Asmaul Husna yang ke-83 ialah Ar-Rauuf yang bermaksud Tuhan yang Maha Kasihan Belas. ‘Ra’fah’ mempunyai pelbagai maksud, antaranya ialah bersimpati, bertimbang rasa, baik hati, berperikemanusiaan. Apabila Allah SWT bersifat seperti itu, semestinya ia menjadi sesuatu yang amat diharapkan oleh hamba-Nya.
Oleh kerana Allah Maha Kasihan Belas, Bersimpati, Bertimbang rasa dan sebagainya, maka manusia tidak boleh berputus asa daripada mengharap rahmat-Nya serta pengampunan-Nya.
Meskipun Allah SWT mempunyai sifat Al-Muntaqim iaitu Dia yang Amat Murka, atau Tuhan yang Menuntut Balas, namun Dia terlalu baik kepada hamba-Nya iaitu bersifat Ar-Rauuf.
Manusia sudah sewajarnya mengambil pengajaran daripada sifat Allah SWT Ar-Rauuf ini. Semasa hidup di dunia manusia hendaklah sentiasa menyuburkan rasa simpati terhadap sesama manusia. Segala masalah yang dihadapi oleh orang lain dipandangnya seperti masalahnya sendiri. Bersangka baik menjadi dasar hidupnya apabila berhadapan dengan orang lain. Pendirian itu akan berubah apabila terbukti orang lain sudah menunjukkan sikap buruk dan niat jahat kepada kita.
Bagaimanapun dalam pada kita baik hati dan sentiasa bersangka baik kepada orang lain, kadangkala orang lain mengambil kesempatan untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada kita. Apabila orang lain berbuat demikian sedangkan kita tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap kejahatan itu, kerana merasakan kita orang yang baik hati dan sebagainya, ini bererti kita telah menghina diri kita sendiri. Sedangkan menghina diri itu adalah haram menurut pandangan Islam. Yang kita meninggi diri bererti kita bersifat takbur.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a comment