أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ(٩)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi”.
(Surah al-Munaafiqun 63:9)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua.
Pada hari ini saya akan membicarakan khutbah bertajuk: “Amal Yang Setia Menunggu”.
Sebelum itu juga, saya ingin menyeru kepada semua untuk terus mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada penduduk Palestin yang masih lagi ditindas oleh rejim zionis Israel laknatullahi ‘alaihim. Sesungguhnya hanya Allah SWT jua yang Maha Berkuasa memberi pertolongan kepada mereka.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab Sahih. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:
“Si mati itu akan diikuti oleh tiga golongan, dua golongan akan balik dan satu golongan akan tetap menemaninya. Dia (si mati) akan diikuti oleh keluarganya, hartanya dan amalnya. Maka keluarga dan hartanya akan kembali pulang sementara amalnya akan tetap tunggu menemaninya”.
Al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan hadis ini; “Bahawa tiap-tiap anak Adam mesti memiliki keluarga yang selalu bergaul dengan dirinya, harta sebagai bekal hidupnya, dua sahabat yang selalu bersamanya dan suatu masa akan berpisah dengannya. Maka orang yang berbahagia ialah orang yang menjadikan harta sebagai alat untuk dia berzikir kepada Allah SWT, dan menafkahkannya untuk kepentingan akhirat, dan dia mengambil harta itu cukup sebatas keperluannya yang boleh menyampaikannya untuk kehidupan akhirat. Dia mencari isteri solehah yang mampu menjaga keimanannya. Adapun orang yang menjadikan harta dan keluarga yang menyibukkannya sehingga melalaikan Allah SWT, maka dia termasuk orang yang rugi, sebagaimana firman Allah SWT, tentang orang-orang Badwi dalam Surah al-Fath ayat 11:
شَغَلَتْنَآ أَمْوَٰلُنَا وَأَهْلُونَا فَٱسْتَغْفِرْ لَنَا
Maksudnya: “Kami telah dihalangi (disibukkan) oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh itu, mohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami”
(Surah al-Fath 48:11)
Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian,
Allah SWT telah mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam Surah al-Munaafiqun ayat 9:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ (٩)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi”.
(Surah al-Munaafiqun 63:9)
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak dari hadis Sahl bin Sa’d bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:
“Jibrail datang kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata: Wahai Muhammad! Hiduplah semahumu kerana engkau pasti akan mati. Cintailah sesiapa yang engkau kehendaki sebab engkau akan meninggalkannya, dan berbuatlah apa-apa yang engkau kehendaki sebab engkau akan mendapat balasannya. Kemudian dia berkata: Wahai Muhammad! Kemuliaan seorang mukmin ada ketika qiamullail dan ketinggiannya pada ketidakperluannya (tidak bersandar harap) kepada manusia”.
Maka dapat kita faham bahawa apabila kita mati dan meninggalkan dunia ini, maka kita tidak mengambil walau sedikit pun manfaat dari keluarga dan harta kecuali doa keluarga bagi kita, permohonan ampun mereka untuk diri kita dan perbuatan-perbuatan yang dijelaskan oleh syara’ yang boleh mendatangkan manfaat untuk diri serta apa-apa yang dikeluarkan dari harta kita untuk jalan Allah.
Allah SWT mengingatkan kita lagi dengan firman-Nya:
وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَٰدَىٰ كَمَا خَلَقْنَـٰكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍۢ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَـٰكُمْ وَرَآءَ ظُهُورِكُمْ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu”.
(Surah al An’am 6:94)
Saudaraku Yang Dikasihi,
Rasulullah SAW menyebutkan bahawa ada tiga perkara yang menjadi penyelamat kita selepas kematian. Diriwayatkan oleh Imam Muslim hadis Abi Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:
“Apabila matinya anak Adam, maka akan terputus amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang selalu mendoakan kedua ibu bapanya”.
Semoga keluarga kita kelak akan sentiasa mendoakan keampunan untuk kita sementara kita berada dalam himpitan tanah kubur. Allah SWT juga memberi peringatan bahawa keluarga juga boleh menjadi musuh bagi kita sebagaimana firman-Nya dalam Surah At-Taghaabun ayat 14:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّ مِنْ أَزْوَٰجِكُمْ وَأَوْلَـٰدِكُمْ عَدُوًّۭا لَّكُمْ فَٱحْذَرُوهُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu”.
(Surah At-Taghaabun 64:14)
Harta pula tidak akan ikut kita masuk ke dalam kubur dan kita tidak mengambil apa-apa manfaat daripadanya kecuali apa-apa harta yang kita nafkahkan pada jalan Allah SWT dan harta yang kita gunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Manakala yang akan setia bersama kita di alam kubur, dibangkitkan daripada kubur, dikumpulkan di padang mahsyar, di hari perbicaraan di hadapan Allah SWT, di atas titian sirat sehinggalah penentuan sama ada kita ke syurga atau ke neraka hanyalah amal soleh yang dilakukan ketika di dunia.
Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian,
Begitulah secara ringkas khutbah pada hari ini. Peringatan ini turut dituju kepada diri saya sendiri moga-moga ia memberi peringatan kepada kita semua dalam menjalani kehidupan yang sangat singkat ini.
Persiapkanlah amal soleh sebanyak-banyaknya yang akan menjadi peneman setia kita. Persiapkanlah keluarga kita dengan iman yang benar dan takwa kepada Allah SWT agar kelak mereka menjadi penolong kita dalam memohon keampunan kepada Allah.
Maka, seberapa sediakah kita menghadapi sakaratul maut yang menyakitkan? Seberapa sediakah kita menghadapi soalan Munkar Nakir di alam kubur? Dan seberapa sediakah kita menjalani perbicaraan di hadapan Allah SWT yang Maha Adil?
Bersedialah saudaraku sekalian, sementara kita masih lagi diberi nyawa dan kesempatan ini. Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah Fusilat ayat 46:
مَّنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَنْ أَسَآءَ فَعَلَيْهَا ۗ وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّـٰمٍۢ لِّلْعَبِيدِ(٤٦)
Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya”.
(Surah Fusilat 41:46)
Tarikh Dibaca: 18 Jamadilakhir 1446H / 20 Disember 2024
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment