Amanah Dalam Kehidupan

Oleh Dr. Sa’adi Bin Awang Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan, JAKIM

Sifat amanah merupakan salah satu sifat yang mulia dalam ajaran Islam. Amanah juga merupakan salah satu sifat yang wajib bagi Rasulullah SAW. Sifat ini akan memandu manusia dalam amalan seharian dan menentukan baik buruk akhlak seseorang dalam urusan seharian. 

Islam menuntut umatnya berpegang dengan sifat amanah sehingga ia disebut dalam ayat al- Quran dan juga hadis Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Ibnu Umar, bahawa Nabi SAW bersabda: 

“Apabila Allah hendak membinasakan seorang hamba maka Dia akan memcabut rasa malu darinya, apabila rasa malu sudah dicabut darinya maka kamu akan mendapatinya dalam keadaan sangat dibenci. Jika kamu tidak mendapatinya melainkan dalam keadaan sangat dibenci, maka akan dicabut amanah darinya, apabila amanah telah dicabut darinya, maka kamu tidak mendapatinya kecuali dalam keadaan menipu dan tertipu. Apabila kamu tidak menjumpainya melainkan dalam keadaan menipu dan tertipu, maka akan dicabut darinya sifat kasih sayang, dan apabila dicabut darinya kasih sayang, kamu tidak akan menjumpainya kecuali dalam keadaan terlaknat lagi terusir, dan apabila kamu tidak menjumpainya melainkan dalam keadaan terlaknat lagi terusir, maka akan dicabut darinya ikatan Islam.”

(Ibnu Majah Kitab Fitnah No Hadis 4044)

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 58: 

۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعًۢا بَصِيرًۭا(٥٨) 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran sebaik- baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah itu sentiasa Maha Mendengar lagi sentiasa Maha Melihat.”

(Surah an-Nisa 4:58)

Melalui pengertian hadis dan ayat Allah di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa sifat amanah mesti dimiliki oleh setiap muslim. 

Sifat amanah ini termasuklah amanah terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Memelihara amanah yang diberikan adalah satu tanggungjawab maka hendaklah ditunaikan dengan sebaik–baik mungkin dan tidak menyalahgunakannya sama sekali. 

Dalam kehidupan seharian, sifat amanah mempunyai maksud atau pengertian amat luas dan mendalam. Ia bukan sekadar bersikap jujur dan betul dalam apa-apa jua urusan kehidupan manusia, malah ia turut meliputi tanggungjawab atau tugas yang wajib dilaksanakan. Ianya juga membabitkan segenap lapisan manusia sama ada pemimpin, rakyat, ibu bapa, anak dan individu. Dalam kata lain, sifat amanah ini merangkumi semua kehidupan manusia bermula dari mereka bangun tidur hinggalah mereka tidur kembali dan ianya berlangsung sehingga manusia dimatikan oleh Allah.

Nabi SAW bersabda: “Setiap orang daripada kamu ialah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap orang bawahan dipimpinnya. Seorang lelaki ialah pelindung ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Seorang wanita di rumah suaminya ialah pelindung dan penjaga bertanggungjawab terhadap jagaannya. Begitu juga seorang khadam sebagai penjaga amanah harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya.”

(HR Bukhari) 

Amanah dalam kehidupan boleh dibahagikan kepada beberapa aspek termasuklah dalam kehidupan berumah tangga dan kepimpinan. Dalam konteks rumah tangga, ibu bapa memikul amanah dan tanggungjawab yang besar dalam mengasuh, mendidik dan membesarkan anak dengan tarbiah atau pendidikan. Ibu bapa juga berperanan untuk menunaikan amanah menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makan minum yang selesa kepada anak-anak mereka. Tanggungjawab ini haruslah dipikul bersama-sama antara ibu dan bapa. Ibu bapa harus berperanan secara hebat dalam mendidik anak-anak mereka. 

Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting dalam sistem keluarga bagi mengukuhkan akidah, pemantapan ilmu Islam dan pengisian akhlak terpuji agar anak mereka kelak menjadi generasi bertakwa kepada Allah SWT dan bermanfaat kepada masyarakat dan negara. Amanah bernegara terletak kepada pemimpin atau pemerintah yang dilantik. 

Dalam sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara kita, pemimpin dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya yang diadakan setiap 5 tahun sekali. Pemerintah merupakan tonggak utama dalam sesebuah negara, tanpa mereka keadaan masyarakat atau rakyat di negara tersebut akan menjadi huru- hara tiada insan yang bertanggungjawab untuk menguruskan kehidupan bernegara. Pemimpin yang dilantik mesti ditaati oleh rakyat dan menjadi pemimpin bukan suatu perkara yang mudah. 

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 59:  

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”… 

(Surah an-Nisa 4:59)

Pemimpin memikul amanah besar lagi getir dalam pentadbiran apabila mereka wajib amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat jelata. Mereka dengan tegas bertanggungjawab supaya menjaga amanah yang telah diberikan. Pemimpin dilarang sama sekali mengamalkan dasar nepotisme, kronisme dan rasuah atau mengeksploitasi jawatan serta kedudukan untuk kepentingan peribadi. Pemimpin juga dilarang mengamalkan dasar pilih kasih atas hubungan kekeluargaan yang termasuk dalam perbuatan khianat. 

Rasulullah SAW memberi peringatan keras berkenaan kesilapan memilih pemimpin:

“Sesiapa melantik seseorang untuk mengetuai sesuatu kumpulan sedangkan ada orang lain lebih layak daripadanya di sisi Allah SWT, sesungguhnya dia mengkhianati Allah dan RasulNya serta orang mukmin seluruhnya.”

(HR Ahmad dan Hakim)

Kesimpulannya, amanah bukan sahaja hanya perkataan yang digambarkan sebagai sifat yang mulia dalam Islam, ianya membawa pengertian yang boleh dilihat daripada pelbagai sudut khususnya dalam kehidupan manusia seharian.

Menunaikan amanah merupakan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh manusia kerana ianya akan dipersoalkan oleh Allah suatu hari nanti. Oleh yang demikian, pikullah amanah sebaik mungkin bagi menjamin kelangsungan hidup kita di akhirat nanti.

Sumber: Malajah Sinar Rohani 2/24

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑