Hukum Memacak Payung Di Atas Kubur

Soalan

Kadang-kadang saya membantu penduduk kampung dalam pengurusan jenazah. Masalahnya selepas jenazah ditanam sebahagian masyarakat di sini memacak payung kecil di atas kubur. Kata mereka perbuatan ini merupakan adat bertujuan untuk menghalau anjing atau binatang untuk tidak mengorek kubur tersebut. Adakah dibenarkan perlakuan ini? 

Huraian Jawapan

Adat dan budaya sesetengah masyarakat di Malaysia dalam pengurusan jenazah terdapat beberapa amalan yang masih dipraktikkan secara turun-temurun seperti menabur bunga, meletakkan payung di atas pusara, mengadakan tahlil dan seumpamanya. Bagi sebahagian masyarakat Bajau di Sabah, memasang kelambu atau payung di atas pusara merupakan kepercayaan dan adat yang masih lagi diamalkan. Menurut kepercayaan mereka, amalan tersebut bertujuan untuk menghindari daripada gangguan binatang buas seperti anjing dan babi serta sebagai tanda pusara baru dikebumikan dan pemudah cara untuk mereka yang ingin menziarahinya. 

Secara asasnya, menurut mazhab al-Syafi’i hukum membina kubur sama ada di dalam atau luar dengan menggunakan bahan yang menyerap bahang panas seperti batu kapur dan seumpamanya adalah makruh. Namun sekiranya binaan tersebut berlebih-lebihan dan terdapat unsur-unsur pembaziran, maka ia adalah haram. 

Terdapat sebahagian ulama mazhab al-Syafi’i mengecualikan hukum ini kepada kubur para Nabi, orang yang mati syahid, orang salih dan seumpamanya. Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang pembinaan kubur dengan batu kapur.”

Riwayat Muslim (970)

Meletak payung, khemah atau bumbung di atas pusara merupakan perkara yang makruh menurut mazhab al-Syafi’i sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. Perkara ini berdasarkan larangan meletakkan payung di atas kubur, kubah, bumbung dan seumpamanya oleh Saidina Umar RA, bahkan beliau juga mengarahkan supaya memindahkannya. Hal ini kerana teduhan payung dan seumpamanya tidak dapat memberi apa-apa faedah ke atas si mati di dalam kubur, melainkan amalannya sendiri yang akan menyelamatkannya.

Menurut Imam al-Syarwani, hukum makruh meletakkan payung atau bumbung di atas pusara dengan tujuan yang tidak betul. Walaupun begitu, sekiranya payung atau teduhan tersebut digunakan dengan tujuan yang betul seperti teduhan untuk orang ramai dari terik matahari maka ia diharuskan. Al-Khatib al-Syirbini berpendapat perkara tersebut merupakan bida’ah yang telah diada-adakan oleh manusia. 

Dalam hal ini, mempercayai bahawa dengan meletakkan payung di atas pusara dapat meneduhkan jenazah di dalamnya boleh dikategorikan sebagai satu kepercayaan yang khurafat. Khurafat adalah kepercayaan yang karut, dongeng dan tahyul. Menurut Ibn Manzur khurafat ialah:   

والخُرافةُ: الحديثُ المُسْتَمْلَحُ مِنَ الكذِبِ

Maksudnya: “Khufarat ialah kisah-kisah menarik yang disulami dengan perkara-perkara dusta”.

Kesimpulan

i. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa, hukum meletak payung di atas pusara dengan hanya mengikut adat semata-mata adalah makruh dan perbuatan tersebut termasuk dalam perkara yang bidaah dan sia-sia.

ii. Manakala  mempercayai dengan perbuatan tersebut akan dapat memayungi jenazah di dalam pusara adalah salah satu bentuk khurafat.

Wallahua’lam

 Sumber: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑