Teks Khutbah Jumaat (Jakim): Tuntutlah Ilmu, Syurga Menunggu 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ(١) خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ(٢) ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ(٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ(٤) عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ(٥)

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, – Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, – Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

(Surah Al-Alaq 96:1-5)

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua. 

Pada hari ini, saya akan menyampaikan khutbah bertajuk: “Tuntutlah Ilmu, Syurga Menunggu”. 

Sebelum itu juga, saya ingin menyeru kepada semua untuk terus mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada penduduk Palestin yang masih lagi ditindas oleh rejim zionis Israel laknatullahi ‘alaihim. Sesungguhnya hanya Allah SWT jua yang Maha Berkuasa memberi pertolongan kepada mereka. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Ketahuilah! Menuntut ilmu merupakan satu usaha yang sangat mulia. Seseorang yang berusaha dan bersungguh-sungguh menuntut ilmu akan mendapat kedudukan yang istimewa di sisi Allah Azza wa Jalla. Dalam Islam, menuntut ilmu bukanlah sekadar untuk meraih kejayaan di dunia, tetapi ia juga usaha untuk menggapai kejayaan di akhirat dan kebahagiaan di syurga. Seorang tabi’ tabi’in yang bernama Sufiyan al-Thauri pernah berkata: 

“Barangsiapa yang ingin berjaya di dunia, maka hendaklah dia memiliki ilmu, barangsiapa yang ingin berjaya di akhirat, maka hendaklah dia memiliki ilmu, dan barangsiapa yang ingin berjaya di dunia dan akhirat, maka hendaklah dia memiliki ilmu”. 

Sesungguhnya, ilmu yang dimiliki mampu mendorong kita untuk melakukan ketaatan kepada Allah, serta mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan. Dengan ilmu, peribadi dan akhlak kita akan terpancar dengan kemuliaan, membentuk kita menjadi seorang yang sabar, jujur, bersifat terpuji dan penuh amanah. Ilmu mampu menjauhkan diri kita daripada segala bentuk maksiat dan dosa, serta membezakan antara yang hak dan yang batil, yang halal dan yang haram. 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Sesungguhnya kita akan mendapat banyak kebaikan dengan menuntut ilmu. Ada beberapa kelebihan menuntut ilmu dari ayat al-Quran, hadis Rasulullah SAW, dan kalam sahabat Rasulullah yang boleh direnungi bersama: 

Pertama: Tuntutlah ilmu, kerana sesungguhnya Allah akan meninggikan darjat seseorang di dunia dan akhirat kerananya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Mujadalah ayat 11: 

يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍۢ ۚ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat”. 

(Surah al-Mujadalah 53:11)

Kedua: Tuntutlah ilmu, kerana sesungguhnya Allah akan memudahkan jalan kita ke syurga kerananya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga”.

(Hadis Riwayat Imam Muslim) 

Ketiga: Tuntutlah ilmu, kerana sesungguhnya Allah memuliakan penuntut ilmu dengan memerintahkan para malaikat-Nya untuk membentangkan sayap sebagai tanda redha kepada penuntut ilmu. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Sesungguhnya malaikat meletakkan sayapnya sebagai tanda redha kepada penuntut ilmu”.

(Hadis Riwayat Ibnu Majah) 

Keempat: Tuntutlah ilmu, kerana sesungguhnya Allah akan menambahkan kebaikan kepada orang yang menuntut ilmu. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka Allah akan memberinya kefahaman dalam agama”.

(Hadis Riwayat Imam Muslim) 

Kelima: Tuntutlah ilmu, kerana sesungguhnya ilmu lebih baik dari harta. Saidina Ali radhiyallahu anhu pernah berkata:

“Ilmu lebih baik daripada harta, kerana ilmu mampu menjaga dirimu, sedangkan kamu yang menjaga harta, dan ilmu akan bertambah apabila disebarkan, sedangkan harta akan berkurangan apabila dibelanjakan”. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Perkembangan dunia yang pesat hari ini menuntut kita untuk menceburkan diri dalam ilmu-ilmu baharu. Ia tidak hanya memperkaya pengetahuan tetapi juga meningkatkan daya saing, mempersiapkan kita untuk menghadapi cabaran masa depan juga sebagai pemeliharaan keselamatan diri. Pentingnya kita untuk mempelajari ilmu baharu seperti   kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan sebagainya kerana ia dapat membuka peluang pekerjaan dan inovasi bagi memudahkan urusan kehidupan kita. 

Selain itu juga, dengan menguasai ilmu-ilmu baharu, ia akan meningkatkan daya saing individu di peringkat global dan seterusnya membolehkan kita bersaing di pasaran kerja yang semakin kompetitif dan dinamik. 

Ilmu-ilmu baharu turut membantu kita untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling. Adaptasi yang baik ialah kunci kejayaan dalam menghadapi perubahan dan perkembangan. 

Maka, perlunya untuk kita terus mencari peluang-pelang latihan dengan mengambil kursus, menghadiri bengkel, dan melibatkan diri dalam program latihan yang tersedia. Banyakkan membaca buku, jurnal, dan artikel terkini dalam bidang yang diminati. Penyelidikan juga penting untuk memahami perkembangan dan inovasi terkini. Selain itu, kita juga boleh menyertai komuniti atau forum dalam talian yang berkaitan dengan bidang yang diminati. Ambil peluang berinteraksi dengan individu yang berpengalaman dan berkongsi pengetahuan bagi mempercepatkan proses pembelajaran. 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Ketahuilah, pintu-pintu untuk menuntut ilmu sentiasa terbuka luas di hadapan kita! Masjid dan surau sekeliling kita tidak pernah jemu menganjurkan majlis ilmu setiap hari. Sekolah, universiti, politeknik dan kolej komuniti iaitu Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta juga menawarkan pelbagai program pengajian sepanjang hayat, dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tertinggi, termasuklah dalam bidang pengajian agama. Malah, majlis-majlis ilmu kini boleh didapati dengan mudah melalui media cetak, media elektronik, media sosial dan pelbagai kemudahan lain. 

Maka manfaatkanlah segala peluang yang ada! Rebutlah ilmu yang tersedia di mana-mana. Usahlah biarkan diri kita tenggelam dalam kejahilan, kerana ilmu adalah cahaya yang membimbing kita ke jalan yang diredhai Allah. Pastikan juga anak-anak generasi hari ini tidak tercicir dalam pelajaran terutamanya di peringkat awal persekolahan.

Ingatlah, tiada istilah terlewat untuk kita menimba ilmu. Tidak kiralah berapa usia kita, berapa banyak uban yang sudah tumbuh di kepala, berapa banyak garisan halus dan  kedutan pada wajah kita, sekalipun mata dan telinga tidak lagi jelas sewaktu usia muda, tidak ada alasan untuk kita berhenti mencari ilmu. Tiada tarikh luput dalam menuntut ilmu. 

Justeru, dalam usaha melahirkan rakyat yang menghargai ilmu dan berkongsi idea, Kementerian Pendidikan Tinggi sedang menganjurkan Festival Idea Putrajaya pada 1 November sehingga 1 Disember 2024. Festival ini akan memperkenalkan kearifan dan kepakaran tempatan termasuk melalui program perkongsian keilmuan, persidangan dan pameran inovasi terkini bagi mengatasi cabaran dan isu semasa ke arah kemampanan Malaysia MADANI. 

Oleh itu, marilah bersama-sama kita merebut peluang yang ada untuk menyertai program-program pendidikan yang dianjurkan kerana ini merupakan peluang yang sangat berharga untuk kita memperkayakan diri dengan ilmu dalam pelbagai bidang, berinteraksi dengan para cendekiawan, pakar-pakar dalam pelbagai bidang, melihat hasil produk kajian-kajian terkini, serta berkongsi idea dalam bersama-sama membangunkan negara. Semoga ia menjadi sumber inspirasi dan motivasi untuk terus giat berusaha mencari ilmu dan menambahkan pengetahuan. 

Mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin merumuskan beberapa kesimpulan: 

Pertama: Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan ke atas kita semua tanpa mengira usia. Tuntutlah ilmu yang bermanfaat di mana-mana sahaja kita berada, khususnya di masjid, surau dan institusi pendidikan yang berhampiran dengan kita. 

Kedua: Didiklah diri kita dengan budaya ilmu supaya dapat dijadikan sebagai contoh teladan yang baik kepada anak-anak kita. 

Ketiga: Allah SWT meninggikan darjat kedudukan orang-orang yang berilmu dan Allah SWT mempermudahkan jalan para penuntut ilmu menuju ke syurga. Renungkan firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadalah ayat 11: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَـٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍۢ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ(١١) 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan”.

(Surah al-Mujadalah 53:11)

Tarikh Dibaca: 27 Jamadilawal 1446h / 29 November 2024 
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑