Tips Elak Rasa Diri Lebih Baik Daripada Orang Lain 

Terkadang apabila kita melakukan pelbagai jenis amalan sama ada diketahui oleh orang lain atau tersembunyi, hati kecil kita seakan diulit bangga dan mula merasakan diri kita ini lebih wara’, lebih alim dan lebih baik berbanding orang lain. Bagaimanakah caranya untuk menghindari perasaan ini agar ianya tidak merebak dan berpotensi untuk merosakkan amalan kita? 

Akar kepada sifat rendah diri adalah berasal dari taqwa. Sy. Abdullah Ibn Umar RA berkata: 

التَّقْوَى أَنْ لَا تَرَى نَفْسَكَ خَيْرًا مِنْ أَحَدٍ 

“Taqwa itu (antara cirinya) adalah kamu tidak melihat dirimu lebih baik dari sesiapa” 

[Tafsir al-Baghawi 1/60] 

Ikhlaskan Niat kepada Allah SWT

Bukan untuk mendapatkan pujian atau perhatian manusia, justeru sebanyak mana jua amalan soleh kita, kita hanya tumpukan kepada redha Allah

Banyakkan Menuntut Ilmu

Dengan banyak mencari ilmu, kita akan temui sudut-sudut yang masih berkurangan dalam amal kita. Ini akan menjauhkan kita daripada merasakan bahawa kita ini terbaik.

Banyakkan Duduk dengan Orang Berilmu atau Orang Soleh

Kerana mereka akan membuka mata kita bahawa kita bukanlah yang terbaik dalam dunia, kita masih punya kekurangan. Kata Imam Abu al-Layth al-Samarqandi:

وَمَنْ جَلَسَ مَعَ الصَّالِحِينَ، زَادَهُ اللَّهُ الرَّغْبَةَ فِي الطَّاعَاتِ وَاجْتِنَابَ الْمَحَارِمَ، وَمَنْ جَلَسَ مَعَ الْعُلَمَاءِ، زَادَهُ اللَّهُ الْعِلْمَ وَالْوَرَعَ

“Barangsiapa yang duduk bersama dengan orang soleh, nescaya Allah akan menambahkan rasa semangat dalam ketaatan dan menjauhi perkara haram. Barangsiapa yang duduk bersama ulama’ Allah akan menambahkan ilmu dan sifat wara’” 

[Tanbih al-Ghafilin 1/442] 

Wallahu a’lam

Rujukan: Muhammad Zulhusni bin Mohd Zaki (Muzuza) @Muzuzxck

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑