ASMAUL HUSNA – MALIKAL MULKU (Yang Maha Memiliki Kedaulatan Yang Kekal)

Asmaul Husna yang ke-84 ialah Malikal Mulki yang bererti yang bererti Tuhan yang memiliki segala kerajaan. Apabila Allah SWT memiliki segala kerajaan maka terasa oleh kita bahawa Dia mempunyai kuasa penuh. Ibarat orang yang mempunyai kuasa dalam sesebuah kerajaan, mereka mempunyai kuasa untuk mentadbir seluruh rakyat di bawah kekuasaannya, tetapi kerajaan manusia hanya tertakluk di atas muka bumi yang dia sendiri tidak menciptanya.

Bumi ciptaan Allah SWT yang dilengkapi dengan udara dan air serta tumbuh-tumbuhan. Penuh dengan kekayaan di perut bumi dengan pelbagai jenis logam berharga seperti emas, petroleum dan lain-lain yang manusia hanya tahu mengaut hasilnya. Kerajaan manusia bergantung sepenuhnya kepada ihsan Allah SWT.

Kerajaan manusia sering bertukar ganti sama ada melalui pilihan raya atau ditumbangkan melalui rampasan kuasa. Kerajaan dunia juga sangat terbatas kuasanya, sama ada dari segi undang-undang atau dibatasi oleh garis sempadan negara, sedang di luar sempadan adalah milik kerajaan yang lain pula. Itulah bezanya kerajaan manusia, serba kekurangan dan amat bergantung kepada ihsan Allah SWT. Sedangkan kerajaan Allah SWT tidak mengharapkan ihsan sesiapapun. Bahkan ia juga tidak terbatas oleh sempadan atau undang-undang.

Kerajaan manusia adalah kerajaan yang lemah tetapi bersikap angkuh. Kerajaan kecil yang tidak selaras dengan kerajaan Allah SWT yang bersifat Malikal Mulki. Kerajaan yang tidak sudi kepada hukum dan undang-undang yang telah disediakan oleh Allah SWT, tetapi tamak terhadap segala kekayaan yang disediakan oleh-Nya.

Sedangkan kerajaan milik Allah SWT tidak terbatas, merangkumi seluruh alam dan cakerawala yang terjangkau oleh manusia. Kerajaan yang meliputi sejak dari alam roh, diikuti dengan alam yang wujud sekarang ini dan melangkaui ke alam akhirat. Menguasai urusan manusia yang dihidupkan semula dan dihimpunkan di padang Mahsyar serta syurga tempat manusia menikmati anugerah Allah SWT, serta neraka jahannam tempat anusia menerima balasan akibat daripada kejahatan dan kekufuran mereka.

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑