Teks Khutbah Jumaat (WP): Laksanakan Perubahan, Lakar Kejayaan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَٱصْنَعِ ٱلْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا وَلَا تُخَـٰطِبْنِى فِى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ ۚ إِنَّهُم مُّغْرَقُونَ(٣٧)

Maksud: “Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”

(Surah Hud 11:37)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita dikurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat. Tumpukan perhatian kepada khutbah yang disampaikan. Tinggalkan seketika semua perkara lagha, semoga kita meraih kesempurnaan ganjaran yang dijanjikan. 

Mimbar Jumaat hari ini, akan membawakan khutbah bertajuk “Laksanakan Perubahan, Lakar Kejayaan”.

Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Allah SWT telah menetapkan syariat Islam sebagai jalan kejayaan dan kebahagiaan di segenap sudut kehidupan manusia. Ia merupakan panduan dalam mengecapi kesejahteraan hidup serta pembangunan diri dan masyarakat. Kita dianugerahkan akal fikiran dan ilham untuk mencapai kemajuan. Dengannya, kita berjaya mereka bentuk produk dan mencipta pelbagai inovasi sejajar keperluan ummah dan peredaran zaman. Lihatlah bagaimana demi menjamin keselamatan umat manusia yang beriman, Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh alaihissalam membina sebuah bahtera yang agam lagi ampuh menerusi surah Hud ayat 37, yang menjadi mukaddimah khutbah, bermaksud:

“Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”.

(Surah Hud 11:37)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Pada dasarnya, ilmu-ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan menjadi pemangkin utama dalam usaha membangunkan kemajuan dalam kehidupan. Umat Islam hari ini sewajarnya mencontohi perjuangan para sarjana Islam terdahulu, yang telah menghasilkan banyak kajian lalu menjadi rujukan kepada perkembangan teknologi dunia hari ini. 

Antaranya, Al-Khawarizmi yang dikenali sebagai bapa algebra. Jabir Ibnu Hayyan yang digelar bapa kimia dan Al-Biruni seorang yang pakar dalam pelbagai bidang termasuklah astronomi, farmasi dan perubatan. Begitu juga Al-Battani yang mengasaskan ilmu trigonometri, menulis buku astronomi dan mencipta alat ukuran masa. Manakala, Abu al-Izz al-Jazari penulis Ilmu Kejuruteraan Mekanik seawal tahun 1206M, yang menerangkan 50 jenis alat mekanik dan panduan membinanya.

Namun sedarlah, walau sehebat manapun pencapaian teknologi manusia, ia tidak akan dapat melangkaui batasan kekuasaan Allah SWT. Justeru, bersama apa juga pencapaian, kita perlu kekal menjadi hamba kepada-Nya. Ingatan ini pernah dinyatakan Allah SWT di dalam surah ar-Rahman, ayat 33:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰمَعْشَرَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ إِنِ ٱسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا۟ مِنْ أَقْطَارِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ فَٱنفُذُوا۟ ۚ لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَـٰنٍۢ (٣٣)

Maksudnya: “Wahai sekalian jin dan manusia, Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami. Masakan dapat)!”

(Surah Ar-Rahman 55:33)

Ambillah pengajaran daripada kesungguhan Nabi Nuh alaihissalam dalam menjunjung perintah Allah SWT. Berpandukan petunjuk wahyu, berbekalkan keazaman, ketekunan dan ketelitian, baginda berjaya membina sebuah bahtera yang cukup ampuh dan teguh, memiliki daya tahan dan berupaya untuk mengharungi bah besar yang menenggelamkan seluruh dunia ketika itu.

Hamba-hamba Allah yang dikasihi,

Penduduk dunia dijangka akan bertambah menghampiri jumlah 10 bilion orang menjelang tahun 2050. Realiti ini akan memberikan tekanan kepada pelbagai keperluan kehidupan. Sebagai contoh, akan berlakunya peningkatan keperluan bekalan makanan seperti beras dan gandum. Maka di sinilah manusia menggunakan kebijaksanaan akal yang dikurniakan oleh Allah SWT bagi meneroka ilmu sains dan kejuruteraan dalam mencari penyelesaian. 

Antaranya, hasil penerokaan teknologi dan kejuruteraan, penciptaan dron telah berupaya memajukan industri pertanian dan membantu penghasilan yang lebih optimum. Pendapatan para petani juga dapat dipertingkatkan selari dengan keperluan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tidak dinafikan bahawa impak perkembangan teknologi dan ledakan kemajuan kejuruteraan pada hari ini telah mengubah landskap kehidupan manusia mengikut arus perubahan zaman sama ada di daratan mahupun lautan. Selain dalam industri pertanian, industri lain seperti industri pembuatan, pengangkutan dan pembinaan turut mendapat manafaat. Kini, di tanahair kita sendiri, rakyat Malaysia menikmati perkembangan pesat pembangunan dan sosio-ekonomi melalui pembinaan lebuhraya bertingkat dan perkhidmatan keretapi elektrik seperti ETS, ERL dan MRT, kediaman yang mempunyai ciri-ciri moden, bangunan yang mesra pengguna dan pelbagai kemudahan awam. 

Perubahan dan evolusi ini membuktikan bahawa bidang teknologi kejuruteraan adalah antara cabang ilmu yang penting untuk dikuasai oleh manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi dalam memelihara maslahah ummah demi mencapai kejayaan.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Bidang teknikal dan kejuruteraan telah mewujudkan pelbagai profesion teknikal seperti para jurutera, arkitek, juruukur bahan, juruukur tanah, ahli geologi, teknologis dan juruteknik yang sudah semestinya berpaksikan kepada kesarjanaan disiplin ilmu masing-masing. Sehubungan itu, bagi mengiktiraf sumbangan warga profesion teknikal di seluruh negara di atas sumbangan besar mereka, maka Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) yang bertemakan “Profesion Teknikal Peneraju Kecemerlangan Teknologi” disambut setiap tahun pada hari Sabtu pertama bulan Disember.

Marilah kita meningkatkan keiltizaman untuk bersama-sama menjayakan pembangunan negara sebagai pemangkin ke arah merealisasikan kesejahteraan rakyat. Inilah perjuangan kita untuk membina sebuah negara yang bermaruah, maju, harmoni dan makmur. Imam at-Tabrani meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah radiallahuanhu, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Orang yang paling dikasihi oleh Allah adalah orang yang paling banyak memberikan manfaat untuk manusia lain.”

Bersama kesyukuran dengan apa yang telah dicapai di negara ini, kita ingin menzahirkan apresiasi kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sebagai agensi teknikal di bawah Kementerian Kerja Raya yang telah banyak berjasa kepada negara. Mudah-mudahan seluruh warga teknikal beristiqamah memberikan komitmen dalam menabur jasa kepada rakyat.

Semoga segala sumbangan dan bakti yang dicurahkan selama ini mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Allah SWT.

Para Tetamu Allah yang diberkati,

Mimbar Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan pada hari ini juga ingin melahirkan rasa bersama dan bersimpati dengan musibah banjir yang sedang melanda beberapa negeri di seluruh negara, khasnya di Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Perak, Melaka dan Pahang. Kita terus mendoakan semoga musibah ini segera berakhir dan urusan kehidupan saudara-saudara kita yang dilanda banjir dipermudahkan. Semoga mereka juga sabar, tabah dan redha dengan takdir ketentuan Allah SWT ini.

Di samping itu, mimbar juga menyeru kepada sidang jemaah untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan melalui tabung-tabung yang disediakan khas untuk bantuan musibah banjir ini. Semoga keprihatinan kita akan dapat meringankan bebanan yang mereka hadapi dan mengundang rahmat dan barakah dalam kehidupan kita.

Mengakhiri khutbah, beberapa saranan untuk pedoman dan tindakan kita bersama;

Pertama: Kuasai ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan. Ia tuntutan fardu kifayah yang berperanan penting dalam menyempurnakan kehidupan manusia.

Kedua: Bangunkan semula usaha-usaha yang telah dirintis oleh para sarjana dan cendiakawan Islam terdahulu untuk turut serta menghasilkan teknologi-teknologi baharu sesuai dengan keperluan zaman.

Ketiga: Hiasilah kehidupan di dunia dengan melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada kehidupan manusia. Ia menjanjikan ganjaran yang berpanjangan dan meraih keredaan Allah SWT.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama menghayati firman Allah SWT

dalam Surah Ali Imran, ayat 191:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًۭا سُبْحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ(١٩١)

Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

(Surah Ali Imran 3:191)

Tarikh Bacaan: 4 Jamadilakhir 1446H | 6 Disember 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑