أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ ۚ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍۢ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ(٣٩)
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku melimpahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.”
(Surah Saba’ 34:39)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berikan sepenuh perhatian dan tumpuan kepada khutbah yang akan disampaikan. Tinggalkan seketika kelekaan dan jauhi perkara-perkara lagha seperti tidur, berbual-bual dan berinteraksi dengan telefon bimbit. Mudah-mudahan kita meraih keberkatan solat Jumaat hari ini lalu beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Hari ini, khatib akan membicarakan khutbah bertajuk, “Bahagia Memberi, Syurga Diganjari”.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Harta yang kita miliki merupakan perhiasan dunia, dan dalam masa sama ia juga adalah ujian buat manusia. Allah SWT menguji keimanan seseorang hamba dengan mengurniakan kelebihan harta kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menariknya daripada sesiapa yang Dia kehendaki. Mereka yang dianugerahkan harta kekayaan diuji dengan tuntutan infak, bersedekah dan mengasihi insan lain. Manakala mereka yang tidak berharta pula diuji dengan tuntutan bersabar, qanaah dan reda.
Perhatikanlah mafhum daripada firman Allah SWT dalam surah surah Saba’ ayat 39 yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku melimpahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.”
Sidang Jemaah yang Berbahagia,
Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa bekerja dan berusaha untuk memperoleh harta bagi menjayakan kelangsungan hidup di dunia. Kecintaan manusia kepada harta merupakan fitrah, namun ia amat berpotensi menjadi fitnah jika tidak diurus dan dibelanjakan ke jalan yang diredhai Allah SWT. Hakikat ini pernah diperingatkan menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Ka’ab bin Iyad radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Bagi setiap umat ada ujiannya. Ujian bagi umatku adalah harta.”
Justeru, Islam telah mensyariatkan zakat, infak dan wakaf sebagai jalan untuk menyelamatkan umat ini daripada fitnah harta. Dengan syariat yang indah ini, kita terhindar daripada perlakuan maksiat dan kemungkaran yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Malah, ia menjadi kaedah untuk membina keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat di samping meraih ganjaran besar lantaran membelanjakan harta ke jalan Allah SWT.
Ketahuilah, setiap RM1 yang dibelanjakan ke jalan Allah SWT akan dihitung, digantikan dan dilipat gandakan sehingga 700 ganjaran yang terbaik di sisi Allah SWT.
Saudara-saudaraku Yang Dikasihi,
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas bin Malik radiallahuanhu bahawasanya seorang pemuda ingin membina pagar di tanah miliknya, akan tetapi terdapat sepohon kurma milik orang lain. Maka pemuda tersebut datang berjumpa Rasulullah SAW untuk memujuk pemilik pohon kurma tersebut agar memberikannya kebenaran bagi membina pagar. Lalu Baginda SAW menawarkan kepada pemilik pohon kurma dengan bersabda yang bermaksud: “Berikanlah ia dengan gantian pohon tamar di syurga.”
Malangnya, pemilik pohon tersebut masih enggan menyerahkannya. Abu al-Dahdah yang mendengar tawaran Nabi SAW ini membuat keputusan untuk membeli pohon kurma itu lalu menyerahkannya kepada pemuda tersebut. Melihat tindakan Abu al-Dahdah ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Betapa banyaknya pohon tamar yang menanti Abu al-Dahdah nanti di syurga.”
Lihatlah, kemuliaan jiwa Abu al-Dahdah yang melihat peluang untuk meraih redha Allah dan meyakini janji Rasulullah SAW, lantas bersegera membeli dan menginfakkan pohon kurma tersebut. Natijah tindakan yang bersulam keimanan ini, pertikaian dapat diselesaikan dan semua pihak mendapat manfaat dan kebaikan. Inilah nilai suatu pemberian yang melahirkan kegembiraan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Ia terhasil daripada sifat pemurah dan suka memberi yang asasnya adalah iman yang mekar indah di dalam jiwa.
Ketahuilah, setiap harta yang dibelanjakan ke jalan Allah SWT akan menjadi dana simpanan dan sumber kebahagiaan kita di akhirat. Malah disempurnakan dengan ganjaran syurga. Sedarlah, meskipun harta kelihatan semakin berkurangan dengan pemberian dan sumbangan, namun hakikatnya zakat yang kita tunaikan, wakaf yang kita laburkan dan infak yang kita sedekahkan akan berkekalan pahala dan ganjarannya di sisi Allah SWT. Ia tidak hilang, kita cuma memindahkan untuk menjadi dana dan bekalan bagi kehidupan kita di akhirat.
Selain itu, amalan zakat, infak dan wakaf mampu mengundang keberkatan dalam kehidupan kita di dunia lagi sebelum di akhirat nanti. Di samping mampu membersihkan jiwa daripada sifat-sifat tercela, ternyata amalan ini menjadi pemelihara yang dapat membenteng harta kita. Malah, amalan menghulur sumbangan dan berinfak ini dapat mengundang rahmat Allah sehingga dapat menyembuhkan orang-orang sakit dalam kalangan kita yang diuji dengan apa juga musibah penyakit.
Perkara ini pernah dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abdullah bin Mas’ud radiallahuanhu, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bentengilah hartamu dengan zakat dan ubatilah orang-orang sakit dalam kalangan kamu dengan sedekah.”
Sidang Jemaah yang Dimuliakan,
Selaras dengan semua paparan tentang keindahan amalan berzakat dan infak ini, mimbar Jumaat hari ini ingin menyeru para Jemaah agar melunaskan tanggungjawab berzakat khususnya zakat pendapatan sebelum berlabuhnya tirai tahun 2024. Selain berpeluang mendapat rebat cukai, zakat yang ditunaikan akan dapat membantu membela nasib golongan asnaf.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan RM890 juta dana zakat sehingga bulan November tahun ini merangkumi pembangunan asnaf, bantuan kebajikan, bencana, perubatan, perlindungan, pendidikan dan pembangunan ummah. Agihan zakat juga dilaksanakan menerusi skim Wakalah dalam skala yang lebih luas dan efisien.
Bagi memenuhi aspirasi dan keperluan asnaf yang meningkat saban tahun, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengambil inisiatif melancarkan kempen dakwah ‘Year End Zakat (YEZ 2024)’ sepanjang bulan Disember bagi menggalakkan masyarakat menunaikan zakat. Kaunter cawangan zakat di seluruh Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibuka setiap hari, 7 hari seminggu sehingga 31 Disember 2024. PPZ-MAIWP juga menyediakan perkhidmatan konsultasi dan taksiran zakat secara dalam talian menerusi kaunter zakat digital di samping kemudahan kaunter van bergerak, potongan zakat bulanan, laman web dan aplikasi zakat.
Selain itu, mimbar juga menggalakkan para Jemaah agar berwakaf dengan PPZ-MAIWP untuk kelestarian dan pembangunan umat Islam di Wilayah Persekutuan. Para pewakaf berpotensi menikmati potongan cukai pendapatan sehingga 10% daripada pendapatan agregat bagi wakaf tunai yang diberikan. Kutipan wakaf ini akan disalurkan kepada projek-projek yang merangkumi sektor sosial, ekonomi, kesihatan, pendidikan, hartanah dan kecemasan.
Saudara-Saudaraku yang dikasihi,
Mengakhiri khutbah, beberapa saranan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini:
Pertama: Pemilikan harta memang selari dengan fitrah. Namun jangan lupa ia juga merupakan fitnah dan ujian daripada Allah. Uruslah hak-hak harta bersama penyucian jiwa menerusi amalan berzakat, infak dan berwakaf.
Kedua: Bersama keikhlasan, pemberian kita dijanjkan syurga sebagai ganjaran. Teladanilah jiwa para Sahabat radiallahuanhum yang sanggup berkorban harta kerana meyakini dan mengharap janji Allah sebagai balasan.
Ketiga: Bersegeralah menunaikan kewajipan berzakat dan melaksanakan amalan wakaf melalui saluran-saluran yang disediakan. Sesungguhnya inilah kebahagiaan memberi yang menjamin keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.
Renungi firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 254:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ يَوْمٌۭ لَّا بَيْعٌۭ فِيهِ وَلَا خُلَّةٌۭ وَلَا شَفَـٰعَةٌۭ ۗ وَٱلْكَـٰفِرُونَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ(٢٥٤)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Baqarah 2:254)
Tarikh Bacaan: 11 Jamadilakhir 1446H/13 Disember 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment