Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Judi Dijauhi, Hidup Diberkati 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلْأَنصَابُ وَٱلْأَزْلَـٰمُ رِجْسٌۭ مِّنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ فَٱجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (٩٠) 

 Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (minuman keras), berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah adalah kotor (tercela) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beruntung”. 

(Surah Al-Ma’idah 5:90)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua. 

Pada hari ini saya akan membicarakan khutbah bertajuk: “Judi Dijauhi, Hidup Diberkati”. 

Sebelum itu juga, saya ingin menyeru kepada semua untuk terus mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada penduduk Palestin yang masih lagi ditindas oleh rejim zionis Israel laknatullahi ‘alaihim. Sesungguhnya hanya Allah SWT jua yang Maha Berkuasa memberi pertolongan kepada mereka. 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Hari ini, kita akan berbicara tentang satu isu yang semakin membimbangkan masyarakat kita, iaitu bahana judi dalam talian (judi online), yang kini semakin berleluasa dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Tidak kira usia, latar belakang, mahupun status sosial, banyak individu yang terjerumus dalam perangkap judi dalam talian tanpa mereka sedari akibat buruk yang bakal menanti. 

Sebagai umat Islam, kita perlu memahami betapa besar kesan negatif yang dibawa hasil aktiviti perjudian ini, serta bagaimana ia boleh membawa seseorang menempah tiket ke neraka. Judi, dalam apa bentuk sekalipun, merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. 

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Maa’idah ayat 90 yang saya bacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (minuman keras), berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah adalah kotor (tercela) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beruntung”. 

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa segala bentuk perjudian adalah haram dan termasuk dalam kategori perbuatan yang tercela, yang mesti dijauhi oleh setiap umat Islam. Namun, pada zaman yang serba moden ini, perjudian tidak hanya terhad kepada pertaruhan secara fizikal, tetapi telah berkembang dalam bentuk judi dalam talian yang semakin berleluasa. 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Judi dalam talian merujuk kepada segala bentuk perjudian yang dilakukan melalui platform digital atau internet, seperti taruhan sukan, permainan kasino, slot mesin, atau permainan dalam talian yang melibatkan pertaruhan wang. Perjudian jenis ini bukan sahaja mudah diakses, tetapi juga semakin sukar untuk dikawal kerana ia boleh dimainkan di manamana sahaja dan pada bila-bila masa.  

Perjudian dalam talian tidak hanya membawa kerugian dari segi material, malah lebih parah, ia boleh merosakkan akhlak dan mengikis iman. Seseorang yang terjebak dalam judi akan menjadi ketagihan, seolah-olah hidup mereka bergantung kepada perjudian tersebut. Mereka akan melakukan bermacam cara untuk mendapatkan wang bagi membolehkan mereka berjudi, hatta sanggup berkasar sesama manusia dan berbunuhan kerananya. Begitulah kehidupan seorang penjudi yang semakin lama semakin hanyut dan tenggelam dalam keseronokan palsu yang sementara. 

Saudaraku Yang Dikasihi, 

Salah satu faktor utama yang membuatkan judi dalam talian ini begitu bahaya ialah kerana mudahnya untuk ia diakses. Dengan hanya menggunakan telefon pintar atau komputer, seseorang boleh berjudi tanpa perlu keluar rumah atau berada di kasino. Ini menjadikannya lebih sukar untuk dikawal, terutama dalam kalangan remaja yang mungkin tidak memiliki kekuatan iman untuk menghindarinya. 

Kita sering mendengar tentang individu yang kehilangan segala-galanya akibat ketagihan judi, dari segi wang ringgit, harta benda, bahkan maruah dan hubungan keluarga. Semua ini berlaku kerana mereka terperangkap dalam ilusi kekayaan yang cepat melalui perjudian. Namun realitinya, perjudian hanya membawa kepada kebinasaan. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Israa’ ayat 18: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

مَّن كَانَ يُرِيدُ ٱلْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُۥ فِيهَا مَا نَشَآءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُۥ جَهَنَّمَ يَصْلَىٰهَا مَذْمُومًۭا مَّدْحُورًۭا (١٨)

Maksudnya: “Barangsiapa yang menginginkan kehidupan dunia dan kemewahannya, Kami berikan balasan kepada mereka atas amal perbuatan mereka di dunia ini, tetapi mereka tidak akan memperoleh bahagian mereka di akhirat”.

(Surah al-Israa’ 17:18)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa segala bentuk usaha untuk memperoleh kekayaan secara haram, seperti perjudian, tidak akan mendatangkan kebaikan. Sebaliknya, ia akan membawa kepada kehancuran, baik di dunia mahupun di akhirat. 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Sebagai umat Islam yang beriman, kita perlu memiliki kesedaran yang tinggi tentang bahaya perjudian sama ada fizikal mahupun dalam talian serta berusaha menjauhinya. Ini ialah satu bentuk ujian dan godaan yang sangat besar dalam zaman moden ini. Kita tidak boleh membiarkan diri kita, keluarga kita, atau masyarakat kita terjebak dalam kancah kerosakan yang disebabkan oleh perjudian. 

Bagi para ibu bapa, adalah amat penting untuk memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada anak-anak tentang bahaya judi, serta mengawasi aktiviti mereka di internet. Dalam era digital ini, kanak-kanak dan remaja sangat mudah terdedah kepada persekitaran yang membawa mereka ke arah perkara-perkara yang haram. 

Oleh itu, peranan ibu bapa sangat besar dalam membimbing dan melindungi mereka daripada bahaya ini. Selain itu, kita juga harus memperkuatkan iman kita dengan meningkatkan ibadah dan ketaatan kepada Allah. 

Salah satu cara untuk melawan godaan ini ialah dengan sentiasa menyibukkan diri dengan aktiviti yang berfaedah, berdoa agar dijauhi daripada segala bentuk kemaksiatan, dan memperbanyakkan amal ibadat serta memperbanyak mengingati mati. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjauhi perjudian ini baik yang fizikal mahupun yang dalam talian serta mengambil iktibar daripada kesan buruk yang dibawanya. Jadikanlah agama dan ketakwaan sebagai panduan hidup kita. Ingatlah, bahawa dunia ini ialah tempat ujian, dan akhiratlah tempat yang kekal abadi. Jika kita terjebak dalam dosa-dosa seperti perjudian, maka kita mungkin akan menempah tiket ke neraka yang sangat pedih azabnya. Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah al-Maaidah ayat 91:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

إِنَّمَا يُرِيدُ ٱلشَّيْطَـٰنُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ ٱلْعَدَٰوَةَ وَٱلْبَغْضَآءَ فِى ٱلْخَمْرِ وَٱلْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ(٩١)

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”.

(Surah Ma’idah 5:91)

Tarikh Dibaca: 11 Jamadilakhir 1446h / 13 Disember 2024 
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑