أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَأَنَّ ٱلْمَسَـٰجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا۟ مَعَ ٱللَّهِ أَحَدًۭا(١٨)
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (beribadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah bersama-sama Allah sesuatu apa pun.”
(Surah Al-Jinn 72:18)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT. Laksanakan segala perintah Allah dan tinggalkan segala yang ditegah. Yakinlah bahawa hanya dengan taqwa kita akan beroleh petunjuk dan bantuan di waktu senang dan susah. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah tidur atau leka dengan perkara-perkara menghilangkan ganjaran pahala solat Jumaat kita hari ini. Mudah-mudahan ruang zikrullah yang kita hargai ini akan memberi keberkatan dalam kehidupan kita.
Hari ini mimbar Jumaat akan membicarakan khutbah bertajuk: “Tuntutan Mengimarah Rumah Allah”.
Kaum Muslimin yang Berbahagia,
Bersama kesyukuran di atas anugerah iman dan Islam yang dikurniakan, kita sewajarnya membuktikan syukur dengan sentiasa melazimi ketaatan dan kebaikan. Itulah tanda kesyukuran yang sebenar. Indahnya agama ini kerana kita dipandu dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW untuk mengatur kehidupan sebagai insan beriman. Antara usaha pertama yang baginda lakukan setelah bebas daripada kongkongan kafir Quraisy dengan berhijah ke Madinah ialah membangun masjid, rumah Allah. Sungguh, masjid adalah syiar umat Islam yang perlu dibangunkan di setiap penempatan komuniti umat Islam. Di situlah mereka bertemu, bersatu dan berjemaah mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT, yang tiada bagi-Nya sekutu. Inilah matlamat pembinaan masjid yang jelas dinyatakan di dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Jinn ayat 18 yang dibacakan sebagai mukaddimah khutbah, bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (beribadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah bersama-sama Allah sesuatu apa pun.”
Hamba-Hamba Allah yang dikasihi,
Masjid memang sewajarnya dibina dengan seni bina yang hebat dan indah. Biar syiar Islam dipandang tinggi dan mulia. Alhamdulillah, masjid-masjid di negara kita dan di Wilayah Persekutuan secara umumnya memenuhi tuntutan ini. Namun, sedarkah kita betapa di sana ada nilai yang lebih besar dan matlamat yang lebih penting untuk kita bangunkan bersama masjid yang telah terbina indah? Ya, tuntutan mengimarahkan masjid sebagai rumah Allah. Inilah hak rumah Allah yang perlu kita jayakan bersama. Agar segala hikmah daripada tuntutan ini dapat kita raih bersama. Berikut beberapa langkah pengimarahan masjid yang perlu kita jayakan:
Pertama: Menghadiri Solat Berjemaah
Marilah kita hadir memenuhkan saf-saf solat di masjid yang masih kosong yang setia menanti kita. Di sini, kita dapat berdiri bersama dalam satu saf tanpa perbezaan tahap dan darjat, hanya dengan niat membesarkan Allah dan mempertaut muafakat sebagai umat Muhammad. Berdiri, rukuk dan sujud bersama untuk merealisasikan perintah Allah SWT untuk mendirikan
solat berjemaah. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 43:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرْكَعُوا۟ مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ (٤٣)
Maksudnya: “Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (solat berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
(Surah Al-Baqarah 2:43)
Solat berjemaah disyariatkan untuk memupuk rasa kasih, keprihatinan dan perpaduan dalam kalangan ahli kariah di sesebuah penempatan umat Islam. Meskipun tuntutan menghadiri solat berjemaah ini fardu kifayah di dalam mazhab Syafi’i, namun sengaja meninggalkannya adalah makruh bagi lelaki yang sihat, bermukim dan tiada keuzuran. Bersiaplah dengan tubuh badan dan pakaian yang bersih, rapi, sesuai dan harum setiap kali datang ke masjid. Agar nanti berpadulah hati kita bersama paduan suara bertakbir membesarkan Allah, merapatlah jiwa kita bersama rapatnya dan lurusnya saf solat. Nabi SAW pernah menyebut tentang ganjaran besar buat mereka yang memelihara tuntutan solat berjemaah di masjid sebagaimana hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang pergi dan balik dari masjid, maka Allah akan menyediakan baginya tempat di syurga setiap kali dia pergi dan balik.”
Kedua: Menghidupkan Majlis Ilmu
Inilah antara peranan utama masjid. Majlis-majlis pengajian ilmu perlu diselaraskan secara konsisten untuk memenuhi keperluan ilmu-ilmu agama dan kehidupan ahli kariah. Lihatlah bagaimana, setelah berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah membina dan menjadikan masjid berperanan sebagai pusat pengajian dan pendidikan umat. Di Masjid Nabawi secara khusus, terdapat satu ruang dikenali sebagai as-suffah untuk baginda mengajar dan melatih para sahabat secara khusus bagi menjadi daie. Antara yang mendapat didikan langsung di ruang ini ialah Abdullah bin al-Rawahah, Ubadah bin Somit dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah radiallahuanhum. Lihat juga bagaimana peranan Jami’ al-Azhar di Mesir, yang asalnya sebuah masjid akhirnya menjadi pusat pengajian yang ulung. Bermula dengan menempatkan 35 orang ulama sebagai penggiat ilmu pada tahun 989M, masjid ini terus membangun dan kini menjadi sebuah institusi pengajian Islam yang unggul di dunia.
Ketiga: Masjid Untuk Semua
Masjid adalah milik semua ahli kariah. Ahli kariah sewajarnya membantu dan bekerjasama dengan ahli jawatankuasa masjid yang memegang amanah untuk suatu tempoh masa, dalam usaha membangun, mengimarahkan dan memelihara kelestarian masjid. Selain majlis ilmu agama, masjid perlu sentiasa diimarahkan dengan pengisian aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong, riadah, bersukan, pusat tuisyen, pendidikan anak-anak dan majlis-majlis keraian.
Pelbagaikan aktiviti di masjid agar masyarakat Islam setempat dapat sering bertemu dan berinteraksi sesama mereka. Secara tidak langsung, ia akan sentiasa mengundang pertambahan ahli jemaah masjid dari hari ke hari dengan pelbagai aktiviti dirancang yang melibatkan semua. Seluruh ahli kariah perlu diundang untuk terlibat agar mereka dapat merasakan nilai kebersamaan dengan masjid.
Akhirnya nanti, lahirlah generasi pewaris masjid yang hati-hati mereka sentiasa bertaut kuat dengan masjid. Inilah yang pernah disebut dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya..di antara mereka; seseorang yang hatinya sentiasa bertaut di masjid.
Para Tetamu Allah yang Diberkati,
Mengakhiri khutbah, beberapa saranan dinyatakan untuk menjadi renungan dan pedoman buat kita semua;
Pertama: Masjid adalah syiar perpaduan dan kekuatan umat Islam. Mari bersama dan bekerjasama membangunkan dan mengimarahkan masjid kita.
Kedua: Libatkan diri dengan aktiviti masjid. Hadiri solat berjemaah, majlis ilmu dan aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan untuk meraih rahmat dan keberkatan hidup.
Ketiga: Masjid adalah milik bersama dan ruang rahmat Allah buat kita. Tautkan hati dengan masjid untuk mendapat jaminan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Renungkanlah firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 18:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ(١٨)
Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”
(Surah At-Taubah 9:18)
Tarikh Dibaca: 27 Jamadilawal 1446h / 29 November 2024
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment