ASMAUL HUSNA – DZUL JALALI WAL IKRAM (Yang Maha Memiliki Kemuliaan & Kebesaran)

Asmaul Husna yang ke-85 ialah Dzul Jalali Wal Ikram iaitu Tuhan yang penuh dengan kemuliaan. Hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mulia. Walaupun di kalangan manusia ada yang digelar yang maha mulia, namun itu hanya suatu sebutan atau suatu yang didakwakan terhadapnya. Sedangkan dia belum pasti mulia kerana orang yang bergelar yang maha mulia itu juga kadangkala mempunyai sifat-sifat yang keji ‘bersultan di mata beraja di hati’.

Sebagaimana Allah SWT mempunyai kebesaran dan kemuliaan,   maka manusia sebagai hamba-Nya mestilah berusaha bersungguh-sungguh supaya mempunyai sifat-sifat yang mulia. Mereka mesti sedar bahawa manusia adalah makhluk Allah SWT yang telah dimuliakan oleh Allah SWT. Mereka satu-satunya jenis makhluk yang dianugerahi akal fikiran, yang didatangkan oleh Allah SWT pemimpin di kalangan mereka bertaraf nabi dan rasul.

Allah SWT menjadikan bumi dan segala kekayaan perut bumi dan kesuburan tanah yang menumbuhkan pepohon menghijau. Segala makhluk lain bertaraf rendah untuk menjadi alat atau hamba kepada manusia lain bagi meninggikan tarafnya di sisi Allah SWT. Jika manusia sanggup berbunuhan demi merebut kuasa dan kekayaan, maka seolah-olah mereka sudah menjadi hamba kepada benda-benda itu.

Justeru, manusia mesti mencapai dan mempertahankan kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT dengan mengambil contoh daripada sifat Allah SWT yang bernama Dzul Jalali Wal Ikram itu. Manusia mesti menerima semua pengajaran dan nasihat daripada Allah SWT dengan penuh ketaatan dan keikhlasan, supaya menjadi hamba Allah SWT yang Maha Mulia. Sekiranya manusia membiarkan dirinya menjadi hamba nafsu syaitan dan hamba harta, sesungguhnya dia tidak mengenal dirinya yang telah dianugerahi kemuliaan oleh Allah SWT.

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑