Oleh: Mazlina Jalani, Penolong Pengarah Kanan, Unit Integriti, JAKIM
Al-Quran adalah kitab suci yang paling akhir diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, Nabi dan Rasul terakhir, memansuhkan kitab-kitab suci yang terdahului. Al-Quran merupakan kitab panduan hidup dan rujukan utama umat Islam di samping sunnah Rasulullah SAW yang terkandung di dalamnya dari segenap aspek akidah, syariah dan akhlak. Allah SWT berfirman di dalam surah an-Naml, ayat 1-2:
طسٓ ۚ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْقُرْءَانِ وَكِتَابٍۢ مُّبِينٍ(١) هُدًۭى وَبُشْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ(٢)
Maksudnya: “Thaa, siin. Ini ialah ayat-ayat al-Quran, juga Kitab yang jelas nyata (kandungannya dan kebenarannya), Menjadi hidayah petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”
(Surah an-Naml, 27:1-2)
Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa petunjuk dan berita gembira hanya tercapai dari Al- Quran, iaitu bagi orang yang mengimani, mengikuti dan membenarkan serta mengamalkan isi kandungannyaii. Nilai-nilai murni di dalam Al-Quran yang termasuk dalam aspek akhlak merupakan panduan hidup sejahtera umat Islam, iaitu:
Pertama: Ikhlas
Ertinya menyucikan amalan dengan niat yang betul, iaitu kerana Allah SWT. Ikhlas juga bererti menghambakan diri kepada Allah sematamata hanya mengharapkan akan keredaanNya. Ikhlas bermakna jujur dalam niat, ucapan, dan perbuatan. Perkara ini diterangkan di dalam al-Quran SWT di dalam surah al-Bayyinah, ayat 5:
وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.”
(Surah al-Bayyinah 93:5)
Di dalam ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan kita supaya ikhlas dalam melakukan perbuatan, kerana sesuatu amalan yang dilakukan dengan sempurna ikhlas hanya kerana Allah akan mendapat ganjaran di akhirat kelak. Ikhlas adalah suatu niat murni dan tulus di mana dalam mengerjakan segala sesuatu amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, tanpa mengharapkan pujian dari manusia.
Kedua: Sabar
Ertinya keupayaan diri dan anggota dalam melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat kepada Allah SWT. Sabar merupakan suatu sifat yang boleh memelihara diri daripada sesuatu ketetapan yang telah diputuskan oleh akal fikiran atau keputusan yang lain. Allah SWT telah menyebutkan sifat sabar di dalam al-Quran tidak kurang daripada lapan puluh kali, dalam bermacam bentuk, untuk menunjukkan betapa tinggi nilai dan keutamaanya. Tetapi yang paling hebat apabila Allah SWT menyebut di dalam surah al-Baqarah, ayat 153:
ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”
Sifat sabar dapat mengawal diri seseorang daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah SWT dengan hati yang tenang, iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup. Sebagai seorang Mukmin, semasa ditimpa kesusahan, kita perlulah bersabar dan memohon pertolongan daripada Allah SWT.
Ketiga: Benar
Bermaksud tidak berdusta dari segi perkataan, perkhabaran dan perbuatan. Bersifat benar akan melahirkan seseorang yang mempunyai sifat ikhlas dan taqwav serta menjauhkan diri daripada kemunafikan. Amal perbuatan yang dilakukan dengan benar dan jujur sahaja yang diterima dan mendapat keredaan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah Muhammad, ayat 21:
فَلَوْ صَدَقُوا۟ ٱللَّهَ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُمْ
Maksudnya: “Maka kalaulah mereka bersifat jujur kepada Allah (dengan mematuhi perintah-Nya), tentulah yang demikian itu amat baik bagi mereka.”
Kita dituntut untuk bersikap benar kerana orang yang benar, tidak berbohong apabila berkata-kata; ikhlas membuat kebaikan semata-mata kerana Allah SWT; menepati janji dan melaksanakan tugas dengan jujur tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Keempat: Amanah
Setiap yang wajib dipelihara dan ditunaikan oleh umat islam kepada ahlinya. Amanah merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan. Manusia tidak boleh melepaskan diri daripada menunaikan amanah yang telah dibebankan kepadanya, sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa, ayat 58:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).”
Amanah merupakan nilai peribadi asas bagi seorang muslim yang dituntut oleh Syarak. Seseorang yang amanah akan melaksanakan tugas yang diberi kepercayaan kepadanya dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab tanpa mengabaikannya.
Kelima: Bersyukur
Bermaksud melahirkan atau mengucapkan penghargaan pujian dan terima kasih kepada Allah SWT dan sesama manusia di atas nikmat kurniaan Allah SWT kepadanya. Firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim, ayat 7:
لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu,”
Allah SWT memberikan nikmat berlipat kali ganda banyaknya kepada orang yang bersyukur. Kita wajib melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT dengan cara melakukan amal soleh serta melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Perasaan syukur menjadikan seseorang bekerja dengan penuh tekun tanpa sebarang rungutan serta patuh dan sabar menerima semua arahan melaksanakan tugasan.
Al-Quran adalah mukjizat abadi hingga kiamat, kewujudannya diyakini sepanjang masa bak kata pepatah Melayu, ‘Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan’ dan akan sentiasa relevan pada setiap waktu dan zaman. Segala isinya perlu difahami dan dihayati malahan diaplikasi dengan menjadikan nilai-nilai murni dalam al-Quran sebagai panduan hidup sejahtera, baik dalam urusan duniawi ataupun ukhrawi.
Sumber: Majalah Sinar Rohani 2/2024
Leave a comment