أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُوا۟ ٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ كَانَ لِلْإِنسَـٰنِ عَدُوًّۭا مُّبِينًۭا (٥٣)
Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad)kepada hamba-hamba-Ku, supaya mereka berbicara dengan perkataan yang paling baik. Sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.”
(Surah Al-Isra’ 17:53)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah. Bersungguh-sungguhlah melaksanakan tuntutan ketakwaan dengan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala tegahan. Ingatlah, hanya dengan ketakwaan kita dijamin meraih darjat kemuliaan dan kesejahteraan yang berkekalan.
Tinggalkanlah semua perkara lagha yang menghilangkan ganjaran Jumaat. Hentikan seketika interaksi telefon bimbit, berbual-bual atau tidur di ruang penuh keberkatan ini. Lupakanlah sejenak urusan dunia dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada khutbah yang disampaikan.
Mimbar Jumaat hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Angkara Lisan, Sengsara Insan”.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Sedarkah kita betapa lisan yang dianugerahkan kepada kita ini perlu sentiasa dikawal dan dipelihara? Ia amat mudah menjemput manfaat, begitu juga mengundang mudarat. Andai lisan digunakan untuk menuturkan kata-kata yang sopan dan hal-hal kebaikan, maka berbahagialah kita.
Sebaliknya, jika ia digunakan untuk berdusta, mencela, mengeji, menghasut, memfitnah dan mengadu domba maka ia menjadi laluan syaitan yang membawa keburukan dan kesengsaraan dalam kehidupan.
Inilah yang diperingatkan oleh Allah SWT menerusi Surah Al-Isra’, ayat 53 yang menjadi mukadimah khutbah, bermaksud; “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku, supaya mereka berbicara dengan perkataan yang paling baik. Sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.”
Saban hari, rata-rata pengguna media sosial berkomunikasi dengan lisan untuk membuat pemberitahuan serta berkongsi maklumat dan pandangan. Tanpa sedar, ramai dalam kalangan kita sering menggunakan lisan untuk mencela, menghina, mencemuh, menuduh dan memfitnah. Kita bagai terlupa peribahasa Melayu yang berpesan, “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”
Malah hakikatnya, musibah akibat mulut adalah jauh lebih besar kebinasaannya kerana ia bakal mengundang azab di neraka.
Lantaran itu, Rasulullah SAW mengingatkan agar setiap Muslim sentiasa menjaga pertuturannya. Sesuatu ucapan yang benar lagi memberikan kesan yang baik akan menganugerahkan ketinggian darjat di sisi Allah SWT dan menjadi sebab seseorang dimasukkan ke dalam syurga. Begitu juga, suatu ucapan yang buruk, haram lagi berdosa yang menjadi punca kemurkaan Allah akan menjadi punca manusia terhumban ke neraka. Ingatan Rasulullah SAW ini pernah dinyatakan di dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah radialllahuanhu, sabda baginda yang maksudnya:
“Sungguh seorang hamba berbicara dengan perkataan yang mengundang keredaan Allah, yang dia tidak menghiraukannya namun dengan perkataan itu Allah mengangkatnya beberapa darjat. Dan sungguh seorang hamba berbicara dengan perkataan yang mengundang kemurkaan Allah, yang dia tidak mempedulikannya, tetapi dengan perkataan itu dia terhumban ke neraka jahanam.”
Hadirin Mukminin Yang Dikasihi,
Dalam konteks perundangan di Malaysia, kesalahan yang melibatkan lisan seperti memfitnah boleh dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah. Seksyen 499 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa “Siapa-siapa yang dengan niat jahat menyebabkan sesuatu kenyataan yang berkenaan dengan seseorang individu yang boleh menyebabkan seseorang itu dipandang hina, dicemuh atau dipandang tidak layak dalam kalangan masyarakat, adalah bersalah atas kesalahan fitnah dan boleh dihukum.”
Bagi mana-mana individu yang disabitkan kesalahan fitnah boleh dikenakan hukuman penjara yang tidak melebihi 2 tahun. Selain penjara, mahkamah juga boleh mengenakan denda ke atas pesalah, atau kedua-duanya.
Selain hukuman di dunia yang tersedia, bukankah kita juga sering mendengar peringatan Allah SWT terhadap mereka yang sering menggunakan lisan untuk mencaci dan mengeji? Amati ayat pertama Surah al-Humazah, firman Allah SWT:
وَيْلٌۭ لِّكُلِّ هُمَزَةٍۢ لُّمَزَةٍ (١)
Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji.”
(Surah al-Humazah 104:1)
Berdasarkan realiti balasan di akhirat dan implikasi perundangan negara yang dinyatakan, kita sewajarnya sentiasa berwaspada dan memelihara lisan daripada menuturkan perkataan yang menimbulkan masalah di dunia dan musibah yang lebih besar di akhirat.
Para Tetamu Allah yang diberkati,
Kita mungkin pernah mendengar ungkapan, “Saya ni mulut sahaja yang jahat, tapi perbuatan saya baik.” Apakah benar kenyataan ini? Ingatlah, apa juga yang kita tuturkan sebenarnya sangat mempengaruhi sikap dan tindakan kita dalam kehidupan seharian. Jika lisan berbicara yang baik, akan baiklah segala tindakan yang menyusulinya. Begitulah sebaliknya, jika buruk yang keluar dari lisan, pasti buruklah perlakuan susulan selepasnya.
Inilah hakikat yang perlu kita sedari. Selaras tuntutan itu, kita perlu berwaspada dan memastikan agar pertuturan kita sentiasa dalam lingkungan kebenaran dan kebaikan. Renungi hadis riwayat Imam at-Tirmizi daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Apabila anak Adam memulakan pagi harinya, semua anggota tubuhnya memperingatkan lisan dengan berkata: “Bertakwalah kepada Allah demi kami, kerana sesungguhnya kami bersama menyertai kamu. Jika kamu lurus, kami turut lurus, namun jika kamu terpesong, kami pun turut terpesong.”
Mengakhiri khutbah, beberapa saranan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini:
Pertama: Berfikir sebelum berkata-kata. Berbicaralah hanya pada perkara yang baik dan bermanfaat. Jika tiada apa yang perlu untuk diperkatakan, pilihlah untuk berdiam. Inilah pedoman berbicara daripada Rasul junjungan buat insan beriman.
Kedua: Berbicara mengikut keperluan bukan perasaan. Kekal menuturkan kata-kata yang baik, penuh hikmah dan ketenangan agar ia menatijahkan kebaikan. Hindari perbalahan, pertengkaran, cacian, makian dan semua perkataan yang menimbulkan perpecahan dan persengketaan.
Ketiga: Berwaspadalah dengan kebebasan berbicara. Ingatlah, sesungguhnya angkara lisan tanpa kawalan, ramai manusia terhumban ke lembah neraka yang penuh kesengsaraan.
Justeru itu marilah kita bersama-sama berhijrah kepada gaya bertutur yang lebih baik dan sopan demi menjamin keharmonian hidup di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat. Berdoalah dan mohon taufik untuk kekal dalam petunjuk kebaikan serta bermujahadah untuk istiqamah di landasan syariat dan pedoman sunnah Rasulullah SAW.
Renungi firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 70 dan 71:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَقُولُوا۟ قَوْلًۭا سَدِيدًۭا(٧٠) يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَـٰلَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا(٧١)
Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan benar (dalam semua perkara). Agar Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.”
(Surah al-Ahzab 33: 70 & 71)
Tarikh Dibaca: 18 Jamadilakhir 1446H / 20 Disember 2024
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment