Sabar dan Syukur, Dua Sayap Kehidupan Mukmin

Oleh: Majidah binti Mat Jusoh, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kemajuan Islam, JAKIM

Hakikat kehidupan ini, setiap manusia pasti akan dihadapkan dengan ujian dan nikmat yang silih berganti. Sememangnya manusia itu dijadikan untuk diuji, sebagaimana yang Allah SWT janjikan dalam ayat 2 surah al-Ankabut,

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ(٢)

Maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” 

(Surah al-Ankabut 29:2)

Sesungguhnya, Allah SWT tidak akan membiarkan manusia tanpa ujian kerana Dia tidak pernah berhenti mengasihi dan menyayangi hamba-Nya. 

Dalam menyingkapi ujian, sabar dan syukur merupakan dua konsep penting dalam Islam yang boleh dijadikan amalan hidup yang efektif. Kedua-dua konsep ini ibarat dua sayap yang mengangkat kehidupan seorang mukmin dalam mencari ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup. Maksud sabar dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia adalah “Tahan menghadapi cobaan (tidak lekas marah, tidak lekas putus asa, tidak lekas patah hati), tenang, tidak tergesa-gesa dan tidak terburu nafsu.” 

Namun, sabar bukanlah sekadar menahan diri daripada perasaan marah atau kekecewaan semata-mata, tetapi juga kemampuan untuk tetap istiqamah dan tenang dalam mengharungi segala yang mendatang. Hal ini bererti, kita tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan, tidak mudah putus asa, dan tetap teguh dalam keyakinan bahawa segala sesuatu yang terjadi adalah ketetapan Allah SWT yang terbaik untuk kita. 

Bertepatan dengan itu, indikator sabar dalam erti kata sebenar yang dinukilkan dalam Kitab Hidayah al-Salikin, bermula dengan menahan diri daripada memarahi sesuatu yang tidak disukai dan menahan lidah daripada mengadu kepada selain daripada Allah SWT. Manakala menurut Imam al-Ghazali, “hakikat sabar merupakan kesungguhan seseorang hamba dalam menahan diri daripada terpengaruh dengan hawa nafsu, dengan memperbaiki akhlak buruk supaya terbentuk akhlak mulia” (Salleh et.al, 2022). 

Namun, sabar dalam menghadapi ujian itu bukanlah juga bermaksud menunggu, bertahan dan berdiam diri tanpa melakukan apa-apa. Sebaliknya sabar yang sebenar adalah dengan merenung dan mencari solusi terbaik untuk menghadapinya.

Dalam memahami dan mengaplikasikan konsep sabar, Imam al-Ghazali juga membahagikannya kepada tiga kondisi iaitu sabar dalam mematuhi perintah Allah, sabar dalam menjauhi dan meninggalkan larangan Allah dan sabar dalam menghadapi kesulitan serta penderitaan yang dialami.

Jelaslah bahawa sabar itu merupakan satu sayap penting dalam menjalani kehidupan yang tidak lekang daripada mehnah dan tribulasi ini. 

Namun begitu, menurut Syeikh Abdus Shamad Al- Falimbani dalam kitabnya Hidayah al-Salikin Fi Suluki Maslaki al-Mutttaqin, terdapat tiga martabat kesabaran seorang manusia; 

Pertama, tahap sabar orang awam, iaitu seseorang yang menahan segala kesusahan dan kesakitannya kerana yakin dengan ganjaran pahala daripada Allah SWT dan menjauhi maksiat kerana takutkan seksa-Nya. 

Kedua, sabar orang yang muridin, yang mana hati mereka merasa ringan dengan segala kesusahan dan kesakitan yang dihadapi. Mereka melihat setiap ujian itu dengan mata hati tanpa mengharapkan ganjaran Semasa pahala semata-mata. 

Ketiga, sabar para zahidin dan salikin, iaitu mereka yang meyakini segala ujian yang ditimpakan kepada mereka telah tertulis sejak azali dan reda dengan segala ketentuan yang telah ditentukan untuk mereka. 

Tidak dinafikan, mengungkapkan kata “Sabar” memang mudah, tetapi hakikatnya sukar untuk dilaksanakan. Oleh sebab itulah Allah SWT berjanji dalam surah al-Baqarah ayat 153, untuk bersamasama dengan orang yang sabar,

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” 

Dalam hal ini, Imam Al-Ghazali melalui kitab Ihya’ ‘Ulumuddin memberikan dua cara sebagai panduan untuk berusaha mendapatkan sabar dalam kehidupan. Pertama, mendorong jiwa untuk bersungguh-sungguh mengejar ganjaran faedah dalam membuat kebaikan dan tentunya kesungguhan ini perlu disertai dengan melawan hawa nafsu untuk mendapat keredaan Allah SWT. Kedua, melawan hawa nafsu dengan bermatimatian sama ada secara beransur-ansur atau sekali gus dengan cara menghindarkan diri daripada punca yang mempengaruhi hawa nafsu. 

Sehubungan itu, manifestasi tertinggi sebuah kesabaran adalah syukur. Setelah kita mengharungi ujian dengan penuh ketabahan dan ketahanan, perasaan syukur yang tulus muncul sebagai pengakuan bahawa segala yang telah dilalui adalah ketetapan yang terbaik daripada Allah SWT. Syukur bukan hanya menjelma ketika mendapat nikmat, tetapi juga ketika menyedari hikmah di sebalik ujian. Ketika kita bersyukur setelah melalui ujian, itu menunjukkan bahawa kita tidak hanya sabar dalam menghadapinya, tetapi mampu melihat kebesaran Allah SWT dalam setiap kejadian yang menimpa. 

Syukur juga merupakan kemuncak rasa terima kasih dan penghargaan atas segala nikmat dan kebaikan yang diberikan oleh Allah SWT. Tetapi syukur bukan hanya sekadar ucapan terima kasih, bahkan juga melibatkan tindakan dalam menggunakan nikmat tersebut sesuai dengan kehendak Allah SWT,

“…Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku sangat keras.” (Ibrahim, 14:7). 

Wadah untuk menzahirkan rasa syukur itu luas, termasuklah dengan cara berbagi rezeki sesama keluarga dan masyarakat, melakukan amal kebaikan, serta menjaga nikmat agar tidak digunakan untuk tujuan yang merugikan. Syukur yang tulus mampu membawa impak positif kepada jiwa dalam memperkuatkan hubungan dengan Allah SWT dan meningkatkan rasa kebahagiaan serta kepuasan dalam hidup. Melalui rasa syukur juga membuatkan kita menjadi lebih peka terhadap segala nikmat yang diberikan, baik yang besar mahupun kecil, dan lebih bersedia untuk menerima dan memanfaatkan setiap kurniaan Allah SWT. 

Oleh itu, sabar dan syukur harus diintegrasikan dalam setiap aspek kehidupan. Kedua-duanya saling melengkapi dan memperkuatkan antara satu sama lain. Dalam menghadapi kesulitan, sabar memungkinkan kita untuk tetap teguh, sementara syukur membolehkan kita untuk melihat nikmat di sebalik setiap ujian dan kesulitan. Sebaliknya, dalam menikmati nikmat, syukur memberikan makna dan tujuan, sedangkan sabar memberikan ketahanan untuk menghadapi segala kemungkinan yang bakal menjelma. Perjalanan hidup yang diharungi dengan sabar dan syukur menjadikan setiap langkah menuju kebahagiaan menghasilkan natijah perjalanan spiritual yang bermakna. 

Kesimpulannya, sabar adalah cara untuk kita menyelaraskan hati dengan takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Sabar dan syukur juga bukan hanya menjadi prinsip-prinsip yang dipegang teguh, tetapi merupakan cara hidup yang mengarahkan seorang insan untuk mencapai keseimbangan dan kebahagiaan sejati dalam kehidupan dunia dan akhirat. Seperti dua sayap yang mengangkat burung terbang tinggi, sabar dan syukur membawa kita menuju kehidupan yang lebih baik dan penuh makna.

Sumber: Majalah Sinar Rohani 2/24

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑