapkan ‘Laa ilaahaa illallaah’ dengan ikhlas daripada hatinya atau jiwanya.”
Kedua: Perbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Dengan selawat kita menyebut nama kekasih Allah SWT. Ia mengingatkan kita kepada baginda dan memupuk rasa kasih dan cinta kepada baginda. Lalu dengannya kita mentaati dan meneladani sunnah baginda. Ini semua mengundang rahmat dan kasih Allah di dalam hidup kita. Dengan rahmat Allah SWT juga kita dipermudahkan untuk melazimi kebaikan dan ketaatan. Inilah yang akan membantu kita untuk menjadi umat yang layak meraih syafaat baginda di akhirat.
Ketiga: Amalkan bacaan doa selepas azan. Doa memohon agar Rasulullah dikurniakan darjat dan kelebihan lalu baginda menjanjikan syafaat buat kita semua umat baginda. Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis daripada Jabir bin Abdillah radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang berdoa ketika mendengar azan ‘Ya Allah! Tuhan pemilik seruan yang sempurna ini dan solat yang didirikan. Berilahal-wasilah (darjat di syurga) dan keutamaan kepada Muhammad SAW dan bangkitkan baginda di kedudukan terpuji yang engkau janjikan,’ maka dia berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat”.
Subhanallah, semua yang dinyatakan tadi tidaklah seberat dan sesukar mana pun untuk kita lakukan. Namun ramai dari kalangan kita yang sengaja mengabaikannya dan gagal melakukannya. Meskipun mudah dan cuma sebentar, amalan berselawat dan berdoa selepas azan ini pun ramai yang masih tidak mengendahkannya. Lakukan amalan-amalan yang mudah namun amat indah ini. Amatlah rugi sesiapa yang meninggalkannya.
Lakukan dengan sepenuh rasa kasih kepada Allah dan Rasul-Nya dan mengharapkan keredhaan dan rahmat Allah SWT jua. Mudah-mudahan kita semua termasuk dalam kalangan orang yang mendapat syafaat di akhirat kelak.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi,
Di samping syafaat Rasulullah SAW di akhirat, kita ditawarkan juga dengan bantuan syafaat al-Quran dan amalan berpuasa. Justeru, banyakkan membaca al-Quran dan berpuasa sunat bagi meraih kedua-dua syafaat ini. Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada hamba Allah di hari kiamat. Puasa berkata: ‘Wahai Tuhan, Aku telah menahannya daripada makan dan nafsu syahwat pada waktu siang, maka perkenankan aku untuk beri syafaat kepadanya.’ Manakala al-Quran berkata: “Aku telah menghalangnya daripada tidur pada waktu malam, maka perkenankan aku untuk memberi syafaat kepadanya.’ Maka keduanya pun (diizinkan untuk) memberi syafaat.”
Begitulah peruntukan syafaat buat kita Umat Muhammad SAW. Kita semua mampu menagih syafaat dan meraih jalan selamat dengan kesempatan hidup yang sedang kita lalui sehingga kini. Namun, hanya mereka yang menghargai peluang dan menyedari kegawatan di akhirat sahaja yang akan bersungguh-sungguh mengusahakannya. Semoga Allah SWT membantu kita untuk sentiasa mengambil peringatan dan berwaspada dengan anugerah kehidupan di dunia yang merupakan medan ujian buat kita semua.
Mengakhiri khutbah, ada beberapa saranan yang saya ingin nyatakan sebagai pedoman buat kita semua;
Pertama: Lazimi kehidupan di dunia ini di atas landasan akidah yang benar dan sentiasa mematuhi ketetapan syarak menjadi sumber keredhaan dan bantuan syafaat di hari akhirat.
Kedua: Berdampinglah dengan kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW dengan banyak berselawat dan berdoa untuk baginda. Semoga kita layak meraih janji syafaat Rasulullah SAW.
Ketiga: Al-Quran dan amalan berpuasa juga menjanjikan syafaat buat umat Muhammad SAW. Burulah peluang untuk mendapat kelayakan meraih syafaat dua amalan hebat ini.
Renungkanlah firman Allah SWT di dalam Surah Az-Zumar ayat 43 – 44:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
أَمِ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ شُفَعَآءَ ۚ قُلْ أَوَلَوْ كَانُوا۟ لَا يَمْلِكُونَ شَيْـًۭٔا وَلَا يَعْقِلُونَ(٤٣) قُل لِّلَّهِ ٱلشَّفَـٰعَةُ جَمِيعًۭا ۖ لَّهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ(٤٤)
Maksudnya: “Patutkah mereka (yang musyrik) mengambil selain daripada Allah menjadi pemberi syafaat? Tanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang selain Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak mengerti (sesuatu apa pun)? Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepada-Nya (untuk menerima balasan).”
(Surah Az-Zumar 39:43-44)
Tarikh Bacaan: 20 Jamadilawal 1446H/22 November 2024M
Disediakan Oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment