ASMAUL HUSNA – AL-MUQSITH (Yang Maha Mengadili)

Asmaul-Husna yang ke-86 ialah Al-Muqsith yang bererti Tuhan yang bersifat Maha Adil. Tidak mungkin Allah SWT bersifat zalim dan berat sebelah, kerana Dia telah mengharamkan sifat zalim itu ke atas Zat-Nya yang Maha Agung. Justeru itu manusia tidak perlu bimbang hidup di dunia ini kerana yakin bahawa Tuhan yang mereka puja dan dipatuhi segala perintah dan dijauhi segala larangannya itu adalah Tuhan yang bernama Al-Muqsith yang bersifat Maha Adil.

Zalim adalah suatu perbuatan yang diharamkan oleh Allah SWT. Sekiranya di dunia ini seseorang atau suatu golongan melakukan kezaliman, sekalipun Allah SWT tidak membalas kezaliman, namun pasti Dia akan mengadili hamba-Nya. Kalau tidak berlaku di dunia pasti keadilan itu akan dilaksanakan oleh Allah SWT di akhirat.

Oleh itu manusia tidak seharusnya merasa terkilan sekiranya seseorang atau suatu golongan terus bermaharajalela melakukan kezaliman. Cepat ataupun  lambat mereka pasti akan diadili oleh Allah SWT kerana Dia sudah berjanji melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 270;

وَمَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

Maksudnya: “Tidak ada seorang pelindung bagi orang yang berbuat zalim.”

(Surah al-Baqarah 2: 270)

Bagaimanapun kadangkala orang bertindak zalim berpunca daripada kekasaran kita, ataupun boleh jadi lidah kita terlalu tajam. Justeru dalam melaksanakan kewajipan dakwah Islam hendaklah dengan bijaksana (hikmah) dan pendekatan yang murni. Ini supaya tidak berlaku salah tanggapan dan tindak balas bersifat zalim. Pendekatan yang kurang teliti dan kasar boleh mengundang tindakan zalim oleh pihak lain kepada diri kita. Justeru itu, sebelum kita menuduh pihak lain zalim, maka eloklah terlebih dahulu kita periksa dan analisis diri sendiri terlebih dahulu.

Dalam tindak-tanduk harian Rasulullah SAW dalam pelbagai urusan telah dilaksanakan dengan penuh hikmah dan lemah-lembut. Tetapi oleh kerana musuh- musuh Islam terlalu degil, lantaran itu segala gerak kerja dakwah baginda sentiasa menghadapi tentangan daripada golongan musyrikin dan juga golongan munafiqin. 

Dalam satu peristiwa Sulh Hudaibiyah, Rasulullah SAW bersama ribuan sahabatnya meninggalkan Madinah untuk melakukan umrah di Mekah. Kaum musyrikin Mekah telah menyekat baginda dan rombongannya daripada memasuki kota Mekah. Walaupun pelbagai alasan telah diberikan oleh Rasulullah SAW namun puak musyrikin tetap tidak membenarkannya. 

Mereka meminta baginda dan rombongannya supaya melakukannya pada tahun hadapan. Jika baginda meneruskan juga niatnya, maka maruah ketua-ketua kaum musyrikin Mekah itu akan jatuh dan nama baiknya terjejas di mata para pengikutnya, memandangkan kaum Quraisy Mekah sudah tahu bahawa rombongan Rasulullah SAW telah dihalang daripada memasuki kota Mekah.

Rasulullah SAW berlembut dan bersetuju untuk pulang semula ke Madinah, tetapi baginda minta supaya diadakan perjanjian yang membolehkan baginda dan para sahabat dapat menunaikan umrah pada tahun hadapan. Itulah peristiwa berlakunya Perjanjian Hudaibiyah.

Termeterailah perjanjian di antara Rasulullah SAW bagi pihak Islam dan Suhail bin Amar yang mewakili kaum Quraisy Mekah. Rasulullah SAW menyuruh Saidina Ali menulis surat perjanjian tersebut dengan memulakan perkataan Bismillahir Rahmanir Rahim, tetapi kalimah Bismillah itu dibantah oleh pihak Quraisy dan bantahan itu dipersetujui oleh Rasulullah SAW.

Saidina Ali RA tersinggung dengan sikap ketua Quraisy dan kecil hati kerana Rasulullah SAW terlalu beralah dengan kafir Quraisy. Tetapi Rasulullah SAW menyuruh Saidina Ali supaya menggantikannya dengan kalimah Bismikallahumma iaitu kalimah yang lazim digunakan oleh puak-puak Quraisy. Selepas kalimah itu Rasulullah SAW menyuruh Saidina Ali supaya menuliskan perkataan Min Muhammad Rasulillah ila Suhail bin Amr. Sekali lagi Suhail membantah perkataan Rasulillah itu dimasukkan dalam perjanjian tersebut kerana pihak musyrikin Quraisy tidak mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah.

Saidina Umar dengan rasa hairan bangun dan bertanya kepada Rasulullah SAW, mengapa baginda banyak beralah dengan pihak Quraisy dalam perjanjian itu. “Bukankah kita adalah mukmin dan mereka golongan kuffar, mengapa mesti beralah dengan golongan kuffar?” Rasulullah SAW menyatakan bahawa perkara yang dibantah itu hanya persoalan kecil, beralah dalam perkara kecil demi maslahah yang lebih besar.

Demikianlah contoh terbaik daripada Rasulullah SAW mengenai cara menghadapi pihak lain dalam perkara yang sepatutnya bertolak ansur pada tempatnya. Jika berkeras dalam perkara teknikal mungkin akan mengundang kezaliman yang lebih besar. Sebab itulah perlunya suatu kajian terhadap diri supaya tidak menjadi punca kepada berlakunya suatu kezaliman.

Jika Allah SWT bersifat Maha Adil, maka manusia sebagai hamba-Nya juga mesti mengambil iktibar daripada sifat tersebut. Iaitu bersifat adil terhadap diri sendiri dan juga kepada orang lain. Jika kita begitu cepat menuding jari kepada orang lain yang melakukan kesalahan, maka kita juga mesti cepat mengakui kesalahan yang kita lakukan dan tidak segan silu untuk meminta maaf. Bersikap adil bukan sahaja terhadap kawan tetapi juga terhadap lawan. Asas keadilan ialah kepatuhan terhadap Allah SWT. Tidak dinamakan adil jika ia bercanggah dengan peraturan Allah SWT iaitu Islam.

Adil jika yang bersalah ditegur dan kebenaran mestilah dihormati bersama. Seseorang wajar menegur jika pihak lain melakukan kesalahan, sebaliknya bersedia menerima teguran jika diri sendiri melakukan kesilapan. Sebagaimana seseorang itu merasa benci kepada kejahatan yang orang lain, maka sewajarnya merasa kebencian yang sama terhadap kejahatan yang diri sendiri lakukan. 

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑