أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ(١٥٥)
Maksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.
(Surah Al-Baqarah 2:155)
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua.
Pada hari ini, saya akan menyampaikan khutbah bertajuk: “Ujian Ditempuh, Kebersamaan Diperteguh”.
Sebelum itu juga, saya ingin menyeru kepada semua untuk terus mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada penduduk Palestin yang masih lagi ditindas oleh rejim zionis Israel laknatullahi ‘alaihim. Sesungguhnya hanya Allah SWT jua yang Maha Berkuasa memberi pertolongan kepada mereka.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bencana banjir yang melanda di negara kita baru-baru ini mencatatkan jumlah mangsa yang sangat tinggi iaitu melebihi 130 ribu orang di seluruh negara. Malah banjir kali ini juga turut mengorbankan tujuh nyawa. Tidak hanya itu, bencana banjir yang melanda juga telah mengakibatkan kemusnahan harta benda, tanaman, ternakan dan kemudahankemudahan lain. Inilah ujian yang besar dari Allah SWT.
Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk menghadapinya dengan penuh kesabaran, ketabahan, dan tawakal kepada Allah. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 155 yang menjadi mukadimah khutbah hari ini yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Bencana banjir yang berlaku ini merupakan salah satu bentuk ujian yang datang dari Allah untuk menguji iman dan kesabaran kita. Allah SWT tidak menurunkan sesuatu ujian melainkan ujian itu mampu untuk digalas oleh hamba-Nya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 286:
ۚلَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”.
Dalam menghadapi ujian ini, kita perlu mengambil beberapa sikap yang benar agar dapat meraih pahala dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Pertama: Bersabar dan bertawakal kepada Allah Ketika berhadapan dengan bencana, perasaan panik dan takut mungkin datang, tetapi kita hendaknya selalu mengingati Allah SWT dalam apa-apa jua keadaan. Kita mesti bersabar dan bertawakal kepada-Nya kerana semua di dunia ini adalah milik-Nya. Ingatlah bahawa segala sesuatu yang berlaku merupakan kehendak-Nya dan setiap ujian ada hikmah di sebaliknya. Allah SWT berfirman dalam Surah az-Zumar ayat 10:
إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍۢ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.
(Surah az-Zumar 39:10)
Kepada mangsa yang terlibat juga, teruslah bersangka baik terhadap Allah SWT kerana tetaplah ingat bahawa semua yang ada di dunia ini adalah milik-Nya dan Dia Maha Tahu akan tiap-tiap sesuatu yang berlaku.
Kedua: Saling membantu Ujian banjir bukan hanya untuk individu tetapi juga untuk masyarakat seluruhnya termasuk kepada mereka yang tidak terlibat banjir. Indahnya ajaran Islam, yang mengajar kita untuk membantu orang lain, terutama yang dalam kesusahan. Alhamdulillah, pujian harus diberikan kepada rakyat Malaysia kerana setiap kali berlaku apa-apa musibah, rakyat Malaysia begitu dermawan memberikan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk. Beruntunglah kerana Rasulullah SAW ada bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia, maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang Islam, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya”.
(Hadis riwayat Imam Muslim)
Oleh itu, marilah kita saling membantu saudara-saudara kita yang kini berada dalam kesulitan. Bantulah mereka dengan ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT dan bukan mencari populariti dan kesempatan lain.
Ketiga: Mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Banjir juga merupakan peringatan dari Allah SWT. Maka sebagai Muslim, kita harus sentiasa mendoakan keselamatan diri, keluarga, serta masyarakat di sekeliling kita. Doa adalah senjata orang Mukmin. Kita perlu berdoa kepada Allah agar mengangkat musibah ini dan memberikan perlindungan kepada kita semua. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 186:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لِى وَلْيُؤْمِنُوا۟ بِى لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ(١٨٦)
Maksudnya: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul”.
(Surah al-Baqarah 2:186)
Keempat: Meningkatkan kesedaran dan persediaan Sungguhpun bencana yang datang ini merupakan antara rahsia Allah SWT. Namun, bencana seperti banjir ini seringkali dapat dijangka. Selain itu juga, Jabatan Meteorologi, Agensi Pengurusan Bencana juga dari semasa ke semasa sentiasa mengeluarkan amaran-amaran tertentu supaya kita sentiasa lebih bersedia menghadapi sebarang bencana.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa peka dan mempersiapkan diri dengan segala cara, seperti menyediakan peralatan pertolongan cemas, mengumpulkan dokumendokumen dan peralatan penting di tempat yang selamat serta apa-apa jua keperluan yang difikirkan perlu dan mustahak. Ini juga merupakan salah satu bentuk ikhtiar kita untuk menghindari musibah sesuai dengan tuntutan Maqasid Syariah.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga ada membuka Tabung Musa’adah JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang akan digerakkan oleh Skuad Ihsan MADANI (Agensi-Agensi Agama), bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di seluruh negara. Semoga dengan usaha kita ini akan mendapat keredhaan Allah SWT seterusnya meningkatkan rasa kebersamaan dan kasih sayang antara sesama warganegara ini. Insya-Allah.
Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, saya simpulkan beberapa intipati penting;
Pertama: Allah SWT menurunkan ujian kepada hamba-hamba-Nya yang mampu menanggungnya, Ujian juga boleh jadi sebab untuk ditinggikan darjat seseorang selagimana dia menghadapinya dengan sabar dan redha setulus hati.
Kedua: Bantulah mangsa-mangsa banjir melalui apa-apa jua cara yang termampu dengan ikhlas.
Ketiga: Marilah kita sentiasa meningkatkan amalan kita dan memperbanyakkan doa, agar Allah SWT sentiasa memberi kita perlindungan dan rahmat-Nya dalam setiap keadaan. Renungkan firman Allah SWT ar-Ra’du ayat 22:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ ٱبْتِغَآءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ سِرًّۭا وَعَلَانِيَةًۭ وَيَدْرَءُونَ بِٱلْحَسَنَةِ ٱلسَّيِّئَةَ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عُقْبَى ٱلدَّارِ(٢٢)
Maksudnya: “Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat”. (Surah ar-Ra’du 13:22)
Tarikh Bacaan: 4 Jamadilakhir 1446H | 6 Disember 2024M
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment